Skip to main content

Nadi Kampus

Sayembara Hadiah Mata Tinta, mewakili suara muda dalam puisi

Anggaran Waktu Membaca:
Sayembara Hadiah Mata Tinta, mewakili suara muda dalam puisi
Para pemenang sayembara Hadiah Mata Tinta 2025 (Gambar: Andre Luthfi)
SINGAPURA: Menghasilkan sebuah puisi yang berisi dan bermutu memerlukan seorang penulis untuk mencari inspirasi dan idea untuk membina asas karya mereka. Meskipun langkah ini kelihatan seolah-olah mudah, hakikatnya, proses penyelidikan itu sendiri boleh terasa amat rumit dan kompleks. Hakikat inilah yang mencetus kewujudan Hadiah Mata Tinta, sebuah sayembara puisi, untuk menjentik daya kreatif para penulis supaya wacana dapat dizahirkan dalam bentuk yang lembut dan berseni.

Enam dekad kemerdekaan Singapura bukan sekadar perjalanan masa, tetapi menyimpan kisah tentang jati diri, harapan, dan kebersamaan sebuah negara. Bagi memperingati detik bersejarah ini, tema sulung Hadiah Mata Tinta 2025, ‘Enam Dasawarsa Singapura’, menyingkap perjalanan Singapura sepanjang enam puluh tahun sejak kemerdekaan.

Hadiah Mata Tinta terbahagi kepada tiga buah kategori iaitu Kategori Menengah Bawah, Kategori Menengah Atas dan Kategori Terbuka. Sayembara ini berjaya menarik penyertaan daripada 13 buah sekolah bagi kategori sekolah menengah, dengan jumlah keseluruhan peserta bagi kesemua kategori melebihi 100 peserta. Sambutan yang menggalakkan ini mencerminkan minat masyarakat tempatan terhadap penulisan puisi serta keberanian untuk meletakkan karya-karya mereka di peringkat sayembara kebangsaan.

Diselenggarakan oleh Duta Bahasa 2025, Hidayat Nordin dan dengan kerjasama bersama Meja Conteng, sebuah kolektif penulis muda Singapura, serta dengan sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), sayembara ini bukan sekadar sayembara, tetapi gerakan kecil yang menyemarakkan lagi semangat sastera Melayu di tanah air, terutama sekali dalam kalangan golongan belia yang sedang berjinak-jinak dalam penulisan. Meja Conteng, yang dianggotai oleh penulis muda aktif dalam dunia penulisan kontemporari, terus memperjuangkan bahasa dan sastera sebagai wadah perbincangan identiti dan kebudayaan.

Sayembara ini telah diadili oleh tiga juri yang merupakan penulis tempatan ternama, iaitu Sofia Nin, Farihan Bahron, dan Samsudin Said. Gabungan tiga juri daripada latar generasi dan jantina yang berbeza telah memberikan perspektif yang pelbagai dalam proses penjurian, sekali gus memperkaya wacana dan penilaian terhadap karya-karya yang dihantar.

Majlis Anugerah Hadiah Mata Tinta telah berlangsung pada 25 Oktober 2025 di Common Ground Civic Centre, di mana para peserta, guru pembimbing, dan peminat sastera tempatan berhimpun bagi meraikan semangat puisi dan memperingati enam dekad kemerdekaan Singapura. Majlis ini turut disokong oleh rakan media rasmi, Whatelse Media, yang membantu mendokumentasikan perjalanan sayembara dan memperluas jangkauan penghargaan terhadap bahasa Melayu.

Dalam Kategori Menengah Bawah, Hadiah Tinta Emas dijuarai oleh Muhammad Naufal Bin Imran daripada Sekolah Menengah Yusof Ishak dengan karyanya berjudul ‘Jejak Teknologi’. Puisinya menyentuh perihal evolusi teknologi dari zaman kaset, kamera polaroid dan telefon awam ke dunia digital masa kini yang serba canggih dan moden.

Bagi Kategori Menengah Atas pula, Hadiah Tinta Emas dimenangi oleh Qistina Maisarah Binte Muhammad Faidullah daripada Sekolah Menengah Perempuan Cedar dengan puisi bertajuk ‘Bisikan Alam’. Karya ini menyerlah melalui penggunaan imej alam seperti pohon, akar, air, dan langit sebagai perlambangan jati diri bangsa dan semangat perjuangan generasi terdahulu.
Qistina Maisarah Muhammad Faidullah dinobatkan juara bagi Kategori Menengah Atas. (Gambar: Andre Luthfi)
Akhir sekali, Kategori Terbuka menyaksikan kemenangan Mohamed Hazwan Bin Mohamed melalui puisinya, berjudul ‘Atap Berakar’ yang menggambarkan pohon sebagai lambang kekuatan, kesinambungan, dan jati diri bangsa. Akar yang terus mencengkam bumi melambangkan sejarah dan asal usul yang tidak dilupakan, manakala, batang, ranting dan daun menggambarkan kemajuan serta pertumbuhan negara yang sentiasa berpaksikan akar budaya dan nilai-nilai tempatan.
Mohamed Hazwan Mohamed muncul juara bagi Kategori Terbuka. (Gambar: Andre Luthfi)
Turut meneruskan usaha persuratan, Meja Conteng berjaya membukukan karya-karya oleh ahli-ahlinya sendiri serta para pemenang sayembara Hadiah Mata Tinta 2025 dalam sebuah zine berjudul ‘Kejora di Tapak Tangan’.
Zine ketiga keluaran Meja Conteng, ‘Kejora di Tapak Tangan. (Gambar: Fadhli Fadzil)
Selain kata-kata, zine ini menjadi zine pertama Meja Conteng yang mengandungi karya-karya yang direntas cipta. Sajak ‘Enam Dekad’ oleh Andrè Luthfi telah dijadikan lagu dan dinyanyikan oleh Nurjannah.
Nurjannah menyanyikan lagu ‘Enam Dekad’ secara langsung di Common Ground Civic Centre. (Gambar: Andre Luthfi)
Petikan gambar daripada filem pendek ‘Payung’ lakonan Amira Amiruddin. (Gambar: Whatelse Media)
Selain itu, sajak ‘Payung’ oleh Hidayat Nordin telah diadaptasikan menjadi sebuah filem pendek lakonan Amira Amiruddin. Cerpen Fadhli Fadzil, ‘Singaduyung Terakhir’, dihidupkan dalam bentuk audio siar bacaan Haziq Halim manakala esei tulisan Amirul Hakim, ‘Enam Dasawarsa Singapura: Membentuk Budaya Manusia Singapura’, telah dijadikan sebuah video maklumat hiburan bacaan Raditya Secondatama. Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu hidup dalam aneka bentuk dan ini menjanjikan jangka hayat kesusasteraan Melayu dalam dunia digital.
Sayembara ini bukan sahaja memperlihatkan bakat penulis-penulis tempatan, tetapi juga membuka ruang wacana tentang makna kemerdekaan dalam kehidupan seharian. Setiap puisi yang diterima membawa suara dan pandangan tersendiri, ada yang bernostalgia terhadap masa lalu, ada juga yang melihat kemerdekaan sebagai tanggungjawab generasi masa kini untuk terus membina bangsa dengan nilai kemanusiaan dan perpaduan.

Puisi, dalam konteks ini, menjadi jambatan antara sejarah dengan masa depan. Ia menghidupkan semula semangat perjuangan melalui bahasa yang halus, dan mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukan sekadar kebebasan fizikal, tetapi juga kebebasan berfikir, berkarya, dan berbahasa.

Hadiah Mata Tinta 2025 telah membuktikan bahawa bahasa Melayu tetap subur di bumi Singapura, dan terus menjadi wadah untuk melahirkan suara-suara baharu yang mencintai tanah air. Semoga sayembara ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menulis, berfikir, dan berkarya demi meneruskan warisan bangsa, agar akar yang tertanam hari ini akan terus menumbuhkan pohon yang teguh untuk enam dekad yang akan datang.

Senarai para pemenang Hadiah Mata Tinta

Kategori Menengah Bawah

Hadiah Tinta Emas
Muhammad Naufal Bin Imran (Sekolah Menengah Yusof Ishak)

Hadiah Tinta Perak
Mudzakkir Bin Muhammad Faidullah (Sekolah Menengah Anderson)

Hadiah Tinta Gangsa
Nur Aliya Qalesya Bte Osman (Sekolah Menengah Hillgrove)

Sijil Tinta Cipta
Nur Aaleyah Nabilah Binte Mohd Rashid (Sekolah Menengah Hillgrove)
Nur Lisa Adriana Binte Muhammad Rino Shah (Sekolah Menengah Yusof Ishak)
Sufi Sa’if Bin Safie (Sekolah Menengah Northbrooks)
Siti Nuralya Binte Muhamad Nor (Sekolah Menengah Ang Mo Kio)
Nor Dina Shazana Binte Sulaiman (Sekolah Menengah Dunearn)

Kategori Menengah Atas

Hadiah Tinta Emas
Qistina Maisarah Binte Muhammad Faidullah (Sekolah Menengah Perempuan Cedar)

Hadiah Tinta Perak
Sharleez Aleesya Binte Muhammad Remizan (Sekolah Menengah Perempuan Cedar)

Hadiah Tinta Gangsa
Rifq Reza Mohammad Andry Wesly (Sekolah Menengah Northbrooks)

Sijil Tinta Cipta
Nur Iryani Binte Abdul Razak(Sekolah Menengah Manjusri)
Felicia Kaware (Sekolah Menengah Perempuan Cedar)
Lutfiya Mohamed Safri (Sekolah Menengah Northbrooks)
Shireen Nathania Suryadi (Sekolah Menengah Perempuan Cedar)
Tysha Qashrina Binte Aminnudin (Sekolah Menengah Ang Mo Kio)

Kategori Terbuka

Hadiah Tinta Emas
Mohamed Hazwan Bin Mohamed

Hadiah Tinta Perak
Syed Haafiz Bin Syed Hydrose

Hadiah Tinta Gangsa
Mohammad Alif Bin Zainal
Mohammed Ezra Anaqi Bin Mohammed Ezrea

Sijil Tinta Cipta
Siti Radziah Binte Mustafa
Khalisha Humaira D/O Ameeroodin

MENGENAI PENULIS:
André Luthfi merupakan pelajar Program Elektif Bahasa Melayu Tahun 1 di Maktab Rendah Kebangsaan yang aktif dalam bidang kepimpinan dan penulisan kreatif. Beliau kini berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Persatuan Budaya Melayu di institusinya, di samping menjadi ahli aktif Meja Conteng yang giat mengangkat isu-isu sosial melalui karya penulisan.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita