Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Pelajar SG alami gejala kemurungan, keresahan secara purata terlepas 24 hari persekolahan setiap tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar SG alami gejala kemurungan, keresahan secara purata terlepas 24 hari persekolahan setiap tahun

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 19 May 2023 01:47PM Dikemas Kini : 19 May 2023 01:56PM

SINGAPURA: Apabila Fitriah, 19 tahun, sedar bahawa beliau menunjukkan gejala kemurunganan dan berasa tertekan di sekolah, beliau tidak mendapatkan bantuan pakar atau diagnosis kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Sebaliknya, beliau mengaku mengambil "cuti kesihatan mental" dari sekolah apabila memerlukannya. Ia menyebabkan Fitriah memalsukan pelbagai jenis penyakit untuk melindung cabaran berkaitan kesihatan mentalnya.

"Saya rasa saya sudah mensia-siakan potensi saya dari segi pembelajaran," katanya.

Kisah masalah Fitriah merupakan menggambarkan dapatan kajian oleh Sekolah Perubatan Duke-NUS dan Institut Kesihatan Mental (IMH) yang dikeluarkan pada 11 Mei.

Kajian tersebut mendapati bahawa kemurungan dan perasaan resah dalam kalangan remaja Singapura menyebabkan mereka tidak menghadiri sekolah dengan purata 190 jam, atau 24 hari pada tempoh bersekolah setahun.

Namun bagi satu daripada lapan pelajar, atau sekitar 13 peratus, keputusannya lebih teruk kerana mereka tidak menghadiri sekolah selama tiga bulan atau lebih, menurut kajian itu.

Penyelidik dari Duke-NUS dan IMH meninjau 991 ibu bapa, yang mewakili 1,515 kanak-kanak dan belia berusia empat hingga 21 tahun, antara April hingga Jun tahun lalu.

Tinjauan itu mendapati bahawa daripada 1,515 belia, 178 (atau 11.7 peratus) mempunyai gejala kemurungan dan 194 (atau 12.8 peratus) mempunyai gejala keresahan, dengan sebilangan mereka melaporkan mempunyai kedua-dua gejala.

MENGAPA IA PENTING

Para penyelidik berkata bahawa terdapat bukti kemurungan dan keresahan yang semakin meningkat dalam kalangan golongan belia, menyumbang kepada kos agaan kesihatan yang mereka hadapi serta prestasi mereka yang lemah di sekolah.

Disebabkan kes-kes yang tidak dilaporkan, penyelidik tersebut menambah bahawa keputusan itu menunjukkan kadar yang membimbangkan dalam kalangan belia di Singapura, yang menunjukkan gejala kemurungan dan keresahan yang konsisten, di mana ramai di antara mereka tidak dirawat.

Mereka berkata bahawa keputusan itu menunjukkan masalah jangka pendek disebabkan gejala itu, dan memberi bayangan terhadap kesan jangka panjang disebabkan prestasi lemah di sekolah.

PRESTASI PELAJAR ALAMI KEMURUNGAN, KERESAHAN DI SEKOLAH LEBIH TERUK

Secara purata, belia yang mempunyai gejala kemurungan atau keresahan yang konsisten terlepas 190 jam di sekolah tahun lalu, bersamaan dengan 24 hari.

Secara keseluruhan, kira-kira empat daripada 10 atau 39 peratus belia terlepas sebanyak satu bulan atau lebih persekolahan, dan 13 peratus terlepas kira-kira tiga bulan atau lebih persekolahan, menurut kajian itu.

Antara ibu bapa yang melaporkan bahawa anak mereka mempunyai gejala kemurungan atau keresahan, kadar purata terhadap prestasi sekolah adalah 6.3 daripada 10, manakala kadar purata mengenai prestasi aktiviti harian adalah 5.8 daripada 10.

Dr Adrian Loh, seorang perunding psikiatrik kanan di Promises Healthcare, berkata bahawa kesan jangka panjang bagi penyakit mental yang tidak dirawat termasuk kesukaran dari segi pelajaran dan pekerjaan, seperti berhenti sekolah atau kesukaran mendapat pekerjaan tetap.

KOS JAGAAN KESIHATAN TINGGI HALANG BELIA MINTA BANTUAN

Sepanjang setahun lalu, 63 peratus kanak-kanak yang mempunyai gejala kemurungan dan keresahan secara konsisten melawat jabatan kecemasan, dan 54 peratus dihantar ke hospital, menurut kajian itu.

Kos jagaan kesihatan berkaitan kemurungan dan keresahan secara purata berjumlah S$10,250 setiap orang. Ini termasuk lawatan kecemasan di hospital, kemasukan ke hospital dan ujian diagnostik yang terdiri dari 43 peratus kos tersebut.

Encik Lim dari Pusat Kaunseling Singapura menambah bahawa kebimbangan tentang kemampuan, terutama bagi rawatan jangka panjang, merupakan antara sebab mengapa golongan belia tidak mendapatkan bantuan pakar.


BELIA 'TIDAK SELESA' DEDAH KEADAAN KEPADA IBU BAPA

Walaupun dengan tahap interaksi tinggi dengan sistem kesihatan, tinjauan itu mendapati bahawa 84.8 peratus belia yang mempunyai gejala kemurungan dan keresahan yang konsisten tidak mendapatkan diagnosis rasmi oleh penyedia jagaan kesihatan.

Para kaunselor dan pakar kesihatan mental memberitahu Mediacorp bahawa stigma untuk mendapatkan bantuan dan sokongan bagi isu kesihatan mental dapat menghalang belia daripada mendapatkan bantuan pakar atau diagnosis rasmi.

Cik Fion Zheng, seorang kaunselor profesional di Talk Your Heart Out berkata bahawa, "segelintir belia masih bimbang dianggap salah, dilabel, atau berdepan tindak balas, terutama jika anggota keluarga mereka atau kepercayaan budaya mereka tidak menyokong untuk dapatkan bantuan".

"Jika lebih ramai ibu bapa terbuka untuk mempelajari tentang kesihatan mental dan melengkapkan diri dengan ilmu untuk berkomunikasi kepada anak mereka dengan lebih baik, atau ingin tahu di mana atau bagaimana untuk mendapatkan bantuan, lebih banyak perubahan positif boleh berlaku," kata Cik Mariya Angelova, seorang kaunselor kanan di Sofia Wellness Clinic.

Sumber : Today/AE/ae

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan