Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Relawan belia 'belanja' makan golongan kurang berkemampuan berbuka di SG, JB

Anggaran Waktu Membaca:
Relawan belia 'belanja' makan golongan kurang berkemampuan berbuka di SG, JB

Semua hadirin di The Swiss Club Singapore pada acara 'Sponsor-an-iftar' anjuran IMVN Singapura pada 8 Mac 2025. (Gambar/ IM Volunteers Network SG)

SINGAPURA: Inisiatif 'Sponsor-an-iftar (SAI)' anjuran Rangkaian Sukarela Imran atau IM Volunteers Network SG (IMVN) kembali buat tahun ke-4 Ramadan ini.

Jika pada tahun-tahun sebelumya, 400 hingga 500 makanan bento untuk berbuka puasa diagihkan setiap minggu, kali ini, anggota rangkaian sukarela itu membawa warga emas dan penduduk kurang berkemampuan dari kejiranan Marsiling, Woodlands dan Cheng Nan untuk berbuka puasa di Swiss Club Singapore, di Bukit Timah pada dua hujung minggu serta di Pavilion Sukan Woodlands pada 29 Mac.

Buat julung-julung kalinya juga, IMVN akan menaja iftar buat individu gelandangan di Johor Bahru.

IMVN merupakan anak syarikat kumpulan Signaturesofimran, yang baru-baru ini mengumpul dana S$16,000 bagi penduduk di Gaza. 

Wartawan Syafeera Mohammed Sofian dan Afiqah Hussain menyertai acara berbuka di Swiss Club Singapore pada 8 Mac, melibatkan 75 penduduk dari kejiranan Marsiling.

Turut hadir ialah tetamu terhormat, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad.


 
Para relawan IMVN bersama Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Encik Zaqy Mohamad. (Gambar: BERITA Mediacorp/ Afiqah Hussain)

Pengasas IMVN, Imran Maen, jelaskan bagaimana acara SAI tahun ini lebih unik

"Walaupun inisiatif tahunan Ramadan IM Volunteers Network SG, Sponsor-An-Iftar 2025, bukannya yang terbesar (dari segi kuantiti) berbanding tahun-tahun yang lalu, tahun ini amat bermakna kerana kami dapat berkolaborasi dengan The Swiss Club Singapore dan agensi-agensi lain untuk beri pengalaman yang unik seperti 'berbuka puasa sebagai suatu kampung' di tempat yang agak eksklusif! " kongsi Imran, 24 tahun, yang juga pelajar tahun akhir di Politeknik Ngee Ann.

Hidangan bufet yang disediakan oleh Four Seasons Catering di The Swiss Club Singapore bagi 'Sponsor-an-iftar' 2025. (Gambar: BERITA Mediacorp/ Syafeera Mohammed Sofian)

Para tetamu menjamu selera hidangan bufet dari Four Seasons Catering. Sambil menunggu masuknya maghrib, mereka melakukan aktiviti origami.

Bakal pengerusi IMVN, Atiqah Kamisan kongsi sebab pilih buat konsep bufet, taja iftar di JB

"Kami buat konsep bufet untuk pupuskan stereotaip bahawa keluarga yang perlu lebih bantuan tidak layak makan hidangan sebegini kerana mereka tidak mampu. Ia sepatutnya layak untuk semua orang, " jelas pelajar tahun pertama Universiti Teknologi Nanyang yang berusia 22 tahun itu.

Atiqah Kamisan, sudah menjadi relawan di IMVN sejak 2020 dan bakal dilantik sebagai pengerusi tidak lama lagi kerana dedikasi dan usahanya dalam menjalani tugas sebagai relawan.

"Pada 22 Mac, kami akan mengembangkan inisiatif ini kepada golongan gelandangan di Johor Bahru secara percuma supaya mereka boleh berbuka puasa tanpa berasa risau apa yang ada untuk mereka makan, " kongsi Atiqah kepada wartawan Nadi Kampus.



 
Beberapa penduduk Marsiling dan seorang relawan IMVN bergambar di acara 'Sponsor-an-iftar' yang berlangsung pada 8 Mac baru-baru ini di The Swiss Club Singapore.

Usaha 'Sponsor-an-iftar' itu adalah yang pertama dianjurkan kumpulan sukarelawan IM Volunteers Network Malaysia dengan sokongan IMVN di Singapura.

50 individu gelandangan di Johor Bahru (JB) yang sudah dikenal pasti sebelum ini, akan ditaja berbuka puasa, juga secara hidangan bufet. Ia hasil kerjasama IMVN Malaysia dengan kedai makan Lepak One Korner di JB yang juga berminat untuk menyokong usaha tersebut. 

" Saya berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan masyarakat untuk mengadakan acara bukan sahaja dalam bulan Ramadan dan bukan sahaja fokus kepada orang Muslim, boleh juga untuk kaum-kaum yang lain, " ujar Atiqah berkongsi visinya bagi IM Volunteers Network.

 Pihaknya juga mengalu-alukan penyertaaan lebih ramai belia untuk tampil menjadi relawan, dengan mengikuti IM Volunteers Network SG di Instagram @IM_volunteersnetworksg.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/SF
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan