Skip to main content

Nadi Kampus

Nur Hana Supiahat jatuh cinta dengan kejururawatan; terus buru ijazah pertingkat diri

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebagai anak ketiga dan bongsu dalam keluarga yang sederhana, saya pada mulanya tidak bercadang untuk melanjutkan pelajaran selepas menerima sijil NITEC dalam bidang kejururawatan.


Namun, ayah saya menggalakkan saya untuk melanjutkan pelajaran ke politeknik memandangkan pencapaian akademik saya.

Di sebalik keinginan saya untuk mula bekerja sebagai jururawat berdaftar, beliau menasihatkan saya supaya mengutamakan pendidikan sebelum menumpukan perhatian kepada pendapatan yang stabil.

Walaupun perjalanan pendidikan saya mencabar dan panjang, ia akhirnya memberi ganjaran.

Saya bermula dengan pendidikan Normal Teknikal di peringkat sekolah menegah dan mengambil peperiksaan GCE N Level. Setelah itu saya mengambil kursus kejururawatan di ITE NITEC selama 2 tahun. Saya kemudiannya sambung belajar dan menamatkan pelajaran dalam Diploma kejururawatan di Politeknik Nanyang selepas 3 tahun.

Selepas tamat pengajian, saya mula bekerja sebagai jururawat berdaftar pada 2018 dan kini saya sudah berada dalam bidang penjagaan kesihatan selama enam tahun.

LANJUT PENGAJIAN ATAS DORONGAN KELUARGA, RAKAN

Dengan dorongan ibu bapa, keluarga dan rakan rakan, saya memutuskan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

Saya kini memegang jawatan sebagai Jururawat Staf Kanan di hospital Tan Tock Seng dalam jabatan pusat endoskopi. Pesakit kami menjalani skop berjadual dan prosedur kecemasan untuk keadaan seperti pendarahan gastrousus (GI) yang memerlukan bantuan dengan segera.

Di pusat endoskopi, jururawat memainkan peranan penting dalam memberikan penjagaan pesakit yang terbaik dan membantu doktor semasa prosedur dijalankan.
Selepas menamatkan pengajian sebagai jururawat berdaftar, saya tidak begitu peka tentang apa yang berlaku di dalam jabatan endoskopi.

Ini kerana saya tidak berpeluang terdedah kepada jabatan tersebut semasa latihan klinikal (clinical attachment) saya di sekolah.

Sebagai seorang graduan baharu pada waktu itu, saya menghadapi sedikit cabaran untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu kerana tidak biasa dengan skop pekerjaan. Namun, saya mengatasi cabaran ini dengan bersungguh-sungguh berlatih dan menguasai kemahiran yang diperlukan.

SEDAR PERANAN PENTING JURURAWAT ENDOSKOPI

Kini saya menghadapi cabaran yang berbeza – bekerja sepenuh masa dan mengikuti kuliah sambilan untuk ijazah dalam bidang kejururawatan di Universiti Northumbria melalui Kaplan Higher Education Academy.

Walaupun menghadapi cabaran ini, saya bersyukur atas sokongan daripada ibu bapa, keluarga dan rakan sekerja saya yang telah membantu saya untuk menyesuaikan diri.

Detik yang tidak dapat saya lupakan sebagai jururawat adalah kepuasan melihat pesakit di bawah jagaan kami dibenarkan pulang dan dapat meneruskan aktiviti harian mereka dengan baik.

Secara peribadi, satu lagi detik yang tidak dapat dilupakan ialah apabila saya dipanggil semula untuk mengendalikan kes kecemasan pada tengah malam sebagai jururawat on call, membantu dalam prosedur untuk pesakit yang mengalami pendarahan usus yang teruk sehinggakan memerlukan bantuan kecemasan khas.

Detik-detik ini jarang berlaku dan ia juga membuka mata dan membuktikan bahawa saya memainkan peranan penting sebagai jururawat endoskopi dalam menyelamatkan nyawa.

PEMBELAJARAN, PENGALAMAN TIDAK KENAL WAKTU

Saya amat berterima kasih, terutamanya kepada ibu bapa dan keluarga saya kerana sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada bidang yang saya ceburi.

Di samping itu, saya ingin mengucapkan terima kasih juga kepada rakan rakan dari sejak zaman persekolahan kerana terus memberikan kata-kata semangat walaupun bekerja di hospital berbeza.

Jika anda berpeluang untuk melanjutkan pelajaran, rebutlah peluang tersebut. Tidak kira perjalanan dalam pendidikan anda mengambil tempoh yang panjang seperti saya.

Pembelajaran dan pengalaman tidak kenal waktu, ia hanya bergantung kepada usaha dan kerja keras. Insha Allah, dengan ketekunan, suatu hari nanti ia akan membuahkan hasil.

Setiap hari adalah perjalanan pembelajaran. Pembelajaran tidak mempunyai had umur. Sentiasa rendah hati, rendah diri dan terbuka untuk mempelajari sesuatu yang baharu setiap hari.

Harapan saya selepas memperoleh sijil ijazah ialah untuk meraih lebih banyak peluang untuk mendedahkan diri saya dalam laluan berbeza yang tersedia dan sesuai untuk saya dan masa depan saya.

CETUSAN ILHAM:
Nur Hana Supiahat, 28 tahun, merupakan seorang jururawat sepenuh masa yang sedang mengikuti kuliah sambilan bagi ijazah dalam bidang kejururawatan di Universiti Northumbria melalui Akademi Pendidikan Tinggi Kaplan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita