Persatuan Pengajian Melayu NUS angkat wacana keterangkuman dalam Teater Melayu

(Dari kanan) Pegawai Program MSS Hasif, Penerbit Teater Ekamatra Khairina Khalid, Penggiat seni teater Aidli Mosbit, Penulis naskhah Alfian Sa'at, Penyelidik teater dan budaya, Dr Nuraini Ismail dan Naib Presiden MSS, Ikmal (Gambar: MSS)
(Y)OUR MALAY THEATRE: OF INDUSTRY, INCLUSIVITY, AND INTELLECTUAL DISCOURSE merupakan forum akademik kedua anjuran Persatuan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUSMSS), dengan sokongan daripada Stephen Riady Group of Foundations, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (OSA) NUS dan Wild Rice.
Forum yang diadakan pada Jumaat (11 April), menghimpunkan pemain industri dan cendekiawan dalam sebuah perbincangan yang menyingkap isu-isu kritikal berkaitan masa depan teater Melayu. Antara panelis utama ialah Alfian Sa’at (penulis naskhah), Aidli Mosbit (pelakon, penulis dan penggiat seni teater), Khairina Khalid (penerbit Teater Ekamatra), dan Dr Nuraini Ismail (penyelidik bidang teater dan budaya) sebagai moderator.

Perbincangan turut menyentuh bagaimana masyarakat menyokong teater Melayu. Penonton teater tidak seharusnya merasa terpaksa menghadirkan diri semata-mata atas dasar identiti atau solidariti etnik. Sebaliknya, sokongan yang berkekalan datang daripada minat penonton terhadap mutu karya, dan isu-isu yang benar-benar menyentuh hati.

Sokongan dan penceritaan saling melengkapi—penonton hadir kerana mereka melihat cerminan diri di atas pentas, dan teater terus berkembang kerana adanya sambutan yang sejati.
INKLUSIVITI ARAH TUJU BAHARU
Satu tema yang diketengahkan dalam perbincangan ialah pentingnya keterangkuman dalam pendekatan pementasan teater Melayu. Panelis menyambut baik perkembangan di mana penonton teater Melayu kini datang daripada pelbagai latar belakang dan bangsa. Ini menunjukkan bahawa cerita-cerita yang asalnya daripada pengalaman masyarakat Melayu memiliki gema yang sejagat—dalam gelak tawa, kesedihan, mahupun harapan. Sebagai respons terhadap perubahan ini, banyak pementasan turut disertakan dengan sari kata dalam bahasa Inggeris bagi memastikan lebih ramai penonton dapat memahami dan menghayati persembahan.


SEMARAKKAN PERANAN TEATER DAN MASYARAKAT
Ketika negara melangkah ke usia 60 tahun, ruang teater bukan sekadar wadah hiburan, tetapi juga cermin masyarakat. Teater Melayu, jika terus diperkasa dengan visi inklusif dan keberanian intelektual, berpotensi menjadi ruang penghubung antara generasi, kaum, dan pemikiran.
Dengan pelbagai pementasan seni yang akan berlangsung sepanjang tahun, inilah masanya untuk kita sebagai masyarakat meluangkan masa dan perhatian terhadap karya-karya tempatan. Teater mampu menjadi wahana untuk membina kefahaman berpaduan, menyemai empati, dan memperkukuhkan hubungan dalam masyarakat kita.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.