Penuntut institusi pengajian tinggi dipelawa sertai peraduan cipta logo 'Nadi Kampus'

BERITAmediacorp: Khusus buat para belia di institusi-institusi pengajian tinggi (IHL), jika anda seorang individu yang kreatif, inilah masanya untuk menyerlahkan bakat anda - mencipta logo!
Peraduan mencipta logo Nadi Kampus dibuka hari ini (19 Mei) kepada semua penuntut IHL tempatan dan juga mahasiswa Singapura di luar negara.
Logo yang paling kreatif, unik dan benar-benar melambangkan Nadi Kampus bakal dipilih sebagai pemenang dan akan dijadikan logo rasmi bagi wadah khas untuk masyarakat penuntut IHL.
Hadiah menarik juga menanti satu-satunya pemenang peraduan tersebut!
Hadiahnya akan diumumkan kelak.
APA ITU NADI KAMPUS?
Bagi yang belum tahu apa itu Nadi Kampus, ia adalah sebuah wadah khas untuk golongan belia menyumbang cetusan idea dan karya mereka dalam pelbagai bentuk untuk dikongsi dan dimanfaatkan oleh rakan-rakan sebaya mereka.
Nadi Kampus menyasarkan kandungan 'dari belia untuk belia'.
Wadah itu boleh diakses melalui portal BERITAmediacorp.
Antara karya dan sentuhan kreatif yang boleh disumbangkan termasuk hasil penulisan, video perkongsian idea, lakonan, bakat, liputan kegiatan di kampus, lukisan dan lain-lain.
Menjadi harapan BERITAmediacorp supaya wadah ini akan dapat mewujudkan sebuah masyarakat daripada golongan belia dan penuntut serta mahasiswa IHL untuk sama-sama membina rangkaian yang positif dalam kalangan anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin pelapis dan inspirasi nusa dan bangsa pada masa akan datang.
Inilah masanya untuk anak muda seperti anda menyerlahkan bakat dan kebolehan anda kepada lebih ramai anggota masyarakat supaya ia dapat dijadikan sebagai bahan rujukan dan sumber pengetahuan.
BUTIRAN PERADUAN
Peraduan mencipta logo Nadi Kampus akan dibuka sehingga hujung Jun - bermula hari ini (19 Mei) dan akan ditutup pada 30 Jun.
Hanya satu pemenang akan dipilih dan ia akan diumumkan pada 10 Julai.
Logo yang dipilih akan dijadikan logo rasmi dan dipaparkan di laman Nadi Kampus.
Logo harus dihantar dalam format jpg. ataupun png. dan sekurang-kurangnya 1,000 piksel kali 1,000 piksel.
Para peserta bebas untuk mencipta logo berdasarkan objektif dan teras Nadi Kampus. Ia harus relevan dengan golongan belia, yang sentiasa bertenaga dan bercita-cita tinggi.
Logo yang dihantar perlu disertakan dengan penjelasan ringkas di sebalik inspirasi dan rasional karya mereka.
Contohnya, mengapa anda menggunakan warna tersebut dan sebagainya (boleh ditulis dalam Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris).
SIAPA YANG BOLEH SERTAI PERADUAN INI?
Peraduan ini dibuka kepada semua mahasiswa universiti (privet dan awam), penuntut ITE, politeknik, pelajar Pra-Universiti dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Madrasah Al-Junied Al-Islamiah dan Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah.
Mahasiswa Singapura yang menuntut di universiti luar negara juga boleh menyertai peraduan mencipta logo ini.
Tiada had penyertaan ditetapkan bagi satu-satu IHL.
KRITERIA PENILAIAN
Semua logo yang dihantar akan dinilai berdasarkan daya kreativiti, keaslian dan memastikan ia relevan dengan cita rasa dan aspirasi golongan belia serta mencerminkan Nadi Kampus.
BAGAIMANA CARA HANTAR LOGO?
Anda boleh menghantarkan logo anda ke alamat emel beritamediacorp [at] mediacorp.com.sg.
Nyatakan 'NADI KAMPUS: Peraduan Cipta Logo' pada subjek emel.
Sertakan butiran seperti nama penuh, nombor telefon, alamat emel, nama Institusi dan penjelasan ringkas tentang logo rekaan anda.
Sebarang pertanyaan mengenai peraduan mencipta logo ini boleh dihantarkan ke alamat emel yang sama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.