Persatuan Pengajian Melayu NUS galak belia libatkan diri dalam perbincangan SCIS

Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat (tengah) dan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim (kiri) merupakan panelis yang terlibat dalam forum berjudul "Musyawarah Masyarakat: A Community of ‘Progress’ in a Society of Success", anjuran Persatuan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUSMSS). (Gambar: NUSMSS)
Ini memandangkan terdapat keperluan untuk membangun daya permikiran intelektual masyarakat dan melakarkan hala tuju pembangunan masyarakat.
Demikian antara hujah yang diketengahkan Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat dan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim dalam forum berjudul "Musyawarah Masyarakat: A Community of ‘Progress’ in a Society of Success", anjuran Persatuan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUSMSS).
Para pelajar madrasah setempat kini ditawarkan satu lagi laluan untuk melanjutkan pengajian Islam mereka di sini, dengan penubuhan SCIS.
Bukan sahaja membina ilmu agama mereka semata-mata, mahasiswa SCIS juga bakal dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran lain, khususnya pendedahan kepada bidang sains kemasyarakatan serta penggunaan teknologi.
Dengan beberapa perincian lanjut mengenai SCIS diumumkan baru-baru ini, maka timbul persoalan, apakah peranan sebenar institusi SCIS? Apakah jurang yang mungkin ingin diisi oleh institusi seperti SCIS? Sejauh mana institusi SCIS mampu menyumbang kepada pembangunan intelektual masyarakat dan menyokong aspirasi serta kejayaan masyarakat Melayu/Islam khususnya?
Kira-kira 50 belia daripada pelbagai latar belakang turut serta dalam forum tersebut, yang diadakan pada Sabtu (16 Nov), di The Pod@National Library.
Menurut Dr Norshahril dan Dr Yaacob, SCIS perlu memenuhi fungsinya dalam melahirkan generasi cendekiawan agama kelak yang mampu memahami lebih mendalam konteks Singapura yang rencam, mengemudi masyarakat Melayu/Islam setempat menghadapi cabaran semasa dan dalam dunia moden, terutama sekali dengan dilengkapi pengetahuan lain seperti bidang sains kemasyarakatan yang ditimba.
Memandang ke hadapan, mereka turut menarik perhatian mengenai aspek lain yang perlu diteliti dalam perbincangan mengenai SCIS, termasuk perlunya bimbingan kerjaya yang menyeluruh bagi graduan SCIS itu dan menangani jangkaan sosial masyarakat terhadap asatizah.
Dr Yaacob malah, menekankan bahawa SCIS, atau ekosistem pengajian Islam sedemikian yang ingin dilakarkan tidak mampu dibina dalam tempoh yang singkat, tetapi merupakan satu usaha yang mengambil masa.
NUSMSS HARAP FORUM JADI "TITIK PERMULAAN" PENGLIBATAN ANAK MUDA DALAM PERBINCANGAN SCIS
Presiden NUSMSS, Hariz Emran berkongsi kepada BERITA Mediacorp bahawa sambutan yang diterima bagi forum tersebut, amat memberangsangkan.
Ia jelas menunjukkan keprihatinan mendalam dan kesedaran dalam kalangan belia terhadap peranan yang dimainkan mereka dalam membincangkan isu masyarakat seperti penubuhan SCIS tersebut.
Dalam pada itu, Hariz meluahkan harapan agar forum tersebut dapat membulatkan tekad belia untuk terus memainkan peranan aktif dalam mendampingi isu setempat lain, selain SCIS.

"Penglibatan khalayak umum yang cakna dalam wacana sebegini sangatlah diperlukan untuk memastikan keperluan dan kepentingan setiap pihak terjaga. Perkara ini amat ketara lebih-lebih lagi dalam isu penubuhan kolej Islam di Singapura yang tentunya melibatkan penggunaan sumber sumbangan masyarakat Melayu/Islam kita sendiri," tambah Hariz.
Ditanya sama ada persatuannya itu mempunyai rancangan untuk memperluaskan perbincangan tersebut, Hariz mengatakan bahawa NUSMSS terbuka untuk meneroka topik itu semula jika terdapat minat dan peluang yang sesuai, bahkan juga, isu-isu lain yang menjadi keprihatinan belia setempat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.