Skip to main content

Nadi Kampus

Sejarah Untuk Maju, Kebangsaan Untuk Bersatu

Anggaran Waktu Membaca:
Sejarah Untuk Maju, Kebangsaan Untuk Bersatu

Almarhum Prof Emeritus Dr Ahmat Adam. (Gambar: Facebook/Dewan Sastera)

SINGAPURA:

Tuan Puan Saudara Saudari
Dengarkan syair kenangan ini
Tentang tokoh yang banyak berbakti
Prof Ahmat Adam sejarawan misali

Majlis mengenang yang telah pergi
Tauladan darinya wajar dicontohi
Membangun ilmu sampai diberkati
Karya ilmunya sepanjang ditekuni

Tekun bicara banyak menulis
Andaian orientalis ia menepis
Yang kiri dan kanan sama ditapis
Agar wacana menjadi kritis

Inilah sejarawan banggaan Malaysia
Menulis hal akhbar sampai bahasa
Dunia intelektual digarap sama
Dari penjajahan ke bangsa merdeka

Sejarah penerbitan di Indonesia
Sama diteliti panjang berita
Majalah dan suratkhabar di Malaya
Akhbar Minangkabau ditinjau sama

Bukunya banyak berbagai kajian
Isinya padat kaya kupasan
Jika dibaca terasa puasan
Itulah tanda intelektual berfungsian

Tekun kajian banyak perkara
Tetap mengait dulu dan lama
Dengan berani lawan bicara
Hujah rapuh akan dipertanya

Dengan bahan mesti teliti
Mana dipakai mestilah asli
Pemikiran juga mesti mandiri
Bidang ilmu wajib dihormati

Karya bersusun banyak terpegun
Disebut dikaji rakaman berkurun
Karya sejarah wajar dihimpun
Agar anak bangsa insaf dan pegun

Menulis teguh dua bahasa
Dunia ilmu agar saksama
Sejarah pemikiran diikat semua
Bila dibaca mencergas minda

Berderet kajian sudah sempurna
Kalau dibaca sangat berguna
Tentang penerbitan dan dunia berita
Itulah Prof Ahmat jaguh bicara

Hal kebangsaan dan juga bahasa
Dikupas bagus dicarikan makna
Bahasa Kebangsaan mesti pertama
Agar perpaduan mendapat nama

Tentang Hang Tuah diperiksa kata
Diusul "Tuha” itulah kata asalnya
Jadilah gempar dunia wacana
Ada yang kagum ada yang membara

Naskah Sulalatus Salatin jauh ditemu
Terus membedah tiadakan jemu
Disunting teks diterbit baru
Inilah jasa besar orang berilmu

Surat-surat Raffles juga terkumpul
Dari warkah dapat disimpul
Mengkaji kolonial pastikan mantul
Agar pemikiran tidak tertumpul

Banyak lagi ditulis dikaji
Batu Bersurat Terengganu juga diperhati
Bacaan semua diusul pasti
Itulah adat tafsiran berganti

Inilah sekelumit dibaitkan syair
Mengenang Prof yang ilmunya mahir
Jasa besar untuk Tanah Air
Agar negara bangsa berdiri kabir

Segala ilmu Prof yang berjasa
Agar Tuhan merahmati semua
Tugas ilmuan membangun bangsa
Itulah pesan kepada mudi dan muda

Orang bersyair adat mengenang
Carikan pena tertulis kertas
Pada ilmuan baik disayang
Agar pencerahan berdatang lekas

Carikan pena tertulis kertas
Catatan sejarah ingatan bangsa
Ambillah berkat dibawa berkas
Bangunkan ilmu, maruah dan nama

Tabik khas kepada Almarhum Prof Ahmat Adam
Moga dalam Rahmat Tuhan Semesta Alam
Azhar Ibrahim mengakhiri kalam
Kepada semua terima kasih dan salam.
Kurangkan Artikel
MENGENAI PENULIS
Related article image
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura. Dr Azhar juga merupakan Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita