SAJAK: Sang Surat nan Budiman - Merakam Jasa Hayat Guru Kami, Suratman Markasan

Sasterawan mapan Cikgu Suratman Markasan meninggal dunia pada 27 Feb 2024. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)
Tuan Puan Saudara Saudari
Inilah mahu disurat di pagi hari
Khabar duka kami dengari
Pemergian tokoh yang disayangi
Suratman Markasan guru budiman
Guru utama sang sasterawan
Hayatnya panjang lagi gunawan
Meninggalkan kita, ke Ilahi berpangkuan
Cikgu Suratman itulah sapaan
Banyak berjasa dunia persuratan
Karya beliau merentas berzaman
Pemerhati unggul menggambar berpadan
“Penulis itu telinga dan mata
Pada masyarakat ia harus berjasa”
Itulah kalimat diingat senantiasa
Pak Suratman berpesan kepada kita
Karya beliau berderet kalau tersusun
Persoalan masyarakat cermat disantun
Kritikan sahsiah pedas diadun
Siapa menelaah akan terpegun
Karya beliau berlembar-lembar
Siapa membaca haruslah sabar
Pesannya utuh ungkapannya mekar
Terselit pedoman sering membugar
Cerpennya bergaya banyak yang intrik
Beliau mengolah padat menarik
Puisinya berpanjang bukan melirik
Pepat renungan mudah ditarik
Novelnya menghikayat zaman semasa
Cerita manusia dan masyarakat kita
Dari Penghulu ke Subuh Hilang Senja
Merakam kehidupan dengan tantanganya
Esei kritikan sorotan terkumpul
Itulah juga Pak Suratman terunggul
Perspektif matang dapat tersimpul
Selain huraian dan perubahan diusul
Bacalah karya Tiga Warna Bertemu
Disusun beliau dengan bermutu
Penulis-penulis Singapura dikumpul disatu
Diangkat dibicara dalam satu buku
Pada Penghulu Hilang yang Hilang Segalanya
Itulah rakaman itulah cerita
Akan jerih kehidupan warga kita
Kenangan Pulau Selatan ditinggal masa
Kalau dibicara karya Pak Suratman
Akan pasti berpanjang syarahan
Itulah jasa ilmuan budiman
Penyeru akar budaya disubur-kembalikan
Itulah suara dan pena keramat
Cikgu Suratman yang berprihatin rakyat
Anugerah berpena beliau menyurat
Agar kehidupan bermaruah terhormat
Sudah berkalung hadiah dan anugerah
Terkalung kepada beliau bersemangat megah
Agar tradisi dipertahan bukan digugah
Masyarakat terbangun dengan budi tercerah
Itulah kepimpinan idea disebut kini
Cikgu Suratman contohan mithali
Beliau peduli juga berani
Menyuarakan pendapat dan isi hati
Kini beliau sudah berpergi
Sanat 27 Feb 2024 Selasa pagi
Meninggalkan kita menemu Ilahi
Husnul Khatimah kami panjati
Dengan sebak kami menulis
Mengenangkan Guru budi bermajlis
Banyak bersamanya kenangan manis
Kalau semua disebut tidaklah tertulis
Moga Tuhan memelihara roh almarhum
Yang berjasa membuat tanahair kita harum
Yang karya sasteranya dikagum
Sebagai penyuluh zaman dari kecil ke umum
Sang Surat Itu Cikgu Kami
Sasterawan guru yang kami banggai
Dan kami akan terus berdiri
Tekad khidmat Cikgu, kami akan lanjuti
Sang Surat nan Budiman
Inilah tabik kami pada Pak Suratman
Guru, pemikir dan budayawan
Itulah ayahanda kita penyaksi zaman
Sang Surat nan Budiman
Kalungan budi emas tempawan
Cikgu Suratman pemimpin gunawan
Mendidik kita erti kesusasteraan
Sang Surat nan Budiman
Akan kami dengar Cikgu bersahutan
Mengakar ke bumi jadikan pedoman
Melangit tinggi dapatkan Rahmatan
Cikgu, Kami semua ucap Selamat Pagi
Yang terakhir dari kami
Kami tahu Cikgu dipangkuan Ilahi
Dan pesan pengajaran Cikgu akan kami lanjuti.
Alfateha dengan hiba
Cikgu, kami sayang senantiasa.
Azhar Ibrahim Alwee
27 Feb 2024
Jakarta
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.