Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

NADI KAMPUS: Usah anggap penyakit mental sebagai masalah individu

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sejak kebelakangan ini, Singapura telah menumpukan perhatian kepada kesihatan dan kesejahteraan mental penduduknya. Ada beberapa kajian yang membentangkan betapa pentingnya usaha membendung masalah penyakit mental.

Dalam satu kajian peringkat nasional yang diselenggarakan Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Institut Kesihatan Mental (IMH), kira-kira satu daripada tiga belia di Singapura telah melaporkan internalisasi simptom-simptom kesihatan mental seperti kesedihan, kebimbangan dan kesunyian. Ini sangat membimbangkan.

Pelbagai inisiatif telahpun diusahakan oleh pemerintah, pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah, agensi-agensi khidmat sosial dan para penggiat masyarakat sivil. 

Sebagai contoh, pemerintah telah menubuhkan sebuah pasukan bertindak Oktober lalu untuk mengkaji kesan psiko-sosial pandemik ke atas penduduk Singapura. 

Pasukan itu memberi tiga saranan, iaitu membangunkan strategi kesihatan dan kesejahteraan mental nasional, laman web sumber kesihatan mental nasional dan rangka kerja latihan kecekapan kesihatan mental nasional.

Inisiatif-inisiatif seperti ini merupakan pendekatan yang sistemik dan berstruktur yang sangat dialu-alukan. Pendekatan-pendekatan ini menunjukkan bahawa kita telah berganjak dari melihat penyakit mental dan kesihatan mental sebagai masalah individu dan melihat kesejahteraan mental sebagai masalah masyarakat.

Penyakit mental, seperti penyakit-penyakit yang lain, mempunyai sebab-sebab berbentuk struktur dan sistemik, yang diberi istilah penentu sosial kesihatan. 

Penentu sosial kesihatan merupakan faktor yang mendorong kesihatan yang terdapat pada keadaan hidup seseorang (seperti kelas sosio-ekonomi) dan bukan faktor risiko individu (seperti faktor risiko perangai atau genetik). 

Contohnya, dalam negara-negara pendapatan tinggi seperti Singapura, mereka yang mempunyai status sosio-ekonomi yang tinggi berkemungkinan lebih rendah mengalami obesiti berbanding dengan mereka yang mempunyai status sosio-ekonomi yang lebih rendah. 

Sebahagian besar akar umbi masalah penyakit mental dalam masyarakat kita berbalik kepada ekonomi politik yang menjadi rangka hidup seharian kita - kapitalisme. Kapitalisme sebagai ekonomi politik telah menjana banyak keuntungan, terutama sekali bagi sebahagian daripada masyarakat kita. Tetapi ia juga telah menghasilkan kesan-kesan buruk terhadap kesihatan mental masyarakat. 

Selain inisiatif berstruktur ini, kita harus peka kepada nilai-nilai dan kesan-kesan psikologi buruk yang dipupuk kapitalisme yang harus disemak dan dikikis demi kesihatan mental kita. 

KAPITALISME, KETIDAKSAMAAN DAN KESIHATAN MENTAL

Singapura telah meraih banyak keuntungan melalui kapitalisme sebagai sebuah negara pendapatan tinggi yang dikurniakan dengan kekayaan. 

Kewibawaan elit-elit politik dan ekonomi Singapura berjaya mencetuskan dan melestarikan pertumbuhan ekonomi Singapura yang pesat di medan kapitalisme sejak kemerdekaan hingga ke marcapada kita. 

Tetapi, kapitalisme juga menimbulkan banyak kesan negatif seperti jurang ketidaksamaan yang semakin melebar antara kelas sosio-ekonomi di merata dunia. Singapura tidak terkecuali daripada kesan-kesan negatif kapitalisme dan ideologi utamanya, neoliberalisme.

Ahli psikologi dan psikoterapi Jay Watts mengatakan bahawa faktor-faktor psikologi dan sosial sangat penting sebagai sebab utama penderitaan ramai. 

Kemiskinan, ketidaksamaan relatif, rasisme, seksisme, dan budaya bersaing semuanya meningkatkan kemungkinan penderitaan mental. Ketidaksamaan struktural menyumbang kepada penderitaan mental.

Watts menambah bahawa banyak pemerintah dan syarikat-syarikat perubatan tidak peduli sangat dengan hasil kajian-kajian yang menyentuh penyebab struktural penyakit mental dan menyalurkan wang kepada kajian genetik dan tanda-tanda bio yang memusatkan perhatian dan rawatan kepada individu.

Kapitalisme melebarkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat dan ini adalah pembawa berita buruk bagi kesihatan mental masyarakat. 

Menurut Laporan Kolej Kerajaan Psikiatri pada tahun 2010, ketidaksamaan merupakan penentu besar bagi penyakit mental: tahap ketidaksamaan yang lebih besar berkaitan dengan hasil kesihatan yang lebih teruk. Kanak-kanak dari rumah tangga yang paling miskin mempunyai risiko tiga kali ganda menghidap penyakit mental berbanding dengan kanak-kanak dari rumah tangga yang paling kaya. 

Penyakit mental, menurut laporan itu, kerap dikaitkan dengan kekurangan, pendapatan yang rendah, pengangguran, pendidikan yang lemah dan kesihatan jasmani yang lebih teruk.  

KETERASINGAN, KEPENGGUNAAN DAN MATERIALISME

Selain ketidaksamaan, keterasingan atau alienasi dalam ketertiban kapitalisme adalah penyumbang besar kepada penyakit mental. Karl Marx merupakan seorang peneliti kapitalisme dan keterasingan yang dilahirkan pada 5 Mei 1818 di Jerman. 

Walaupun Marx sering dikaitkan dengan komunisme, kebanyakan tulisannya bersabit dengan masalah-masalah kapitalisme sebagai sistem ekonomi. Marx mencatatkan pemerhatiannya bahawa kapitalisme menjana keterasingan. 

Kita selaku pekerja terasing dari produk-produk yang dihasilkan, proses penghasilan, ciri-ciri kemanusiaan seperti tenaga kreativiti dan kapasiti transformatif, dan manusia lain dalam sistem kapitalisme.

Menurut Karl Marx, gara-gara keterasingan, "penjadian-spesies" manusia, yang melambangkan tenaga kreatif dan kapasiti transformatif kita, dirompak dari kita oleh sistem kapitalisme dan ditukar menjadi sesuatu yang asing, objektif dan menghambakan. 

Justeru, kondisi material buruh tidak tertakluk kepada pekerja tetapi pekerja pula yang tertakluk kepada kondisi material. Keterasingan kapitalisme menyebabkan kita terasing dari ciri-ciri kemanusiaan penting seperti tenaga kreatif dan kapasiti transformatif. Ini membuat ramai menderita dari sudut kesihatan mental.  

Akibatnya, komoditi-komoditi yang kita hasilkan sebagai pekerja memperolehi kualiti keterasingan. Kita terasing dari produk-produk yang kita hasilkan dalam proses pengilangan, kerja ilmu dan perindustrian dan ini merangkumi produk-produk yang ketara yang kita hasilkan sebagai pekerja seperti komputer-komputer riba dan yang bukan ketara seperti kerja ilmu. 

Fikirkan sejenak tentang pekerja yang tidak mampu membeli produk buatannya yang mahal yang dihasilkan kilangnya, di mana dia memainkan peranan yang tidak menggunakan kreativiti transformatifnya dan yang senang diganti mesin atau buruh orang lain. 

Ataupun pekerja ilmu yang melahirkan slaid-slaid PowerPoint buat majikannya yang bertubi-tubi disunting dan dilentur supaya sealiran dengan suara syarikat kapitalis yang bersifat birokratik sehingga menenggelamkan suara kreatif dan transformatif si pekerja. Kedua-kedua pekerja ini terasing dari tenaga kreatif dan kapasiti transformatif manusiawi.

Pekerja biasa dan terutama sekali, pekerja miskin, terasing dari produk-produk termasuk perkhidmatan yang mereka menyajikan kepada dunia demi mengumpul keuntungan buat si kapitalis. 

Sistem penghasilan dan penciptaan sangat mengasingkan dan memberi kesan yang negatif kepada psikologi individu dan masyarakat.

Dalam keterasingan kapitalisme, timbullah 'fetishisme komoditi', di mana perhubungan antara khalayak ramai bukan lagi perhubungan sosial yang berlaku secara langsung antara mereka. 

Ia bertukar menjadi perhubungan material antara manusia dan perhubungan sosial antara benda-benda. Kualiti dan hubungan manusia bertukar menjadi kualiti dan hubungan antara benda-benda dan ini menyumbang kepada kepenggunaan atau konsumerisme, serta materialisme yang semakin meningkat.

Selain penghasilan dan penciptaan yang terasing, kepenggunaan terasing juga semakin semarak. Menurut Jean Baudrillard, kepenggunaan terasing adalah faktor utama kapitalisme dalam masyarakat kini. Bertentangan dengan Marx, Baudrillard berhujah bahawa kepenggunaan adalah jantung kapitalisme dan bukan penghasilan. 

Sebagai pengguna, kita terperangkap dalam masyarakat yang kuat bersaing untuk pangkat sosial dan ini menjadi pemangkin bagi kepenggunaan yang terjebak dalam materialisme. 

Materialisme dalam era kepenggunaan boleh ditakrif sebagai satu sistem nilai yang taksub dengan harta benda, kebendaan dan imej sosial yang dipamerkan. 

Menurut kajian Katherine L. Rosenblum dan lain dalam tahun 2014, tatkala individu menjadi lebih materialistik, kesejahteraan mereka dari sudut silaturahmi yang baik, rasa tujuan, autonomi dan aspek-aspek lain menjadi lebih teruk. 

Keterasingan kapitalisme, fetishisme komoditi, kepenggunaan terasing dan materialisme membuat kesejahteraan mental kita semakin teruk. 

Membeli lebih berkaitan dengan kemurungan, kebimbangan dan silaturahmi yang terputus. 

Sue Gerhadt, seorang ahli psikoanalitik dan psikoterapi, dan penulis buku “Masyarakat yang Mementingkan Diri Sendiri” mengatakan bahawa dalam masyarakat moden (yang juga kapitalis), kita telah mengelirukan kesejahteraan material dengan kesejahteraan psikologi. 

NILAI-NILAI ISLAM DAPAT MEMBANTU MASYARAKAT

Kita harus mempunyai iltizam untuk mengharungi masalah-masalah yang mengiringi kapitalisme di negara kita dengan menyokong dan menyumbang kepada perubahan struktur yang positif yang sudahpun dikelolakan sektor awam dan sektor ketiga. 

Walaupun kita tidak boleh melarikan diri daripada cengkaman kapitalisme, kita dapat mempraktikkan nilai-nilai Islam untuk mengurangkan kesan-kesan negatif ekonomi politik. 

Islam mengambil berat tentang mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan dalam masyarakat. Sayidina Ali r.a. dalam Najhul Balagha, berkata bahawa kemiskinan adalah bentuk kematian yang paling teruk. 

Dalam buku Professor Syed Hussein Alatas 'Islam dan Sosialisme', beliau menghuraikan bahawa falsafah keadaan material dalam teori sosialisme yang bukan bersifat atheistik sangat cocok dengan nilai-nilai Islam. 

Ini kerana Islam seperti sosialisme keagamaan, sangat menitikberatkan keadaan material sebuah konteks dan bagaimana keadaan material ini mempengaruhi keperluan masyarakat. 

Alatas mengkritik kelampauan kedua-dua kapitalisme dan komunisme dengan membandingkan dua ekonomi-ekonomi politik ini dengan nilai-nilai sosialisme keagamaan yang menurut beliau, sejajar dengan Islam. 

Selain perubahan struktur, kita semua dapat mempraktikkan nilai-nilai Islam yang emansipatif untuk menyelamatkan masyarakat kita dari tekanan kapitalisme dan kesan-kesan buruknya terhadap kesihatan mental. 

MENGENAI PENULIS:

Faris

Faris Ridzuan lulusan jurusan sains kemasyarakatan Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah seorang penyelidik yang menyumbang secara aktif kepada masyarakat sivil dan sektor sosial.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan