Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Noorshafiahshafizahhh genggam ijazah kepujian kelas pertama selepas bangkit dari GCE O

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Impian saya selepas mendapatkan diploma adalah untuk mendapatkan ijazah sarjana muda. Saya tidak pernah membayangkan bahawa pada satu hari, saya akan menerima sijil ijazah.

Apabila saya teringat kembali keputusan peperiksaan peringkat O saya yang sangat lemah, saya memutuskan untuk berusaha dengan gigih dalam pendidikan. Saya tahu saya perlu membuat perubahan untuk membanggakan ibu bapa saya.

Oleh itu, saya membuat catatan mental untuk memberi tumpuan kepada pendidikan Nitec Lanjutan dan Politeknik saya untuk mencapai prestasi yang baik. Walaupun saya bertugas sebagai seorang Pereka UI/UX (user interface / user experience), saya menyedari bahawa saya mahukan lebih daripada kehidupan yang saya alami sekarang, jadi saya memutuskan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

Oleh kerana saya memang ingin mendalami bidang pemasaran dan segala yang berkaitan dengannya, saya membuat kajian di Internet mengenai kursus-kursus yang tersedia. Melalui laman Kaplan Singapore, saya mendapati Ijazah dalam Pemasaran Antarabangsa dari Universiti Birmingham City paling sesuai buat saya.
Noorshafiahshafizahhh bersama keluarga. (Gambar-gambar: Noorshafiahshafizahhh)
Saya memulakan pengajian ijazah saya semasa tempoh COVID-19. Saya merasakan bahawa waktu itu adalah masa yang terbaik untuk belajar. Pada masa itu, kursus saya diadakan online – ini amat memudahkan saya dan saya tidak perlu ke kampus. Sebagai seorang pelajar sambilan yang bekerja sepenuh masa dari rumah, salah satu cabaran yang saya alami adalah untuk mengimbangi pembelajaran dan pekerjaan secara serentak. Ini juga adalah pengalaman pertama saya mengambil kelas online.

Oleh kerana peluang untuk berkomunikasi dengan teman-teman dan tenaga pendidik hanya dapat dilakukan secara dalam talian, saya tidak pasti jika saya dapat menguruskan pekerjaan dan pengajian saya dengan baik. Pada mulanya, saya rasa seperti ingin menghentikan pengajian saya dan tidak tahu jika saya dapat melakukannya dengan betul.

Tambahan pula, disebabkan sifat 'introvert' (suka memendam rasa dan menumpukan perhatian pd dirinya sendiri) saya, saya sentiasa mengelak daripada berbicara atau bertanya soalan kepada orang baharu semasa zaman persekolahan saya dulu.
Tetapi, dalam pengajian ijazah saya, saya cuba berinteraksi dengan rakan sekelas dan profesor saya apabila saya mempunyai soalan, dan keluar dari zon selesa saya. Apabila aktiviti kelas dijalankan, saya turut serta dan cuba untuk tidak berdiam diri. Saya gembira bahawa profesor dan pensyarah sentiasa membantu dan bersedia untuk menjawab soalan kami semasa kelas dan secara luar talian.

Cabaran lain yang saya hadapi adalah menguruskan masa saya, mengorbankan hujung minggu saya, dan tidur lewat semasa membuat laporan. Semasa pengajian saya, masa tidak berpihak kepada saya. Saya perlu merancang untuk menyeimbangkan masa antara keluarga, kerja dengan belajar. Dengan tarikh akhir yang semakin hampir, menyegerakan projek dan laporan pelanggan bukanlah mudah.

Setiap kali saya mempunyai masa lapang semasa keluar bersama keluarga, saya melakukan pelbagai tugas dan bekerja pada esei atau laporan. Nota-nota saya sentiasa ada online untuk saya rujuk dengan mudah semasa membuat esei. Saya tidak mahu masa dan usaha saya disia-siakan dengan keputusan yang kurang memuaskan. Oleh itu, saya memberikan 100 peratus usaha saya dalam kelas dan turut serta dalam kegiatan dalam kelas.
Selain usaha saya sendiri, saya ingin berterima kasih kepada ibu bapa dan suami saya. Merekalah tunggak kekuatan saya, membantu saya apabila saya ragu-ragu. Tanpa sokongan ibu bapa saya, saya tidak akan dapat melalui pengajian ijazah saya. Semasa masa sukar, saya sentiasa mengingati mereka untuk tidak berputus asa.. Saya tidak mahu mengecewakan mereka dan ingin menunjukkan kepada semua orang bahawa anda boleh mencapai lebih banyak dalam hidup ini dan berjaya jika anda berusaha dengan gigih.

MENGENAI PENULIS
Noorshafiahshafizahhh Roslan, 27 tahun, merupakan lulusan ijazah (kepujian Kelas Pertama) Seni Pemasaran Antarabangsa Universiti Kaplan Singapore, Universiti Kolej Birmingham.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan