Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Penuntut PhD ini sertai persidangan antarabangsa; tekad sumbang kepada kemampanan bekalan air global

Anggaran Waktu Membaca:
Penuntut PhD ini sertai persidangan antarabangsa; tekad sumbang kepada kemampanan bekalan air global

(Gambar: Naeem Nadzri)

SINGAPURA: Siapa sangka permainan video dapat mencetuskan minat dalam bidang sains, terutamanya kimia, sehingga ke peringkat phD.

Bagi Muhammad Naeem Muhammad Nadzri, 27 tahun, permainan popular 'Skyrim' dan 'The Witcher', yang penuh dengan aspek alkimia, atau ilmu kimia pada masa kuno, mendorongnya untuk mendalami subjek sains ketika di sekolah menengah dan politeknik.

"Minat ini semakin berkembang apabila saya melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia di peringkat diploma dan ijazah," kata Naeem.
Naeem, tiga dari kanan. (Gambar: Naeem Nadzri)
"Di peringkat ijazah, saya belajar bagaimana kejuruteraan kimia boleh menyumbang kepada kemampanan, khususnya dalam memastikan bekalan air yang berkekalan," tambahnya.

Minat itu kini membawanya ke tahap lebih tinggi dengan kajian lebih mendalam - iaitu peringkat PhD.

Beliau yang sekarang penuntut PhD tahun kedua Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sedang mendalami kajian berkaitan penyahgaraman air laut dan pemulihan mineral, terutamanya litium daripada air garam.

TEKNOLOGI PEMBERSIHAN AIR JADI TUMPUAN PENYELIDIKAN

Bencana alam di seluruh dunia, yang berpunca daripada perubahan iklim, menarik perhatian Naeem, terutama di negara-negara miskin, disebabkan keupayaan mereka yang terhad untuk mencegah malapetaka.

"Apabila saya melihat kesan perubahan iklim secara langsung, terutama banjir di Pakistan pada 2022, ia memberi kesedaran kepada saya betapa pentingnya untuk melindungi sumber air.

Mulai saat itu, Naeem bertekad untuk menyumbang dalam bidang tersebut, terutama sekali memastikan bekalan air yang berterusan dan pemulihan sumber mineral penting untuk masa hadapan.
"Ketika saya baru memulakan pengajian di universiti, saya belajar bagaimana jurutera kimia memainkan peranan penting dalam memimpin peralihan hijau dan usaha menghapuskan karbon untuk menangani perubahan iklim," katanya.

Buat masa ini, bidang kajiannya tertumpu kepada teknologi pembersihan air, khususnya dalam penyahgaraman air laut.

Menurut Naeem, proses penyahgaraman kadangkala memberi kesan negatif terhadap kehidupan laut, kerana sesetengah pihak - iaitu syarikat-syarikat yang mengendalikan proses penyahgaraman - akan membuang semula garam yang sudah ditapis ke dalam laut.

Tindakan tersebut sekali gus meningkatkan kadar garam di laut.
(Gambar: Naeem Nadzri)
Oleh itu, Naeem kini sedang mengkaji cara lebih mampan untuk merawat air garam.

Salah satu caranya adalah dengan menghasilkan penapis membran yang lebih mampan, yang mengurangkan kadar garam selepas air laut ditapis.

"Melalui penyelidikan ini, saya berharap dapat menyumbang kepada usaha mengurangkan jejak ekologi."
 
(Gambar: Naeem Nadzri)
WAKILI SINGAPURA DI PERSIDANGAN ANTARABANGSA

Selain meluangkan masa di makmal, Naeem memastikan dia tidak melepaskan peluang untuk meraih pengalaman baru, terutama di peringkat antarabangsa.

Melalui 'Program Pembangunan Iklim Belia' yang ditawarkan pemerintah Singapura, Naeem menyertai sidang iklim COP28 yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Dubai tahun lalu.

Di sana, dia menghadiri perbincangan peringkat tinggi yang membincangkan pelbagai isu berkaitan perubahan iklim, termasuk kaedah mitigasi pelepasan karbon dan peralihan tenaga bersih.
(Gambar: Naeem Nadzri)
Pada Mei lalu, Naeem menghadiri Forum Air Sedunia yang diadakan di Bali.

Kali ini, dia terlibat dalam perbincangan mengenai kemampanan bekalan air dan bagaimana perubahan iklim akan memberi kesan besar kepada bekalan air global.

Naeem juga membentangkan topik mengenai 'Pelibatan Masyarakat dalam Mengurangkan Risiko Bencana Berkaitan Air'.
 
(Gambar: Naeem Nadzri)
Naeem memberi contoh bagaimana pemerintah Singapura melibatkan masyarakat, terutama golongan belia untuk menyumbang idea dan cadangan yang boleh digunakan dalam langkah-langkah perlindungan pantai.

"Di kedua-dua forum ini, saya dapat mengikuti perundingan antara negara-negara, untuk membincangkan pelbagai topik mengenai perubahan iklim atau persediaan air dan juga terlibat dalam pelbagai panel dan acara, berinteraksi dengan delegasi negara, institusi penyelidikan dan polisi, masyarakat awam serta dalam kalangan akademik.

Naeem berharap pengalaman yang diraih daripada kedua-dua acara itu dapat memberi semangat untuk meneruskan penyelidikannya.

"Meskipun saya berdepan pelbagai cabaran dan kadang kala gagal dalam eksperimen, saya tidak boleh berputus asa, supaya generasi akan datang masih mempunyai bekalan air yang mencukupi," katanya.

"Saya juga berharap kajian ini dapat menyumbang kepada usaha global dalam menangani perubahan iklim, dan pastikan sumber yang diperlukan untuk peralihan kepada tenaga yang lebih bersih tersedia," tambah Naeem.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan