Pementasan siswa NUS 'Memori' selongkar liku ratapi pemergian insan tersayang; hampir semua tiket terjual
Daripada penghasilan naskhah "MEMORI" hingga pengarahan pementasan itu, ia dijayakan oleh sekumpulan mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) di bawah PBMUKS, yang dipanggil Pentas Budaya. (Gambar: Pentas Budaya)
This audio is generated by an AI tool.
Ini yang diselongkar dalam pementasan berjudul "MEMORI", dalam menampilkan kisah tiga anak-beranak yang kehilangan seorang bergelar suami dan bapa.
Pementasan itu merupakan usaha sekumpulan mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) di bawah PBMUKS, yang dipanggil Pentas Budaya.
"MEMORI" berlangsung pada 20 dan 21 Jun di Black Box Drama Centre di Bangunan Perpustakaan Negara.
Menyedari betapa sukarnya untuk mengupas tema mengenai "ratapan pemergian insan tersayang", penulis skrip, Nur Hidayah Salim berkongsi beliau berusaha untuk menyulamkan segala iktibar yang diperolehi daripada perbualannya dengan mereka daripada pelbagai latar belakang.
"Saya berharap yang "MEMORI" dapat mengajak kita semua untuk memahami bahawa setiap orang melalui rasa kesedihan atau rasa kehilangan dengan cara yang berbeza dan juga bagaimana kita boleh menunjuk sokongan ataupun rasa kasih sayang kepada orang-orang yang kita cintai," kata mahasiswi NUS dalam jurusan sains politik itu.
Daripada penghasilan naskhah "MEMORI" hingga pengarahan pementasan itu, ia dijayakan oleh seramai 28 mahasiswa NUS.
Ditanya perbezaan pementasan kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya, pengarah projek "MEMORI" Nur Farwizah Mohamed Farok menarik perhatian mengenai strategi pemasarannya.
Satu siri wawancara jalanan lima bahagian diperkenalkan di wadah media sosial, yang mengajak belia, tidak kira yang Melayu dan bukan berbangsa Melayu, untuk meluahkan makna sebenar 'kehibaan' buat diri masing-masing.
Selain itu, pementasan "MEMORI", menurut Farwizah, adalah wadah untuk menonjolkan bakat muda dalam arena teater Melayu.
Ini memandangkan kesemua lima watak yang ditampilkan dalam pementasan "MEMORI" terdiri daripada mereka daripada pelbagai latar belakang.
Mereka dipilih setelah menjalani uji bakat yang diadakan sekitar lima bulan sebelum pementasan tersebut.
Ini termasuk Aisyah Wardina Mohd Redzuan, 23 tahun yang bertugas sebagai seorang juruteknik makmal.
Beliau akur bukanlah mudah untuk memainkan watak utama "Melur", seorang isteri yang kehilangan seorang suami tetapi perlu cekal demi dua anaknya.
"Saya menghadapi masalah untuk betul-betul menghayati emosi seorang ibu yang baru kehilangan pasangannya. Dengan masa, saya lebih memahami 'Melur', dari sisi luar dan dalam. Saya dapat menghayati setiap perkataan setiap perlakuan watak itu," ujar Aisyah.
Para penonton rata-rata memuji usaha pementasan "MEMORI" dalam mengetengahkan tema tersebut, bahkan mereka yang bukan berbangsa Melayu.
"Walaupun pementasan itu dalam bahasa Melayu dan saya berbangsa Cina, saya dapat memahami isi ceritanya dengan sari kata bahasa Inggeris yang disediakan," jelas Roy, salah seorang penonton pementasan "MEMORI".
Penghayatan lakonan setiap watak "MEMORI" ternyata berhasil menghidupkan naskhah itu yang menusuk jiwa, tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.