Pencipta kandungan ini terkilan, tidak sempat kongsi kejayaan bersama ibu bapa
Muhamad Imran Shamer di Mediacorp Campus pada wawancara bersama BERITA Mediacorp.
SINGAPURA: Enam tahun lalu, ketika berusia 24 tahun, Muhamad Imran Shamer, memulakan perjalanannya untuk menjadi seorang pencipta kandungan online atau 'content creator' di YouTube.
Menggunakan nama Aimrun, beliau hanya mampu menarik 100 orang pengikut.
Namun, Imran, yang dikenali bagi video berbentuk 'prank' atau gurauan, kini adalah antara pencipta kandungan terbesar di Singapura dengan kira-kira setengah juta pengikut.
SOKONGAN KUAT IBU BAPA UNTUK KEJAR IMPIAN, MESKI BERHENTI SEKOLAH
"Di sekolah saya ambil jurusan kejuruteraan kimia dan biologi molekul. Itulah minat saya kerana menjadi saintis mempunyai status yang 'tinggi'. Namun setelah setahun, saya sedar yang ia bukan untuk saya kerana saya memang sudah lama bercita-cita menjadi seorang pencipta kandungan, " kongsi Imran dengan penerbit Nadi Kampus, Syafeera Mohammed Sofian.
Bekas pelajar Politeknik Ngee Ann itu mendapatkan dulu restu kedua ibu bapanya sebelum membuat keputusan untuk berhenti sekolah demi mengejar impian yang lama dipendamnya itu.
" Untuk mendapatkan kebenaran bapa saya, saya sediakan peta minda (tentang perancangan) dan dia percaya pada saya, dan ibu bapa saya beri sokongan dan saya amat bersyukur," tambah Imran sambil berkata sebagai anak bongsu dari tiga beradik, abang dan kakaknya amat prihatin terhadap beliau.
TERKILAN IBU BAPA TIDAK SEMPAT LIHAT DIRINYA BERJAYA
Hasrat Imran untuk membuktikan kepada kedua ibu bapanya bahawa mereka tidak salah menyokong impiannya tidak kesampaian apabila ayahnya meninggal dunia.
" Pada ketika itu (saya) masih 'kecil' dan itu lah bila bapa saya meninggal dan beliau tidak dapat lihat perkembangan kerjaya saya, " luah Imran.
Ibunya menyusul selepas itu.
Kedua-dua mereka meninggal dunia akibat barah dan tidak sempat merasai kejayaannya.
"Saya teruskan perjalanan untuk buktikan mereka tidak salah beri saya sokongan, " tambahnya lagi.
RAMAI YANG SANGKA KERJA INI 'MUDAH' & 'SERONOK'
Video yang dimuat naik di platform media sosial Imran seperti TikTok, boleh cecah hingga lebih satu juta 'likes'.
Namun, perjalanannya untuk menjadi seorang pempengaruh tidaklah mudah dan memerlukan lebih dari sekadar membuat kandungan menarik.
Ia melibatkan banyak cabaran dan kerja keras, tegas Imran.
" Sebenarnya saya juga pernah ada salah sangka yang apabila saya lihat pencipta kandungan lain online, ia nampak seronok dan mudah saja.
"Sekarang, saya dalam bidang ini saya sedar bahawa macam-macam yang dilakukan sebalik tabir namun secara kreatif, atau secara berniaga. Ada banyak yang dilakukan sekadar apa yang dilihat di media sosial. "
Antaranya, Imran terpaksa mengorbankan banyak masa dan tenaga demi sampai ke tahap sekarang.
Sebagai contoh, sementara rakan-rakannya yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) berehat pada hujung minggu, beliau gunakan masa di luar kem untuk menghasilkan video termasuk mencari idea, menulis skrip, dan menyunting video-video itu.
GUNA KEMAHIRAN BANTU MASYARAKAT
Baru-baru ini, pada 2 Ogos Imran dan dua lagi rakannya menganjurkan kelas untuk mengajar usahawan serta mereka yang bercita-cita jadi pencipta kandungan cara-cara teknikal dalam hasilkan video yang viral.
Semua tiket untuk mengikuti kelasnya itu laris dijual.
Selama lapan jam, seramai 40 pelajarnya diajar cara membangunkan jenama peribadi, membuat kandungan yang menarik, strategipemasaran online dan cara berinteraksi dengan audiens.
"Matlamat saya pada masa depan ialah untuk membantu usahawan, pengasas dan pencipta kandungan yang bercita-cita menjadi tular di media sosial dan memanfaatkan media sosial untuk tolong mereka, sama ada dalam perniagaan atau sebagai pempengaruh," ujarnya.
"Saya belajar semuanya sendiri dari menyunting, membuat skrip, analitik. Oleh kerana saya belajar sendiri, ia ambil masa yang agak lama.
"Itulah sebabnya kami mahu adakan kelas ini, untuk jimatkan masa semua yang hadir."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.