Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Pengalaman bercuti sambil bekerja di Australia bulatkan tekad Amira Rahmat keluar dari zon selesa

Anggaran Waktu Membaca:
Pengalaman bercuti sambil bekerja di Australia bulatkan tekad Amira Rahmat keluar dari zon selesa

Amira Rahmat antara yang awal mengikuti aturan bercuti sambil bekerja selama setahun di Australia. (Gambar-gambar: Amira Rahmat)

BERITAmediacorp: Sejak bermula pandemik COVID-19, ramai yang mungkin memikirkan semula hala tuju dan apakah yang menjadi keutamaan mereka dalam kehidupan.

Terutama sekali dari segi memburu keseimbangan hidup dan kerjaya.

Khususnya bagi anak-anak muda yang sudah tamat pembelajaran di sekolah menengah atau baru memulakan pengajian di universiti dan kini memikirkan sama ada mahu terus belajar atau menimba pengalaman bekerja terlebih dahulu ataupun memilih untuk mengambil tahun lompat atau ‘gap year’ dan mencuba nasib di negeri orang.

Untungnya bagi mereka, terdapat aturan-aturan bercuti sambil bekerja di luar negara - di bawah perjanjian dua hala antara Singapura dengan kira-kira 10 negara. Ini termasuk Australia, New Zealand, Jepun dan Amerika Syarikat. Ini memang boleh disifatkan sebagai untung 3 dalam 1: bekerja, bergaji dan bercuti di negara orang!

Salah seorang anak muda Singapura yang meraih manfaat daripada aturan sedemikian ialah Amira Rahmat. Beliau mengikuti program bercuti sambil bekerja di Australia dan menetap di negara itu selama setahun.

Di sana, Amira melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk di ladang hidrofonik tomato (selama dua bulan) memetik beri di ladang beri biru (empat bulan), menjaga haiwan di kawasan perlindungan haiwan (sebulan) dan di taman haiwan Australia (sebulan) dan di sebuah kafe (sebulan). Sambil-sambil bekerja beliau juga merebut peluang untuk meneroka Australia ibarat pepatah sambil menyelam minum air.
Malah, Amira adalah antara kumpulan pertama yang mengikuti program bercuti sambil bekerja di Australia pada tahun 2018.

“Apabila Australia memulakan aturan visa bercuti sambil bekerja kepada rakyat Singapura. Saya rasakan ini peluang tepat untuk saya disebabkan jaraknya (dekat) dengan Singapura.

“Ini tentu sekali bukan jenis kerjaya konvensional. Tiada salahnya untuk mengikut aturan bekerja secara konvensional. Namun saya sendiri mahu mencuba sesuatu yang berbeza, seperti bekerja dan menetap di luar negara,” cerita bekas siswa Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.

APA PEKERJAAN AMIRA DI AUSTRALIA?

Mereka yang dipilih mengikuti aturan bercuti sambil bekerja atau juga dipanggil ‘working holiday’, dibenarkan memilih dan memohon pekerjaan dalam apa sahaja industri yang diinginkan bergantung kepada pengalaman dan minat mereka.

Mereka juga perlu mencari sendiri pekerjaan yang ingin dilakukan dan membuat permohonan kerja kepada majikan.

Sebagai permulaan, Amira bekerja di sebuah ladang hidrofonik tomato selama dua bulan untuk menyesuaikan diri dan berjinak-jinak dengan budaya kerja di sana.

“Ia juga memberi saya pendapatan untuk memulakan kehidupan saya. Saya bekerja dengan sebuah pasukan antarabangsa. Kami juga ada anjurkan sesi barbeku bersama kakitangan syarikat dan meneroka bandar Melbourne bersama-sama pada hari cuti,” kongsi Amira.

Amira kemudian 'bertukar angin' ke sebuah kawasan perlindungan haiwan liar, yang terletak di Gladstone, di mana beliau menjaga spesies tertentu haiwan terancam seperti wombat dan walabi. Di sana, Amira menetap bersama sebuah keluarga warga Australia.
Kemudian, Amira berpindah ke Brisbane dan bekerja di sebuah ladang beri biru yang masyhur, iaitu Costa Farms, yang juga pengeluar beri berjenama Driscolls -yang juga dieksport ke pasaran Singapura.

“Saya bermula sebagai tukang petik beri. Kemudian naik pangkat sebagai penyelia disebabkan penguasaan bahasa Inggeris yang baik. Saya belajar tentang kawalan mutu beri, melatih kakitangan baru dan juga bekerja dengan sebuah pasukan antarabangsa,” Amira memberitahu BERITAmediacorp.
Amira di ladang beri.
Selepas empat bulan di ladang beri tersebut, Amirah mengambil masa untuk merantau ke beberapa destinasi seperti Uluru dan Darwin dan berkenalan dengan beberapa rakyat Australia dan warga asing, yang kemudian menjadi kenalannya.

Setelah itu, Amira ke Sydney dan bekerja sebagai seorang ‘barista’ di sebuah kafe. Di sinilah beliau menimba dan menajamkan kemahiran membuat kopi! Bandar ini jugalah yang menjadi bandar kegemaran Amira di Australia.

Amira juga bekerja secara sukarela di taman haiwan Australia, di Queensland.
Apabila ditanya tentang gajinya di sana, Amira berkata: “Semasa bekerja sebagai penyelia, saya rasa sekitar AUD$24 (S$23) sejam. Itu untuk pekerjaan tertentu. Sebagai tukang petik beri, ia bergantung kepada timbangan beratnya. Seminggu saya boleh dapat…untuk minggu yang baik saya boleh dapat AUD$1,000 (S$960) seminggu.”

APA ITU ATURAN BERCUTI SAMBIL BEKERJA?

Aturan bercuti sambil bekerja adalah lawatan yang dilanjutkan ke luar negara, membolehkan anda menetap lebih lama berbanding visa pelawat biasa. Anda juga dibenarkan meraih pendapatan menerusi pekerjaan jangka pendek.

Meskipun sebahagian peserta yang mengikuti program ini boleh memilih untuk bercuti dan bekerja selama setahun atau lebih dari itu, sebahagian yang lain memilih untuk melakukannya hanya untuk selama beberapa bulan sahaja.

Di Australia, aturan ini membolehkan anda bekerja sepenuh masa, sambilan, melakukan kerja-kerja sukarela atau tidak bekerja langsung. Anda diberi kebebasan untuk menentukan tempoh bekerja yang anda inginkan.

BILA IA DIMULAKAN?

Singapura dan Australia memeterai perjanjian dua hala bagi aturan visa bercuti sambil bekerja pada Mei 2016.

SIAPA YANG LAYAK?

Rakyat Singapura dan Australia yang berusia antara 18 hingga 30 tahun layak mengikuti aturan tersebut. Bermakna, mereka boleh saling melakukan perjalanan, menetap, bekerja dan belajar di kedua-dua negara.

BERAPA LAMA TEMPOH SAH VISA?

Tempoh visa bagi aturan tersebut, yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara, sah selama setahun.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman Jabatan Ehwal Dalam Negeri Australia dan Lembaga Pelancongan Australia
 
Kurangkan Artikel
BANYAK BERDIKARI, BENTUK CARA BERFIKIR

Semasa di Australia, Amira benar-benar belajar berdiri di atas kaki sendiri sepenuhnya. Dari mencari tempat tinggal, merancang kewangan, membuat kawan baru dan mempelajari budaya baru.

“Ini menjadikan saya lebih berdikari, lebih bergantung kepada diri sendiri, pintar akal, berupaya untuk lebih mudah menyesuaikan diri dengan keadaan.

“Selain itu, bekerja di luar negara akan memperluaskan pengalaman saya dan menjadikan saya rakyat global. Saya percaya dengan adanya pemikiran yang global, ini bermakna menyemai kesedaran tentang budaya dan lebih berkebolehan untuk menyesuaikan diri dengan orang-orang daripada budaya dan latar belakang berbeza,” kata Amira.
Pengalaman yang diraih Amira menerusi aturan sedemikian juga membentuk pemikirannya tentang pekerjaan dan kehidupan secara amnya.

Ini kerana setelah pulang ke tanah air, Amira menjadi lebih berani dan terbuka untuk tidak hanya menuruti aturan konvensional. Beliau semakin bertekad untuk memilih untuk mengejar impian dan minatnya.

“Pengalaman saya mencetuskan ilham untuk saya membuka dua perniagaan online dan saya gemar bercuti ke luar negara jadi saya ingin berkongsi tentang pengalaman-pengalaman mesra Muslim serta makanan halal di merata dunia,” kata Amira.

Amira kini mengasaskan dua wadah media sosial. Yang pertama, beliau berkongsi kandungan tentang percutian dan makanan (@asingaporeanabroad) serta bekerjasama dengan syarikat-syarikat dalam projek berbeza.
Yang kedua, sebuah blog percutian yang berkongsi tentang perjalanan ke luar negara dari kaca mata seorang Muslim.

“Aturan bercuti sambil bekerja ini juga membuat saya sedar bahawa ada banyak peluang, di mana saya boleh meraih pendapatan secara online asalkan saya ada internet. Sebenarnya banyak lagi peluang yang boleh kita teroka, jika kita cukup berani untuk melangkah keluar dari zon selesa dan mencubanya,” kata beliau kepada BERITAmediacorp.

NASIHAT UNTUK GENERASI MUDA YANG MAHU IKUTI PROGRAM SAMA

Apabila ditanya apa yang akan dikatakan kepada generasi muda yang berminat untuk mengikut jejak langkah beliau, Amira memetik kata-kata mutiara seorang penulis, Zig Ziglar: “Membuat perubahan besar dalam kehidupan agak menyeramkan. Tapi tahukah anda apa yang lebih menyeramkan? Kekecewaan.”

"Saya rasa secara amnya, rakyat Singapura masih berasa sukar untuk menerima dan percaya bahawa ia masih belum terlambat untuk menjadikan impian hidup di luar negara sebagai satu realiti. Hakikatnya, saya belajar bahawa tiada tarikh luput untuk mengubah haluan hidup kita. Saya berusia 25 tahun apabila saya ke Australia.

"Apabila kita keluar dari zon selesa dan melangkah ke ruang yang tidak biasa, kita berdepan idea-idea dan cara baru untuk berfikir. Ini yang mendorong kita untuk berkembang, baik dari segi mental dan emosi. Ini satu lagi pengajaran penting yang saya belajar melalui pengalaman bercuti sambil bekerja," Amira memberitahu BERITAmediacorp.
Beliau menambah, pengalaman berpindah dan menetap di luar negara memberi kebebasan untuk hidup mengikut peraturan sendiri.

"Ia suatu perasaan yang membebaskan dan membawa anda ke satu arah untuk lebih mengenali diri sendiri dan berdikari," tambah beliau.

PERMINTAAN MENINGKAT

Permintaan bagi aturan bercuti sambil bekerja ini kian mendapat perhatian dan minat dalam kalangan belia.

Apabila aturan itu dimulakan sekitar 2017, kira-kira 500 rakyat Singapura layak mengikutinya.

Sekarang jumlahnya sudah meningkat kepada 2,500 orang.

“Kami menyaksikan permintaan memberangsangkan bagi pengalaman autentik dan tidak mudah dilupakan untuk benar-benar melalui pengalaman mengasyikkan di negara ini dan apakah cara terbaik untuk hidup seperti penduduk tempatan kalau bukan menerusi aturan bercuti dan bekerja.

“Australia adalah destinasi popular bagi golongan muda yang mengikuti aturan ini, yang boleh menikmati pengalaman bekerja dan kehidupan yang amat rencam, di samping berasa selesa dengan budaya kami yang santai serta mengenali mercu tanda-mercu tanda kami yang ikonik dan kreatif. Ia suasana yang biasa tetapi sentiasa satu pengembaraan,” kata Pengurus Besar Serantau Lembaga Pelancongan Australia bagi Asia Selatan dan Asia Tenggara (SSEA), Brent Anderson.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan