Rezeki Ramadan: Smashed berjaya capai sasaran jualan 2,000 burger pada minggu pertama

Pemilik bersama The Halal Corner, Brunch Club dan Smashed, Muhammad Asyraf Mohamed Rasheed (kiri) dan Kaleemullah Saffarullah (kanan). (Gambar: Nayli Afrina/BERITA Mediacorp)
Namun, sambutan begitu hangat sehingga 'sold out' pada minggu pertama gerai itu beroperasi, dan mereka terpaksa menambah bekalan.
"Kami ingatkan 2,000 kotak itu mencukupi bagi sepanjang tempoh Bazar Ramadan Kampong Gelam diadakan, tetapi pada minggu pertama, kami menjual lebih 2,000 burger dan harus membuat pesanan buat kotak-kotak itu lagi," kata Asyraf, yang juga merupakan pemilik bersama The Halal Corner dan The Brunch Club.

Asyraf dan Kaleemullah yang biasanya terlibat dalam proses membuat burger itu berkata, lazimnya, mereka mula sibuk dari pukul 5.00 petang sehingga gerai mereka itu tutup.
"Kadangkala semua burger kami sudah habis dijual seawal pukul 7.45 malam, ini yang kami saksikan pada hari terakhir kami beroperasi. Tetapi biasanya, sekitar pukul 8.45 hinggga 9.45 malam," kongsi Asyraf kepada BERITA Mediacorp.
Malah, mereka berjaya mencapai sasaran 200 burger dijual setiap hari pada hari kedua beroperasi di Kampong Gelam.
Semasa bercuti di London hujung tahun lalu, Asyraf dan Kaleemullah yang sudah 20 tahun berkawan rapat, berpeluang mencuba pelbagai makanan halal di sana.
Salah satu yang menarik perhatian mereka adalah sebuah kedai 'smash burger' halal.
"Ia sangat popular di London dan rasanya pula sedap. Kita tidak ada kedai sebegini di Singapura, lagi-lagi yang halal. Jadi, kita pasang niat Insya'Allah nak buka sebuah kedai 'smash burger', tetapi kita cuba di bazar dahulu," kata Asyraf.
Dengan masyarakat di sini sudah terbiasa dengan burger Ramly dan hidangan di restoran makanan segera konsep 'smash burger' adalah sesuatu yang lain daripada lain.
Justeru, mereka bertekad memperkenalkan konsep itu ke Singapura dengan harga yang berpatutan supaya masyarakat di sini boleh mencubanya sendiri.

"Kami menjual pasta dengan menggunakan sos tempatan seperti belado dan lemak cili padi. Pasta 'fusion' ini memang susah nak dapat di Singapura jadi kami ingin menggabungkan pasta dengan citarasa tempatan," kongsi Kaleemullah.
Mengimbau kembali masa mereka memulakan perniagaan pada usia 25 tahun ketika itu, Asyraf berkata, pada mulanya, mereka menjual setiap hidangan pada harga S$5 kerana mengutamakan pelangan dahulu sebelum keuntungan.
MULAKAN PERNIAGAAN SENDIRI SUKAR TETAPI TIDAK MUSTAHIL
Sememangnya mereka perlu menempuh pelbagai cabaran onak duri dalam perjalanan untuk menjadi usahawan.
"Bila kita mula dahulu, susah sikit untuk bekerjasama dengan orang. Orang pandang kita rendah, kita tidak serius. Jadi susah untuk kami bentangkan idea kami kepada klien-klien lain," kata Asyraf.

Namun berkat kesabaran dan sokongan orang tersayang, mereka tidak putus asa dan langkah demi langkah, mereka membina pasukan mereka sendiri, dari cef ke pelayan.
Hasil maklum balas positif masyarakat terhadap 'smash burger', mendorong Asyraf dan Kaleemullah untuk terus membuka kedai 'flagship' khas bagi 'smash burger' pada masa terdekat.
"Jangan putus asa....banyak orang akan kata, tak bolehlah, awak mesti gagal, benda ni tak boleh bikin. Memang susah tapi harus yakin Insya-Allah.
"Kalau hati betul bersih, niat baik, ibu bapa ada, sokongan keluarga penting dan Insya-Allah lain semua rezeki kita dah tertulis," kongsi Asyraf.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.