Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Peperiksaan GCE 'O': Dijangkiti COVID-19 waktu peperiksaan, Aminah Fairouz mampu raih keputusan cemerlang

Sebanyak 275 calon dari lima madrasah sepenuh masa menduduki peperiksaan GCE O tahun lalu, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 275 calon dari lima madrasah sepenuh masa menduduki peperiksaan GCE O tahun lalu, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Ia peningkatan 35 calon berbanding tahun sebelumnya.

DIJANGKITI COVID-19 WAKTU PEPERIKSAAN, BANGKIT LEBIH KUKUH

aminah madrasah o level

Salah seorang pelajar madrasah yang meraih keputusan cemerlang ialah Aminah Fairouz Adlee Nazree dari Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah.

Beliau dipilih sebagai 'valedictorian' bagi madrasah itu kerana cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan awal dan Syahadah (subjek-subjek ukhrawi) serta peperiksaan GCE 'O' tahun lalu.

Aminah berjaya meraih lima gred A dan tiga gred B.

Aminah berkata, "Saya sangat bersyukur dengan keputusan saya hari ini. Walaupun terdapat cabaran untuk saya mendapat keputusan hari ini, saya sangat gembira, bersyukur kepada semua sokongan dan pertolongan yang saya terima."

Namun, kejayaannya meraih keputusan cemerlang itu tidak datang bak bulan jatuh ke riba.

Aminah perlu melalui pelbagai rintangan selain memikul pelbagai tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Pada Oktober tahun lalu, anggota keluarga Aminah dijangkiti COVID-19 dan koronavirus itu turut menjejas persiapan pelajar berusia 16 tahun itu, untuk menduduki beberapa lagi kertas peperiksaan.

"Saya dijangkiti COVID-19 di pertengahan peperiksaan di peringkat O selepas kertas Matematik. Saya terpaksa dikurung dalam bilik bersendirian tanpa sokongan ibu bapa dan adik-beradik saya. Pengalaman itu sangat pahit untuk saya kerana saya berasa sangat bersendirian dan tanpa sentuhan mereka, saya rasa sangat tercabar," jelas Aminah.

Baginya pengalaman itu amat mengerikan dan menjejas daya ketahanan mentalnya untuk mengulang kaji pelajaran.

Aminah berkata, "Saya hilang motivasi, sejujurnya. Malam yang saya dapat tahu semua keluarga saya dijangkiti COVID-19, saya rasa sangat sedih dan bimbang untuk kesihatan mereka. Jadi malam itu saya tidak belajar untuk peperiksaan keesokannya dan saya menangis ketika membuat kertas itu."

Dek dijangkiti virus itu, Aminah tidak dapat mengambil satu kertas iaitu bagi mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam (IRK).

Lantaran itu, gred A1 yang diraihnya untuk keputusan GCE O adalah pertimbangan menyeluruh daripada keputusan peperiksaan 'prelim' serta keputusan yang diraih rakan-rakan sedarjahnya buat subjek tersebut.

Dengan keputusan cemerlangnya, Aminah sudah membuat keputusan untuk melanjutkan pelajarannya di Madrasah Al-Maarif dalam jurusan Pengetahuan Islam dan Bahasa Arab.

Aminah berkata: "Pada pendapat saya, sekolah di sini, dan ustazah-ustazah saya sangat bertauliah dan berpengalaman dan ilmu-ilmu yang mereka kongsi dengan saya sepanjang dua tahun lebih yang akan datang akan sangat bermanfaat untuk saya dan menolong saya mencapai cita-cita saya untuk menjadi ustazah."

Kejayaan Aminah dalam subjek ukhrawi dan akademik adalah di samping dirinya menggalas pelbagai tanggungjawab pada masa yang sama.

Selain menjadi anggota jawatankuasa eksekutif kumpulan ketua pelajar di Madrasah Al-Ma'arif, Aminah juga giat aktif dalam kegiatan ko-korikular (CCA).

Selain itu, Aminah juga melibatkan diri dalam program tahfiz di Masjid Kampung Siglap dan memasuki pelbagai pertandingan hafazan anjuran masjid itu.

"Kerana saya ada banyak tanggungjawab lain, memang kadang kala saya rasa tertekan tetapi satu nasihat yang saya dapat ialah saya harus menjalankan tugasan dan tanggungjawab saya dengan ikhlas," ujar Aminah.

KEGAGALAN JADI PENCETUS SEMANGAT BAGI PELAJAR TERBAIK MADRASAH WAK TANJONG

Bagi pelajar paling cemerlang Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTI) pula, kegagalan yang pernah ditempuhinya memberikan suntikan semangat untuk beliau berusaha lebih gigih lagi.

ismah o level

Jika sebelum ini, Ismah Sofiah Azman, 18 tahun, sering gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, beliau mengatur strategi untuk memperbaikinya sehingga berjaya lulus bagi peperiksaan peringkat 'O' ini.

"Saya sebenarnya banyak cuba untuk memperbaiki subjek Inggeris, cuba banyak lebih banyak, cari perkataan baru. Waktu peperiksaan peringkat 'N' dulu, saya dapat markah 4, jadi tidak berapa bagus. Jadi saya fikir saya akan gagal untuk peringkat 'O' sebab ia lebih mencabar dan susah tetapi Alhamdulillah saya lulus juga," ujar Ismah

Ismah juga perlu menghadapi pelbagai rintangan di rumah dalam persiapan menjelang peperiksaan GCE 'O'.

"Sebenarnya, sekitaran di rumah. Saya ada ramai adik beradik jadi keadaan bising dan saya ada banyak cabaran untuk fokus tapi hendak seribu daya tak hendak seribu dalih, jadi saya cuba untuk fokus. Kadang saya masuk ke bilik dan tutup pintu atau dengar lagu jadi tak dengan keriuhan di sekeliling,"

Berkat kegigihannya itu, Ismah berjaya meraih tiga gred 'A', dua gred 'B' dan satu gred 'C'.

"Saya rasa sangat gembira dan bangga sebab saya tak sangka akan dapat sebegini. Selalunya keputusan saya tidak memberangsangkan," ujar Ismah.

Beliau kini bercadang untuk melanjutkan pelajarannya di politeknik dalam bidang Sains Farmaseutikal atau meneruskan pengajian di madrasah.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan