Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Politeknik Singapura meterai kerjasama dengan 17 IHL Indonesia pacu transformasi kemampanan dan inovasi

Anggaran Waktu Membaca:
 Politeknik Singapura meterai kerjasama dengan 17 IHL Indonesia pacu transformasi kemampanan dan inovasi

Gambar fail Politeknik Singapura.

Diterbitkan : 19 Oct 2024 11:32AM Dikemas Kini : 19 Oct 2024 12:49PM
SINGAPURA: Politeknik Singapura (SP) sedang mengorak langkah untuk memacu transformasi kemampanan dan inovasi teknologi dalam industri tersebut.

Pada Khamis (17 Okt), SP melancarkan tiga inisiatif untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, khususnya dalam bidang berkaitan kejuruteraan, di Persidangan Rangkaian Industri Serantau (RINC) 2024 dan Automation SolutionGO!.

Dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama serantau, SP menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan 17 Institusi Pengajian Tinggi (IHL) Indonesia.

Kerjasama tersebut bermatlamat untuk memudahkan pertukaran pengetahuan, kemahiran dan teknologi antara Singapura dan Indonesia.

Menerusi inisiatif seperti latihan amali dan lawatan industri, para penuntut boleh menimba pengalaman berharga dalam sektor pengilangan dan kejuruteraan, di samping meningkatkan keupayaan teknikal dan memperluaskan pemahaman budaya dan perspektif global mereka.

Inisiatif itu selaras dengan strategi "70-70" Kementerian Pendidikan (MOE), yang memastikan 70 peratus penuntut IHL menimba pengalaman di luar negara, dengan 70 peratus daripada kumpulan itu mendapat pendedahan di negara-negara ASEAN, China dan India.

Sepanjang tiga tahun akademik akan datang, kerjasama tersebut dijangka akan memanfaatkan 200 penuntut Latihan Pra-Pekerjaan (PET) SP. Ia juga akan memacu aspirasi Singapura untuk menerajui Industri 4.0 dan memenuhi visi Negara Bijak.

SP juga melancarkan Perjalanan Pembelajaran Kemampanan (Sus LJ), yang bermatlamat untuk membantu syarikat-syarikat menerajui transformasi kemampanan masing-masing.

SP bekerjasama dengan A*STAR SIMTECH, Grundfos, Danfoss, Paia daripada CBRE, Majlis Sekitaran Singapura (SEC), dan Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF) untuk menyampaikan inisiatif tersebut.

Pelancaran itu disusuli dengan pengenalan kepada pengkhususan tahun ketiga dalam bidang "Tenaga Mampan," yang bertujuan untuk melengkapkan penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (DEEE) dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk meraih kecemerlangan dalam bidang tenaga, tenaga bersih, dan alternatif rendah karbon, iaitu bidang yang dikenal pasti oleh pemerintah sebagai penting bagi masa depan Singapura yang lebih mampan.

"Kerjasama kami bersama rakan-rakan kongsi industri adalah satu membawa satu perubahan yang besar kepada penuntut kami.
Mereka meraih kemahiran teknikal yang berharga, mengembangkan perspektif global mereka, dan menjalin hubungan yang penting," kata Pengetua dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Politeknik Singapura, Encik Soh Wai Wah.

"Sedang kemampanan menjadi lebih penting, Perjalanan Pembelajaran Kemampanan kami dilaksanakan tepat pada masanya. Secara bersama, kami mahu memacu inovasi dan membantu syarikat-syarikat perniagaan tempatan berkembang maju
secara mampan," tambah Encik Soh.

Sebagai pemain penting dalam transformasi industri, SP memberi tumpuan kepada kemampanan dan inovasi teknologi.

Politeknik tersebut juga mengadakan perbincangan secara aktif dalam bidang penting itu untuk menggalakkan perkongsian, di samping menyediakan pendidikan dan latihan, serta menyokong syarikat-syarikat dalam perjalanan mereka untuk menjadi lebih mampan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan