Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Persatuan Pengajian Melayu NUS bermusyawarah, bicara institut pendidikan Melayu-Islam

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan Pengajian Melayu NUS bermusyawarah, bicara institut pendidikan Melayu-Islam

Gambar: Persatuan Pengajian Melayu NUS

Diterbitkan : 09 Nov 2024 01:49PM Dikemas Kini : 10 Nov 2024 09:25AM
SINGAPURA: Sejauh manakah institut pendidikan dalam masyarakat Melayu/Islam maju selari dengan cita-cita masyarakat itu untuk maju dan bergerak ke hadapan bersama dengan seluruh negara?

Perbincangan tentang kemajuan, pembangunan sosial dan kepemimpinan masyarakat Melayu-Islam dalam konteks sebuah negara majmuk akan dikupas dalam acara yang bakal berlangsung pada 16 November di The POD, Bangunan Perpustakaan Nasional.

Musyawarah Masyarakat: A Community of ‘Progress’ in a Society of Success merupakan forum akademik yang pertama dianjurkan jawatankuasa ke-30 Persatuan Pengajian Melayu (NUSMSS), dengan sokongan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan AMP Singapura.
Kali ini, antara isu yang ingin diutarakan ialah pembangunan institut-institut pendidikan dalam masyarakat Melayu-Islam. Khususnya, tumpuan pada Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang diumumkan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR), Ogos lalu.

NUSMSS mengundang dua ahli panel berkaliber untuk memacu perbualan yang produktif: Dr Yaacob Ibrahim, mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, dan Dr Norshahril Saat, Zamil Kanan Institut ISEAS-Yusof Ishak.

Demi wacana yang bermakna bagi belia dan mereka yang ingin turut hadir, Musyawarah Masyarakat berteraskan moto NUSMSS: Renung. Fikir. Suara.

Para hadirin dapat merenungkan bagaimana institut pendidikan Melayu-Islam berfungsi dalam kehidupan harian sambil memikirkan secara kritikal unsur-unsur kepemimpinan. Malahan, acara ini membuka peluang kepada hadirin untuk menyertai perbincangan kumpulan fokus (focus group discussions) dan menyuarakan pandangan masing-masing.

Acara Musyawarah Masyarakat dibuka kepada orang ramai dan akan diadakan dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab tempat yang terhad, anda boleh melungsuri laman berikut untuk membuat pendaftaran: https://bit.ly/NUSMSSMusyawarahMasyarakat.

Ditubuhkan pada tahun 1995, Persatuan Pengajian Melayu, atau lebih dikenali sebagai Malay Studies Society, adalah sebuah organisasi yang diterajui para pelajar dari Universiti Nasional Singapura. Sebagai persatuan akademik, NUSMSS tampil menggalakkan pemerkasaan budaya dan wacana yang membina dalam kalangan mahasiswa dan khalayak umum.

Harapan NUSMSS bukan sekadar untuk merangsang daya fikir yang kritis tetapi juga untuk membentuk masyarakat yang dihormati, berempati dan penuh kesedaran tentang isu-isu masyarakat Melayu-Islam yang kurang dibicarakan.

Pada tahun akademik lepas, NUSMSS telah menganjurkan tiga acara forum berlandaskan tema pembangunan, warisan budaya dan agama. Isu keleluasaan stereotaip orang Melayu, penghayatan nilai Islam dalam tarian Melayu, dan fenomena ‘pempengaruh asatizah’ (asatizah influencers) telah dikemukakan menerusi aktiviti interaktif dan sebuah panel forum.
Gambar: Muhammad Hasif/Persatuan Pengajian Melayu NUS
NUSMSS bertujuan untuk menyediakan wadah yang selesa buat para belia serta orang awam memahami proses di sebalik membangunkan sebuah institut pendidikan Melayu-Islam sekali gus mengajukan persoalan yang sewajarnya. Dapatan daripada persoalan dan pendapat yang dikedepankan akan dikumpulkan dalam sebuah laporan untuk dikongsi sebagai maklum balas kepada badan-badan yang relevan. Dengan itu, NUSMSS berharap bahawa suara para belia dapat terus disanjungi dan diberikan tumpuan dalam pembicaraan masyarakat dan nasional.

CETUSAN ILHAM:

Muhammad Hasif Salehin merupakan seorang mahasiswa Pengajian Melayu dan Sosiologi tahun ke-4 di NUS. Beliau juga pegawai program bagi jawatankuasa NUSMSS ke-30.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan