Pasukan pembahas Madrasah Alsagoff jadi wakil ASEAN pertama berentap dengan penutur asli Arab, 2 dinobat pembahas terbaik
Anggota lain pasukan tersebut termasuk Haajar Humayra’ Luqman Hakim dan Fathimatuzzahra’ Fadhlur Rahman, yang juga merupakan pelajar dari Madrasah Alsagoff.
Meskipun hasrat mereka untuk melangkah jauh dalam kejohanan tersebut tidak kesampaian selepas tersingkir di peringkat suku akhir, pencapaian mereka dalam edisi kali ini tetap membanggakan.
Ini memandangkan pasukan itu, buat julung-julung kalinya, berjaya melayakkan diri untuk berentap dalam kategori Terbuka bersama penutur asli bahasa Arab yang lain.
Pasukan Singapura sebelum ini muncul sebagai antara enam pasukan teratas daripada 35 negara di peringkat saringan, sekali gus melayakkan pasukan itu secara automatik dapat bertanding dalam kategori Terbuka di peringkat suku akhir.
Pasukan itu bahkan menjadi wakil ASEAN pertama yang bertanding dalam kategori tersebut dalam sejarah kejohanan itu.
Mereka malangnya tewas kepada Libya dan Lubnan. Jumlah markah keseluruhan yang dikumpul daripada lima perlawanan tidak mencukupi untuk melayakkan mereka ke peringkat separuh akhir.
"Setiap perlawanan bukan sekadar tentang (ingin menang), tetapi tentang membawa nama negara dan membuktikan bahawa pelajar dari Asia Tenggara juga mampu berdiri setara di pentas perbahasan dunia," luah Sofiyyah kepada wartawan Syazwani Sanep.
Ini merupakan kali kedua Munazarah SG menghantar pasukan untuk mewakili negara di pentas berprestij tersebut.
Dalam penyertaan sulungnya pada 2023, pasukan Singapura berjaya menjuarai kategori bukan penutur asli dalam pertandingan dwitahunan itu.
Gelanggang bahas ISDC dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori Terbuka (penutur asli) dan kategori bukan penutur asli.
Daripada 35 pasukan yang bersaing di peringkat saringan secara online, 12 pasukan daripada kategori Terbuka dan empat pasukan daripada kategori bukan penutur asli dipilih untuk mara ke peringkat seterusnya yang berlangsung secara fizikal di Qatar.
Selepas meraih tempat keenam daripada 35 negara di peringkat saringan, pasukan Singapura secara automatik disertakan dalam kategori Terbuka bagi persaingan di Qatar.
Pasukan bukan penutur asli boleh dipindahkan ke kategori Terbuka berdasarkan prestasi di peringkat saringan, selaras dengan syarat yang ditetapkan ISDC.
Pada kemuncak edisi ketujuh pertandingan ISDC itu, pasukan Bahrain muncul juara kategori Terbuka manakala pasukan India dinobatkan sebagai pemenang kategori bukan penutur asli.
TEKAD BERI SAINGAN SENGIT KEPADA PEMBAHAS PENUTUR ASLI
Menonjolkan kehebatan dalam gelanggang bahas bukanlah mudah.
Ini apatah lagi apabila perlu bersaing menggunakan bahasa harian pihak lawan, dan bukannya bahasa sendiri.
"Kami bukan sahaja bertanding dengan penutur jati Arab yang menggunakan bahasa ini secara semula jadi, tetapi juga dengan pembahas dari pelbagai budaya yang membawa cara pandang, rujukan sejarah dan sensitiviti yang berbeza ke dalam perbahasan," jelas Sofiyyah.
"Setiap hujah perlu disusun dengan teliti supaya tidak disalah tafsir, dan setiap respons perlu mempertimbangkan latar budaya dan pemikiran pihak lawan," tambahnya.
Tidak hairanlah strategi pasukan Singapura perlu diatur semula apabila bertanding dalam kategori Terbuka.
Antara kelainan dalam latihan kali ini adalah pendedahan kepada sebutan yang berbeza dalam kalangan penutur asli, serta penggunaan kalimah dan cara pembinaan ayat yang berbeza sesama mereka.
Pencapaian Sofiyyah sebagai Pembahas Terbaik Keseluruhan bagi kategori bukan penutur asli di pertandingan itu amat bermakna baginya, memandangkan ia merupakan pengiktirafan pertamanya di pentas antarabangsa.
"Bagi saya, diiktiraf sebagai Pembahas Terbaik bukan bermaksud saya berdiri di hadapan orang lain, tetapi saya berdiri bersama mereka dan membawa suara pasukan saya ke pentas dunia," ujar pelajar berusia 19 tahun itu.
Sofiyyah merupakan satu-satunya pembahas dalam pasukannya yang mempunyai pengalaman bertanding dalam pertandingan tersebut.
Bagi Nur Insyirah pula, penyertaan pertamanya dianggap manis meskipun penuh cabaran.
Gadis berusia 18 tahun itu dinobatkan sebagai pembahas kedua terbaik dalam kategori yang sama, selepas rakan sepasukannya.
"Ia sudah tentu memberikan kesan yang sangat besar kepada saya kerana penyertaan dalam pertandingan bahas ini telah melatih minda saya untuk berfikir secara kritikal. (Ia juga) membuka mata dan minda saya untuk menghargai dan menghormati setiap perspektif individu yang mempunyai latar belakang berbeza terhadap sesuatu isu, bukan sekadar dalam gelanggang debat," jelas Insyirah.
HARAP PEMBAHAS INSTITUSI LAIN DAPAT WAKILI SG
Selepas mencatat prestasi memberangsangkan dalam edisi kali ini, adakah bertanding dalam kategori Terbuka akan menjadi satu kemestian bagi pasukan Singapura dalam edisi seterusnya?
Menjawab soalan itu, jurulatih Munazarah SG, Ustaz Raja Lutfil Hadi, berkata sasaran seterusnya adalah untuk merangkul kejuaraan dalam kategori Terbuka suatu hari nanti.
"Pertandingan edisi kali ini telah membuktikan bahawa tidak mustahil bagi pasukan bukan penutur asli untuk bersaing hebat dengan pasukan penutur asli, khususnya pasukan dari negara ASEAN," kata Ustaz Lutfil.
"Pastinya, kami akan terus berusaha mengekalkan tahap pencapaian yang sama dan lebih gigih untuk mendapat pencapaian yang lebih tinggi dari tahun-tahun sebelum dan cuba merangkul kejuaraan pada kategori utama iaitu terbuka."
Pasukan Singapura dibentuk oleh Munazarah SG menerusi Kejohanan Bahas Bahasa Arab Antara Sekolah Singapura (SIADC).
SIADC kali terakhir dianjurkan pada Januari tahun lalu, untuk memilih pasukan Singapura yang bertanding dalam edisi terkini ISDC.
Munazarah SG merupakan sebuah pertubuhan tidak mencari untung yang dianggotai oleh alumni pembahas serta jurulatih bahasa Arab tempatan.
Selain itu, pertubuhan itu juga berhasrat menyediakan wadah bagi penyertaan pelajar di peringkat universiti pula, untuk bertanding dalam kejohanan sama di peringkat universiti.
Pertandingan antarabangsa peringkat universiti tersebut dianjurkan secara dwitahunan dan diadakan secara selang-seli dengan edisi peringkat sekolah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.