Remaja ketagih media sosial - apakah kesannya terhadap kesihatan mental mereka?

Ilustrasi: Nurjannah Suhaimi
SINGAPURA: Josiah (bukan nama sebenar), seorang pelajar politeknik berusia 17 tahun, pernah menghabiskan secara purata enam hingga tujuh jam setiap hari menggunakan peranti digital.
Sekalipun sebahagian besar masa itu dihabiskan untuk permainan, Josiah juga akan meluangkan tiga hingga empat jam di YouTube secara serentak untuk menonton sedutan permainan semasa dia bermain. Dia juga menggunakan Discord, aplikasi pemesejan yang popular dalam kalangan masyarakat permainan.
Ibunya, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Lisa, memberitahu Mediacorp bahawa pada kemuncak ketagihan Josiah, dia akan menggunakan telefonnya setiap saat terjaga — sekalipun semasa waktu makan, atau semasa menyeberang jalan raya.
Josiah akan menjadi berang dan agresif apabila Cik Lisa dan suaminya cuba mengambil perantinya, kata Cik Lisa.
Josiah juga mula mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakannya, malah menolak pelawaan ibunya untuk membawanya keluar menjamu makanan kegemarannya.
Akhirnya, dengan dorongan ibunya, Josiah mendapatkan bantuan profesional tahun lalu melalui sukan tinju dan program terapi berkumpulan anjuran pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan berasaskan belia, Impart, selepas ketagih selama hampir tiga tahun.
Pengalaman Josiah menyokong hasil tinjauan yang dijalankan di seluruh dunia tentang kesan buruk yang boleh ditimbulkan oleh media sosial terhadap kesihatan mental seseorang.
Tahun lalu, Singapura mencatatkan kadar bunuh diri yang tertinggi sejak 2000, dengan jumlah kematian paling ramai adalah dalam kalangan golongan muda yang berusia antara 20 hingga 29 tahun, menurut Samaritans of Singapore (SOS) pada Jun.
Bagi mereka yang berusia 10 hingga 29 tahun, bunuh diri kekal sebagai punca utama kematian buat empat tahun berturut-turut, membentuk lebih sepertiga (33.6 peratus) daripada kesemua kematian dalam kumpulan ini. Kematian akibat bunuh diri juga meningkat dari 112 pada 2021 kepada 125 pada 2022, dalam kalangan kumpulan ini.
Sekalipun tiada kajian tempatan yang secara muktamad mengaitkan penggunaan media sosial dengan bunuh diri, pakar psikologi penyelidikan Amerika Syarikat, Jean Twenge berpendapat bahawa terdapat hubungan yang tidak dapat dipertikaikan antara kebangkitan telefon bijak dan media sosial dengan kemerosotan kesihatan mental dalam kalangan remaja di seluruh dunia.
MENGAPA ANAK MUDA KHUSUSNYA MUDAH TERDEDAH
Kanak-kanak dan remaja amat terdedah kepada kesan ketagihan media sosial, menurut para pakar kepada Mediacorp.
Cik Ranjini Veerappan, pakar ketagihan bertauliah di Pusat Psikoterapi Holistik, berkata otak kanak-kanak masih menjalani proses pematangan dan berkembang dengan pantas sehingga mereka berusia sekitar 25 tahun.
Sedang keupayaan membuat keputusan, kawalan gerak hati dan pertimbangan mereka masih membangun, penggunaan media sosial yang berlebihan boleh memberi kesan kepada perkembangan otak mereka dan berpotensi menimbulkan kesan kognitif dan emosi jangka panjang, katanya.
'RASA TERPINGGIR' JIKA TIDAK LUNGSURI MEDIA SOSIAL
Kebanyakan daripada sembilan remaja, berusia 13 hingga 18 tahun, yang ditemui Mediacorp mengakui bahawa berada di media sosial telah menjejas kesihatan mental mereka dalam pelbagai cara — daripada memesongkan persepsi mereka tentang kecantikan hingga kepada mengurangkan tumpuan mereka, harga diri dan keupayaan untuk memproses emosi.
'MEMPERKASA' BELIA UNTUK TENTUKAN BATAS
Memandangkan tiada jalan keluar untuk mengelakkan dunia digital yang berkembang pesat, ibu bapa, karyawan, penggubal dasar dan syarikat media sosial perlu sama-sama mengharungi pelbagai cabaran, seiring dengan pendedahan kanak-kanak dan belia kepada, dan penggunaan, pelbagai platform, kata para pakar kepada Mediacorp.
Demi melindungi rakyat Singapura daripada kandungan online yang memudaratkan, Parlimen meluluskan undang-undang pada November lalu yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengeluarkan arahan kepada para penyedia khidmat komunikasi online bagi memastikan pengguna tempatan dilindungi daripada kandungan seperti keganasan seksual dan pengganasan.
Para penyedia yang gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan boleh didenda sehingga S$1 juta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.