S$224,000 berjaya dikumpul dari 3 Climbathon; disiplin diri, sifat prihatin, antara ‘pelajaran’ diraih semasa mendaki Fansipan
Sekitar S$224,000 berjaya dikumpul melalui tiga ekspedisi Climbathon. Sejak dilancarkan pada 28 Januari 2018, acara Climbathon sudah membawa para peserta dan relawan ke Southern Ridges pada bulan Januari, Coney Island tiga bulan kemudian (pada April) dan baru-baru ini ke Gunung Fansipan di Vietnam.
BERITAmediacorp: Sekitar S$224,000 berjaya dikumpul melalui tiga ekspedisi Climbathon.
Sejak dilancarkan pada 28 Januari 2018, acara Climbathon sudah membawa para peserta dan relawan ke Southern Ridges pada bulan Januari lalu, Pulau Serangoon atau lebih dikenali sebagai Coney Island tiga bulan kemudian (pada April) dan baru-baru ini ke Gunung Fansipan di Vietnam bermula 25 Oktober.
Ketiga-tiga Climbathon yang dianjurkan oleh Yayasan Mendaki bermatlamat untuk mengumpul dana bagi membantu para pelajar yang memerlukan.
Bagi edisi ketiga Climbathon ini, seramai 40 peserta berlatih gigih selama dua bulan untuk menyertai ekspedisi pendakian Gunung Fansipan, yang dengan ketinggian 3,143 meter juga merupakan puncak tertinggi di Indochina.
Menjangkaui usaha mengumpul dana, pengalaman yang ditimba sepanjang dua bulan berlatih untuk sampai ke puncak Gunung Fansipan semalam (27 Okt) turut membawa pelbagai pengertian dan makna bagi para peserta Climbathon.
Kesannya paling menyerlah dalam kalangan enam pelajar yang berusia antara 14 hingga 17 tahun yang turut serta pendakian ini, dengan kosnya dibiayai sepenuhnya oleh Mendaki.

Para pelajar yang dibiayai untuk sertai projek Climbathon. (Gambar: Shahrul Bahri Selamat)
Ogos lalu, para pelajar ini dan 34 individu lain menyahut cabaran untuk menyertai Climbathon bagi menawan Gunung Fansipan di Sa Pa, Vietnam untuk mengumpul derma bagi Dana Amanah Pendidikan (ETF).
Sejak 2002, ETF dikelolakan oleh Mendaki untuk membantu para pelajar dari golongan kurang berkemampuan.
Climbathon yang masuk kali ketiga ia dianjurkan, merupakan salah satu daripada usaha kreatif untuk menokok dana kepada ETF.
Menerusi pendakian itu, Mendaki mengalu-alukan sumbangan sedolar bagi setiap langkah yang diorak para peserta untuk sampai ke puncak setinggi 3,143 meter itu.
DISIPLIN DIRI KUNCI KEJAYAAN
“Kita harus mempunyai disiplin diri. Jika tidak, pendakian dua hari ini susah tetapi dengan disiplin diri, kita boleh mengatasi apa jua pun,” kata Mohammad Rizq Andhika Radin Mohammad Nizam, 16 tahun semasa mengimbas kembali pengalamannya berlatih sepanjang dua bulan lalu.
Pelajar Sekolah Menengah Bukit Merah itu gigih menjalani latihan sebagai persiapan bagi Climbathon yang merangkumi kegiatan-kegiatan seperti berlari-lari anak, berjalan pantas di sekeliling Kolam Air Macritchie dan mendaki Bukit Timah Hill serta naik turun tangga di Toa Payoh.

Muhammad Ra'ies Amran, Mohammad Rizq Andhika Radin Mohammad Nizam, Daing Izz Isyraf Daing Zahid dan Muhammad Shakir Shiraj Abdullah antara pelajar yang ikut serta. (Gambar: Nur Hazwani Abbas)
“Dulu saya malas – tidak suka membuat latihan jasmani tetapi selepas berlatih, lama-kelamaan semakin mudah kerana saya belajar cara-cara bernafas dan sebagainya,” kongsi beliau sambil tersenyum lebar kerana bangga dapat menawan Gunung Fansipan.
Bagi Daing Izz Isyraf Daing Zahid, 18 tahun, penyertaannya dalam usaha amal itu membuka mata dan hatinya kepada kepincangan dalam masyarakat.
“Ia membuat saya rasa rendah diri dan membuat saya menghargai apa yang saya ada. Dari situ (pengalaman tersebut), kita dapat lebih prihatin terhadap mereka yang kurang berkemampuan dan kita harus membantu mereka,” ujar pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu.
Menyentuh tentang pendakiannya pula, Daing yang belum pernah melakukan kegiatan sedemikian berkongsi bahawa beliau tertarik dengan pemandangan indah sepanjang perjalanan selama dua hari itu.
“Memang sangat menakjubkan dapat melihat ciptaan Tuhan, memang indah,” tambah beliau.
BANGGA DENGAN SIKAP YANG DIPAMERKAN
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki Rahayu Buang yang turut serta dalam rombongan itu bersama suami dan anak perempuannya kagum dengan sikap saling membantu yang ditunjukkan oleh para pelajar itu.
“Para pelajar kita memang sangat membanggakan. Mereka mendampingi peserta yang berjalan lebih perlahan dan memberi sokongan kepada mereka untuk teruskan hingga sampai ke puncak.

Cik Rahayu bersama suaminya dan para peserta Climbathon. (Gambar: Said Mahadi)
Ini adalah satu contoh yang menunjukkan bahawa pelajar kita mempunyai sifat kepimpinan yang amat baik dan sifat prihatin tentang kesusahan orang lain serta membantu mereka. Amat membanggakan sekali,” kata Cik Rahayu.
Salah seorang daripada mereka ialah Sofi Sofiyah Rahmat, 14 tahun, peserta paling muda dalam rombongan tersebut. Pelajar Sekolah Menengah Jurong West itu turut mengajak golongan muda sepertinya supaya lebih proaktif menyertai program amal sedemikian dan membantu masyarakat.

Sofi Sofiyah Rahmat. (Gambar: Norhayati Mahat)
“Saya rasa golongan muda sekarang harus melakukan kerja-kerja kesukarelawanan kerana ia membuat seseorang itu rasa bersyukur atas segala yang berlaku kepadanya dan kepada orang lain,” kata Sofi yang menyertai projek tersebut bersama ibunya.
SALING MEMBANTU HINGGA KE PUNCAK JAYA
Sifat kepimpinan dan sikap saling bantu-membantu adalah kunci di sebalik kejayaan rombongan Climbathon kali ini.
Jelas, keakraban yang dibina sepanjang sesi-sesi latihan yang diadakan dan pendakian itu sendiri menjadi pembakar semangat yang mendorong para peserta hingga sampai ke puncak Gunung Fansipan.
“Satu perkataan – bangga. Dan saya memang rasa sangat bangga sebab semuanya berjaya sampai ke puncak meskipun ada yang menghadapi dugaan seperti rasa penat dan sebenarnya pendakian memang sangat mencabar,” kongsi Yusrina Ya’kob, wanita Melayu pertama dari Singapura yang berjaya mendaki sehingga ke puncak Gunung Everest, yang juga merupakan ketua rombongan dan salah seorang jurulatih Climbathon.

Shafira Zailani dan Yusrina Yaakob di puncak Fansipan. (Gambar: Shahrul Bahri Selamat)
“Sokongan antara satu sama lain itu penting bila kita mendaki gunung, jadi memang terserlah bila kami mendaki Gunung Fansipan. Para peserta membantu satu sama lain dan itu amat penting,” tambah Shafira Zailani pula, yang turut melatih para peserta.
Walaupun mereka sudah berjaya mencapai matlamat untuk menawan Gunung Fansipan, para peserta Climbathon terus mengalu-alukan sokongan orang ramai untuk terus menderma kepada usaha murni ini.
Orang ramai masih boleh menghulurkan sumbangan di https://mendaki.give.asia/campaign/etfstepschallenge.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.