Skip to main content

Nadi Kampus

Penerbitan NUS cabar idea kemodenan hakis tradisi, tegaskan ia abai keupayaan masyarakat sesuaikan diri

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbitan NUS cabar idea kemodenan hakis tradisi, tegaskan ia abai keupayaan masyarakat sesuaikan diri

Persembahan "Ku kelek, Ku dukung" yang berlangsung di Pusat Seni Universiti NUS. (Gambar: Rumah Rima)

SINGAPURA: Tanggapan bahawa kemodenan menghakis tradisi, sehingga "perubatan lama dikatakan syirik", boleh dikatakan tidak lekang daripada bibir masyarakat. 'Kemodenan' dan 'Tradisi' bahkan selalunya dianggap dua perkara yang sangat bertentangan.

Persepsi sebegini bagaimanapun mengabaikan hakikat bahawa sesebuah masyarakat itu perlu terus menyesuaikan pemikiran mahupun amalan mereka mengikut konteks semasa, dan bukannya terikat kepada hanya satu perkara - kemodenan ataupun tradisi.

Isu ini dibangkitkan dalam satu penerbitan NUS bertajuk "Ku Kelek, Ku Dukung" pada Rabu (19 Feb) sempena Pesta Seni Universiti Nasional Singapura (NUS) yang sedang berlangsung dari Februari hingga April 2025. Pesta anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar NUS itu kali ini bertemakan 'Crossroads'.


 
Segmen pertama persembahan 'Ku Kelek, Ku Dukung" tentans adat lenggang perut. (Gambar: Nur Syafeera/ BERITA MediaCorp)

TARIAN, MUZIK DAN PANTUN DIGUNAKAN UNTUK SAMPAIKAN MESEJ

"Ku Kelek, Ku Dukung" menggabungkan beberapa elemen seni berbeza di mana kumpulan tarian Melayu NUS, Ilsa Tari, menjayakannya bersama sekumpulan pemantun dikenali sebagai Rumah Rima dan tiga pemuzik tempatan.

Idea di sebalik penerbitan pula datang daripada peribahasa "yang lama di kelek, yang baru didukung". Peribahasa ini membawa maksud adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu. 

"Kami menyelidik (dengan membaca) buku-buku tentang adat Melayu. Dari situ, kami berbincang dan kami menulis beberapa sajak dan cuba menyesuaikannya kepada tarian yang ada," kongsi salah seorang pemantun Rumah Rima, Aisyah Lyana, kepada kru Nadi Kampus.

Rakan pemantunnya, Maisarah Ishak, 23 tahun, menambah: "(Penerbitan ini) juga melambangkan adat yang akan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi dan bagaimana setiap generasi ada bebannya untuk meneruskan warisan ini."


 

ADAT 'LAMA' DIRUNGKAI

Empat adat resam yang semakin lesap ditonjolkan dalam kupasan isu utama, iaitu adat lenggang perut, perubatan, bersanding dan pengebumian.

Setiap satu diketengahkan secara teliti agar penonton dapat merenungkan bagaimana kedua-dua tradisi dan kemodenan terus wujud dalam masyarakat.

Dalam segmen kedua yang menyelongkar adat perubatan misalnya, kumpulan penerbitan dengan berani mempersoalkan kewajaran cara dulu dan baharu, selain menyelongkar bagaimana kedua-duanya mempunyai kaitan dengan unsur agama.

Satu rangkap dalam sajak yang disampaikan dalam segmen tersebut berbunyi:

Perubatan lama warisan klasik

Nekad bertahan dimamah masa

Ilmu berharga dikatakan syirik

"Ku Kelek, Ku Dukung" turut mengetengahkan bagaimana adat perubatan lama masih diamalkan kerana sejarah telah mengajar masyarakat tentang peranannya dalam memberi kekuatan dan perlindungan.

"Kami berharap persembahan ini menggalakkan pemikiran yang seimbang antara tradisi dan kemodenan. Tidak semestinya kedua konsep ini bertentangan," tegas seorang lagi penari Ilsa Tari, Sharifah 'Izzah Muhd Shahril. 

Sekitar 180 tiket bagi penerbitan ini berjaya dijual. 


 
Sumber : BERITA Mediacorp/SF/sf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita