SAJAK: 'Secebis damai yang kugenggam'

Gambar hiasan. (Gambar: Colton Duke/Unsplash)
Bara amarah menjulang tinggi
Anjung kegelisahan tak perlu diundang
Gundah hai hati,
Lara terluka,
Segulung dendam yang hitam,
melilit dan merantai batinku,
Tak mampu ku tawan bengis kebencian.
Kemelut minda dan jiwa bagai tiada bernoktah,
Titipan kemaafan…
adakah seperti menegakkan benang yang basah?
Egois hatiku, jamahlah kelembutan,
tawanlah kesombongan,
luruhkan amarah,
Lontarkan jauh-jauh titis kepiluan.
Hiruplah bayu harapan,
Berputik bak embun pagi
Biarlah biduk berlalu,
Kiambang pastikan bertaut,
Raut wajah ketenangan,
Mengundang mesra sekuntum senyuman,
Tak akan kulepaskan,
Secebis damai yang kugenggam.
CETUSAN KARYA:
Sajak ini adalah sentuhan ilham pemenang tempat ketiga pertandingan Hadiah Sulam Kalam anjuran PERBAYU NIE/NTU bagi peringkat institusi pengajian tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.