Persatuan Pengajian Melayu NUS rai 30 tahun usaha perkaya wacana bicara isu masyarakat

(Dari kiri) Anggota jawatankuasa NUSMSS, Ikmal Syafeeq, Hariz Emran dan Nur Hadirah Sapari, Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Professor Madya Sher Banu, Pak Tumadi, seorang seniman batik dengan pengalaman hampir 40 tahun dan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu NUS, Dr Azhar Ibrahim. (Gambar: NUSMSS)
SINGAPURA: Menyedari semakin terdapat keperluan untuk menubuhkan persekitaran kewacanaan khususnya dalam kalangan mahasiswa, mendorong kepada tertubuhnya Persatuan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUSMSS) 30 tahun lalu.
Kini, persatuan akademik itu masih giat menggalakkan pemikiran kritis terhadap isu-isu yang berkait rapat dengan realiti kehidupan seharian masyarakat bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa, bahkan mereka daripada pelbagai latar belakang.
NUSMSS meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan persatuan itu pada Rabu (2 Apr), serentak dengan penganjuran acara tahunan Hari Batik bersama Jabatan Pengajian Melayu NUS.
Ini memandangkan nilai-nilai yang menjadi landasan bagi kegiatan NUSMSS, dipupuk daripada usaha pelestarian warisan batik itu sendiri.
Dengan berteraskan motonya - Renung, Fikir, Suara, NUSMSS aktif menganjurkan banyak forum dan perbincangan akademik untuk merungkai pelbagai isu sosial daripada sudut pandangan masyarakat yang berbeza.

"Ada tiga sisi keistimewaan (NUSMSS). Ia bersungguh dalam mempromosi Pengajian Melayu, sehingga teman-teman kampus tertarik pada wacana Pengajian Melayu. Ia mampu menggerakkan banyak inisiatif ilmiah dan kebudayaan. Siri wacananya makin bertambah baik setiap tahun. Ia mempererat hubungan warga kampus, sehingga ahli-ahlinya dapat menyumbang kepada pengukuhan hubungan sesama siswa dan juga dengan masyarakat ramai," katanya kepada BERITA Mediacorp.
NUSMSS pula berharap ia dapat meneruskan usahanya memperkukuh dan mengembangkan visi mereka dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu yang melibatkan masyarakat Melayu.

Ditanya mengapa penting penganjuran Hari Batik di kampus universiti, Nur Hadirah Sapari, mahasiswa NUS Tahun 2, yang merupakan Penyelaras Projek Hari Batik, menekankan perlunya peluang sedemikian bagi mahasiswa untuk lebih menghargai dan memahami budaya Melayu mereka.
"Dengan penggunaan batik semakin kurang dalam kehidupan seharian, ramai yang tidak lagi menyedari kepentingannya. Oleh itu, acara seperti ini memberi ruang kepada kita semua untuk mempelajari lebih lanjut tentang batik. Meraikan batik di kampus juga memastikan bahawa warisan budaya ini tidak dilupakan, malah dihargai dan dipertahankan sebagai salah satu hasil penting dalam masyarakat Melayu dan Asia Tenggara ... Mengadakan acara untuk meraikan warisan batik adalah langkah penting untuk menghidupkan semula penghargaan terhadapnya," ujarnya.
Para peserta Hari Batik berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuk pameran interaktif, yang dinamakan 'Batik Experience' (Pengalaman Batik) di mana mereka diajak untuk meninjau koleksi batik tenaga pengajar jabatan Pengajian Melayu NUS.
Antara yang ditampilkan termasuk koleksi batik Dr Azhar sendiri, yang dikumpulkannya ketika mengembara di merata Indonesia.

Selain itu, acara Hari Batik kali ini turut melibatkan satu sesi perkongsian oleh Encik Hafiz Rashid, seorang dosen muzium, pencerita dan penyokong warisan dengan minat mendalam terhadap sejarah, budaya, cerita rakyat, dan bahasa Nusantara, terutamanya dalam bidang tekstil.


Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.