Nur Liyana Johari tekad ikut minat; beralih dari bidang guaman ke pendidikan awal kanak-kanak

Dengan dorongan mereka, saya memilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dalam bidang Guaman dan Pengurusan di Politeknik Temasek. Keputusan ini lahir daripada minat dan rasa ingin tahu terhadap undang-undang, yang menawarkan cabaran intelektual dan struktur yang jelas.
Namun, walaupun saya amat menghargai peluang untuk mempelajari bidang ini, saya sedar bahawa minat sebenar saya lebih cenderung kepada pendidikan kanak-kanak setelah menyelesaikan pengajian.
Minat saya dalam pendidikan awal kanak-kanak sudah ada sejak dahulu, semasa saya terokai sijil asas dalam bidang ini selepas peperiksaan O-Levels. Selepas tamat pengajian dalam bidang guaman, saya menyedari bahawa kepuasan dan kegembiraan sebenar saya terletak dalam berinteraksi dan menyumbang kepada perkembangan kanak-kanak. Kepuasan dan kegembiraan yang saya rasai ketika melihat mereka berkembang adalah sesuatu yang sangat berharga bagi saya.

Dengan itu, saya melanjutkan pengajian dalam pendidikan awal kanak-kanak melalui diploma yang ditawarkan oleh NIEC (National Institute of Early Childhood) di Politeknik Ngee Ann pada tahun berikutnya. Selepas menamatkan diploma, saya terus bekerja sebagai guru prasekolah dan merasakan kegembiraan yang mendalam dalam menyokong perkembangan kanak-kanak.
Sokongan berterusan daripada ibu-bapa dan keluarga memberikan motivasi tambahan untuk saya terus memperbaiki diri. Dengan hasrat untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan memperkembangkan kerjaya saya, saya baru-baru ini berjaya menamatkan pengajian Bachelor of Arts (Honours) in Childhood and Early Years yang ditawarkan oleh Kaplan.

Mengimbangi kerja sepenuh masa dengan pengajian separuh masa memang mencabar. Jadual kerja yang sering bertembung dengan waktu kelas menyebabkan saya terlepas beberapa kelas dan menghadapi masalah untuk menguruskan masa. Namun, dengan adanya pilihan pembelajaran hibrid dan sokongan daripada pensyarah yang memahami, saya berjaya mengatasi cabaran ini.
Mereka memberi fleksibiliti dan bantuan tambahan yang sangat membantu saya mengejar pelajaran yang tertinggal.
Walaupun terpaksa berjaga malam untuk menyempurnakan tugasan kuliah, bekerja dengan kanak-kanak memberikan saya semangat baharu. Kegembiraan dan keceriaan mereka menjadikan hari-hari yang meletihkan terasa lebih berbaloi. Pulang lewat malam selepas kelas atau berjaga untuk menyiapkan tugasan menjadi lebih mudah kerana saya tahu bahawa ilmu yang saya peroleh akan memberi kesan positif kepada pengalaman awal pembelajaran mereka.
Antara pengalaman yang paling berharga adalah kesempatan untuk menerapkan apa yang saya pelajari di bilik darjah. Modul-modul yang membincangkan psikologi kanak-kanak, strategi pengajaran yang kreatif dan pengurusan bilik darjah memberikan saya kemahiran praktikal serta perspektif baharu yang boleh saya gunakan dengan segera. Melihat perubahan positif dalam cara kanak-kanak belajar dan berkembang memberikan kepuasan yang mendalam.
Bagi sesiapa yang ingin melanjutkan pengajian, jangan ragu-ragu untuk melangkah ke depan. Walaupun perjalanan ini penuh dengan cabaran, hasil yang diperoleh sangat berbaloi. Ikutlah impian dan minat anda, hadapi cabaran dengan berani, dan hargai setiap pencapaian kecil. Tidak pernah terlambat untuk mengejar impian anda.
CETUSAN ILHAM:
Nur Liyana Johari, 25 tahun, lulusan Akademi Pengajian Tinggi Kaplan di Universiti Northumbria dalam jurusan Pendidikan Kanak-Kanak dan Tahun-Tahun Awal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.