Skip to main content

Nadi Kampus

Pelajar Melayu Sekolah Menengah Yuhua hayati iktibar hikayat Mahsuri dalam pementasan, wadah pertajam bahasa dan kenali budaya

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Membayangkan semula lagenda Mahsuri berlatarbelakangkan era 60-an, sambil menghayati iktibar yang dapat diraih daripada kisah asal yang menyingkap padahnya pengkhianatan.

Inilah pengalaman yang dapat diperolehi pelajar Melayu Sekolah Menengah Yuhua menerusi pementasan berjudul "Dusta Dek Desta".
Pementasan “Dusta Dek Desta” dijayakan sepenuhnya oleh para pelajar bersama tujuh orang guru Bahasa Melayu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Hampir 30 pelajar dari Menengah 1 hingga 3 menjayakan pementasan itu, dengan sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Ia berlangsung pada Rabu (12 Nov) di Gateway Theatre.
Poster pementasan "Dusta Dek Desta". (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Sejak diperkenalkan pada 2019, pementasan yang diadakan setiap 2 tahun itu adalah sebahagian daripada program Melayuhua.

Diterajui oleh Unit Bahasa Melayu sekolah itu, pementasan tersebut digunakan program Melayuhua sebagai wadah untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh bagi para pelajar untuk mendalami dan menghayati sesebuah naskhah Melayu, di samping membina keyakinan diri dalam berkomunikasi.

Dari aspek arahan, penyusunan lagu sehinggalah ke kerja belakang tabir dan lakonan, pementasan “Dusta Dek Desta” dijayakan sepenuhnya oleh para pelajar bersama tujuh orang guru Bahasa Melayu.

Turut terlibat ialah guru tari tempatan, Dinie Dasuki Osman, yang memberikan sokongan dari segi koreografi bagi menyemarakkan lagi pementasan tersebut.

Menariknya, naskhah “Dusta Dek Desta” merupakan hasil karya Cikgu Muhd Shukri Shuhaimi, seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Yuhua.

Cikgu Muhd Shukri Shuhaimi, seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Yuhua. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
"Daripada pementasan ini, pertama sekali, pelajar boleh lihat kepada kepentingan melihat kepada perspektif sesuatu sejarah itu terjadi. Apakah puncanya?...Yang kedua kita dapat melihat macam mana pelajar bila mereka menyelami, mereka lebih menghargai dan mengenali tokoh-tokoh Melayu dan juga sejarah-sejarah Melayu yang ada di merata Nusantara itu sendiri," kongsi Cikgu Shukri kepada wartawan Syazwani Sanep.

Pada tahun lalu, para pelajar malah, berpeluang untuk mengunjungi beberapa tapak bersejarah di Langkawi, untuk memahami sendiri hikayat agung Mahsuri menjelangnya persiapan bagi pementasan itu.
Para pelajar berpeluang untuk mengunjungi beberapa tapak bersejarah di Langkawi pada November 2024 untuk memahami sendiri hikayat agung Mahsuri. (Gambar: Muhd Shukri Shuhaimi)
Lawatan sambil belajar itu dilakukan dari 5-8 November 2024, yang melibatkan seramai 30 pelajar dan 5 guru.
Para pelajar dan guru yang terlibat dalam lawatan sambil belajar ke Langkawi itu. (Gambar: Muhd Shukri Shuhaimi)
AJAK PELAJAR TONTON BABAK FILEM P. RAMLEE UNTUK FAHAM KONSEP ERA 60 AN

Persiapan bagi pementasan itu sudah bermula sejak Julai tahun ini.

Selepas menghadiri uji bakat, para pelajar menjalani sebanyak 20 sesi latihan intensif untuk memperkukuh kemahiran serta keyakinan mereka untuk menyanyi, berlakon dan menari di hadapan khalayak ramai.
 
Para pelajar menjalani sebanyak 20 sesi latihan intensif untuk memperkukuh kemahiran serta keyakinan mereka untuk menyanyi, berlakon dan menari di hadapan khalayak ramai. (Gambar: Muhd Shukri Shuhaimi)
Memandangkan ini merupakan pengalaman pertama bagi kebanyakan pelajar, tidak hairanlah mereka menghadapi pelbagai cabaran untuk menjiwai watak masing-masing.

Ini diakui Nur Aisyah Nur Muhamed yang memainkan watak utama “Mahorah”.
Nur Aisyah Nur Muhamed, seorang pelajar Menengah 3, memainkan watak utama “Mahorah”. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
"Satu cabaran yang paling besar untuk saya ialah mungkin untuk menunjukkan perasaan dan emosi yang ketara seperti gila, runsing dan kesal ... bagaimana cara untuk mengeluarkan ekspresi muka dengan emosi-emosi yang sesuai. Saya dapat mengatasinya dengan maklum balas dan bimbingan daripada guru-guru dan sokongan daripada kawan- kawan dan keluarga saya," luah pelajar Menengah 3 itu.
Nur Aisyah Nur Muhamed (kanan) dan Sheerin Nassah (kiri) antara pelajar yang terlibat sama dalam pementasan itu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Bagi Sheerin Nassah, pelajar Menengah 1 yang melakonkan watak "Cik Senah" dalam pementasan itu, beliau merasakan segala usaha selama 4 bulan ternyata berbaloi.

"Satu pengajaran yang saya dapat Ialah ia membantu membina keyakinan diri saya dan juga pementasan ini dapat membantu saya menambahkan ilmu saya dalam sejarah-sejarah Melayu," jelas Sheerin.
Guru-guru bahasa Melayu Sekolah Menengah Yuhua. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Ditanya apakah cabaran terbesar yang dihadapi guru-guru pula, Cikgu Shukri mengakui kesukaran memastikan pelajar-pelajar benar-benar memahami era 60an itu supaya mereka dapat menghidupkan suasana tersebut.

Ini apatah lagi memandangkan tenaga pengajar sendiri tidak melalui zaman tersebut.

Lantas, para pelajar diajak menonton babak-babak filem P Ramlee semata-mata untuk merangsang minat dan pemahaman mereka terhadap gaya hidup masyarakat pada era 60-an.

"Kita (juga) mendapatkan mereka untuk tanyakan kepada datuk, nenek mereka. Jadi kita lihat kali ini, pementasan ini ramai datuk, nenek mereka datang untuk melihat cucu- cucu mereka bertutur dalam bahasa Melayu," ujarnya sambil tersenyum.

Lebih 400 penonton secara keseluruhannya menghadiri dua sesi pementasan, iaitu pada 2.00 petang dan 8.00 malam.
Antara yang hadir menyaksikan pementasan itu termasuk Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, Anggota Parlimen, GRC Chua Chu Kang yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Antara yang hadir termasuk Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, Anggota Parlimen, GRC Chua Chu Kang yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

Dalam ucapan yang disampaikannya kepada hadirin sebelum bermulanya pementasan itu, Encik Zhulkarnain memuji usaha pelajar dan tenaga pengajar dalam menjayakan pementasan tersebut.

"(Dengan) pementasan Yuhua kali ini tertumpu kepada kisah tentang lagenda Mahsuri .... berperanan (memberi platform bagi pelajar) lebih menjiwai nilai-nilai bangsa Melayu, bahasa Melayu, agama dan kebangsaan kita ... Saya harap dengan adanya wadah seperti ini, murid murid kita dapat meninggikan lagi, menaikkan lagi daya keyakinan mereka," kata Encik Zhulkarnain.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita