Pelajar TP ini jadikan lakaran idea ilham jenama tudung Sairabyaisa
Pengasas Sairabyaisa, Aryssa Iskandar yang juga merupakan pelajar tahun akhir Politeknik Temasek yang berusia 19 tahun. (Gambar: Syafeera Sofian/ BERITA Mediacorp)
SINGAPURA: Rambang mata dibuatnya dengan pelbagai jenis tudung bermacam corak dan warna yang terdapat di pasaran.
Apa yang bermula sebagai lukisan di buku nota, kini menjadi produk yang dijual di pasaran di bawah jenama Sairabyaisa, antara jenama hijab tempatan yang baharu berjinak-jinak dalam bisnes tudung.
“ Pada suatu hari itu, saya sedar yang saya sering lukis corak tudung tapi tak buat apa-apa (dengannya). Daripada biarkan sahaja lukisan itu di dalam iPad, saya pun kumpul duit, “ kongsi pelajar Politeknik Temasek (TP), Aryssa Iskandar bersama BERITA Mediacorp.
Pada Disember 2024, lahirlah Sairabyaisa, rekaan peminat seni lukis berusia 19 tahun ini, mewakili generasi pereka Gen Z.
Baru-baru ini, Sairabyaisa antara jenama yang membuat penampilannya di ‘FOMO Weekend Market’ pada 31 Mei hingga 1 Jun 2025 di Suntec Singapura.
CORAK UNIK SAIRABYAISA HASIL KARYA SENDIRI
Meskipun Aryssa seorang pelajar tahun akhir dalam kursus Seni Bina Dalaman dan Reka Bentuk, setiap tudung dalam koleksinya mendapat sentuhan kreatif di kanvas lukisan atau secara digital dalam iPad.
“ Ilham (rekaan koleksi) datang daripada hidup seharian. Bagi saya ilham bukan sesuatu yang kita boleh cari, tetapi ia akan datang sendiri.
“Apabila saya berada di luar dan kebetulan ternampak sesuatu yang comel, cantik atau menarik, saya akan memetik gambarnya dan dari gambar-gambar ini saya akan melukis untuk hasilkan koleksi yang menarik, “ kata Aryssa tentang corak hijab dari tujuh jenis koleksi Sairabyaisa.
Fokus rekaannya kepada bagaimana karya tersebut menjadi suara unik dalam fesyen, bukan sahaja ikut arus trend.
Tudung Sairabyaisa berharga S$26 setiap satu dengan jenis shawl ‘modal’ pula berharga S$18.
AYAH BIMBANG - MAMPUKAH ARYSSA IMBANGI PELAJARAN DAN KEUSAHAWANAN
Ketika berkongsi hasratnya untuk menghasilkan jenama Sairabyaisa, ibunya yang pertama diberitahu. Beliau juga lebih terbuka untuk memberi sokongan kepada Aryssa.
Bagaimanapun, lain pula reaksi bapanya.
Beliau pada mulanya agak bimbang kalau-kalau Aryssa akan hilang fokus pada pelajarannya.
Namun, dengan tekad yang kuat, Aryssa berjaya membuktikan beliau bukan sahaja dapat mengimbangi masa dengan baik, tetapi memajukan juga perniagaanya.
“ Kadangkala kawan-kawan saya ajak untuk keluar bersama tetapi saya tidak dapat ikut mereka kerana harus uruskan Sairabyaisa dan kerja sekolah.
“ Namun begitu, saya tiada masalah untuk buat pengorbanan kerana ia sesuatu yang amat saya minati,” luahnya.
BERMULA DENGAN BERNIAGA DI SEKOLAH, KINI SUDAH IKUT ACARA ‘POP-UP’
Minat Aryssa untuk berniaga sudah lama berputik dari kecil lagi.
Ketika di menengah dua Aryssa menjual aksesori di sekolah. Pada tahun 2021 pula beliau cuba menjual pelekat.
Kedua-dua perniagaan itu bagaimanapun tidak dapat bertahan lama.
Kongsi Aryssa, tiada seorang pun ahli keluarganya yang berminat untuk menjadi usahawan.
Namun minatnya untuk berniaga didorong oleh kemahuan untuk berkongsi hasil karya seninya.
Bagi perniagaan hijabnya ini, Aryssa amat bersyukur atas sokongan daripada keluarga dan rakan sekolahnya.
Mereka menjadi antara pelanggan pertama yang membeli koleksi tudungnya!
“Apabila terserempak orang di luar yang pakai shawl saya, saya akan tegur mereka dan juga bergambar bersama mereka, “ kata peniaga muda ini.
Setakat ini, dalam tempoh enam bulan sahaja, Aryssa sudah ikut serta dalam tiga acara ‘pop-up’ berlainan. Yang pertama di sebuah acara sekolah yang memberi sokongan kepada usahawan muda, disusuli acara pada bulan puasa dan di ‘FOMO Weekend Market’ baru-baru ini.
INGIN TINGKATKAN KEYAKINAN WANITA BERHIJAB
Selain memastikan harga koleksinya mampu dimiliki pelajar sepertinya, Aryssa juga berharap wanita berhijab merasa lebih yakin diri semasa menggayakan tudung rekaannya.
“ Jangan takut dengan tudung saya yang (coraknya) sangat ‘wow’. Ini kerana ia dapat keluarkan seri dalaman anda dan membuat anda sedar yang ia tidak susah untuk tampilkan diri di khalayak ramai, “ luah Aryssa.
“Harapan saya untuk kembangkan jenama saya ini secara sepenuh masa.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.