Nadi Kampus Tanya Pakar: Apa sebab belia alami isu kesihatan mental & apa boleh dilakukan?

(Gambar hiasan: iStock)
SINGAPURA: Sejak beberapa tahun kebelakangan ini timbul banyak isu mengenai kesihatan mental dan bagaimana ia menjejas individu - sehingga ada yang tekad mencabut nyawa sendiri.
Menerusi statistik yang dikeluarkan oleh Samaritans of Singapore (SOS) pada awal bulan ini, bilangan kes bunuh diri yang dicatat pada 2022 adalah yang tertinggi dalam tempoh lebih 20 tahun. Salah satu golongan yang paling terjejas adalah belia.
Nadi Kampus berjumpa dengan Pakar psikologi, Muhammad Haikal Jamil untuk mengetahui apakah antara faktor utama yang menjejas kesihatan mental belia dan bagaimana mereka serta orang sekeliling boleh menanganinya.
SOALAN 1:
Nadi Kampus: Apa tiga isu utama yang jejas kesihatan mental belia hari ini?
Muhammad Haikal Jamil: Faktor utama yang menjejas kesihatan mental belia adalah pencapaian akademik kerana ada banyak unsur-unsur yang boleh mendatangkan tekanan kepada belia, seperti suasana yang amat berdaya saing di sekolah dan juga harapan dan jangkaan daripada keluarga mereka.
Kedua ialah media sosial kerana dengan media sosial, ada banyak paparan yang tidak realistik kerana mereka akan melihat bagaimana kehidupan orang lain berbeza dengan kehidupan mereka dan para belia yang tidak mempunyai identiti yang kuat dan membezakan diri mereka dengan orang lain, ini akan mendatangkan kesan yang tidak baik pada harga diri mereka.
Yang ketiga ialah ketidakpastian kerana pada zaman ini, para pakar psikologi menyatakan bahawa para belia yang lahir pada tahun 2000 dan ke atas, mereka di dalam 'age of uncertainty'. Mereka berada dalam ketidakpastian kerana mereka sudah menghadapi pandemik, menghadapi perubahan pada ekonomi, dan sebagainya. Justeru, ini membuatnya lebih sukar untuk mereka merancang untuk masa hadapan mereka.
SOALAN 2:
Nadi Kampus: Apa yang boleh dilakukan untuk atasi tekanan akibat media sosial?
Muhammad Haikal: Untuk mengatasi tekanan dari segi media sosial, belia-belia boleh mengetahui bahawa apa yang dipaparkan di media sosial itu tidak sebenarnya semuanya benar.
Kadangkala apabila kita melihat teman-teman kita apa yang mereka berkongsi, selalunya mereka berkongsi benda yang baik saja. Perkara yang buruk tidak semestinya mereka akan berkongsi.
Yang kedua, kita harus tahu juga apakah identiti atau perkara-perkara yang penting untuk diri kita. Ada orang mereka suka melakukan aktiviti sebegini, ada orang mereka beli barang yang mereka sukai, tapi kita tidak boleh mendapatkan semuanya. Jadi kita kena tahu yang penting untuk diri kita dan tidak nak ikut apa yang orang lain lakukan.
SOALAN 3:
Nadi Kampus: Walaupun terdapat usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kesihatan mental, apa yang menghalang belia daripada mendapatkan bantuan yang diperlukan?
Muhammad Haikal: Walaupun ada peningkatan dari segi pemahaman kesihatan mental, tetapi kesihatan mental adalah sesuatu yang subjektif. Tidak seperti kalau demam, kita boleh periksa menerusi termometer. Kalau ada patah tangan, kita boleh buat imbasan X-Ray.
Tetapi kesihatan mental ini sesuatu yang subjektif. Kita tidak dapat melihatnya. Oleh itu, apabila seseorang itu mengalami (isu) kesihatan mental, selalunya mereka rasa perubahan, tetapi mereka tidak tahu adakah ini sesuatu yang melanda diri mereka. Jadi kadang-kadang bila sudah terlewat, barulah mereka mendapat bantuan.
Lagi satu sebab mengapa mereka lambat untuk mendapatkan bantuan ialah kerana stigma-stigma yang masih ada walaupun dari kalangan belia mereka memahami, tetapi sering mereka harus mendapatkan bantuan atau sokongan kewangan daripada keluarga mereka atau mereka memerlukan izin daripada keluarga mereka untuk mendapatkan bantuan.
Mereka rasakan kalau mereka memberitahu kepada anggota keluarga mereka atau orang lain tentang masalah (yang) mereka ada ini, mereka akan dihakimi oleh orang itu dan mereka akan rasa takut untuk menghadapi kritikan daripada orang ramai.
SOALAN 4:
Nadi Kampus: Apa tiga tanda yang harus belia dan orang sekeliling mereka peka untuk tahu bahawa kesihatan mental mereka sudah terjejas?
Muhammad Haikal: Perubahan pertama apabila seseorang itu mempunyai (isu) kesihatan mental adalah perubahan pada kelakuan mereka. Ini terutama sekali apabila mereka tidak lagi ingin melakukan perkara yang mereka dulu gemari.
Sebagai contoh, kalau mereka dulu suka keluar bersama kawan-kawan, sekarang mereka cenderung untuk duduk di rumah saja. Ini adalah satu tanda utama bahawa mereka mempunyai masalah kesihatan mental.
Yang kedua ialah apabila pemikiran mereka lebih negatif. Jadi ini selalu boleh dicerminkan dari segi cara perbualan mereka. Mereka akan lebih bersikap pesimis dan mereka mungkin tidak mempunyai harapan dalam apa yang mereka katakan.
Yang akhir sekali, kebolehan mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti harian mereka juga akan terjejas. Sebagai contoh, mereka tidak mahu ke sekolah, tidak boleh bangun pagi untuk melakukan pekerjaan mereka kerana motivasi mereka dan juga daya tenaga dalam badan mereka sudah terjejas.
SOALAN 5:
Nadi Kampus: Bilakah masa terbaik untuk mendapatkan bantuan jika terdapat tanda-tanda gangguan kesihatan mental?
Muhammad Haikal: Selalu apa yang saya cadangkan kalau seseorang itu merasakan motivasi mereka lemah atau emosi mereka terjejas, kalau dalam masa dua minggu masih tidak ada perubahan lagi, ini adalah satu tanda mereka harus mendapatkan bantuan. Mungkin kalau ada tekanan yang mereka hadapi, mungkin dua, tiga hari itu, bermakna itu adalah satu reaksi kepada tekanan itu, jadi itu satu yang normal.
Tapi kalau sudah melebihi dua minggu, ini bererti mungkin ada sesuatu yang lebih besar, yang harus mendapat bantuan dari segi profesional.
SOALAN 6:
Nadi Kampus: Apa yang boleh dilakukan orang sekeliling untuk menyokong belia yang mengalami gangguan kesihatan mental?
Muhammad Haikal: Pertama sekali adalah memilih masa yang tepat untuk berbual dengan mereka kerana ini adalah satu perbincangan yang serius dan mereka boleh bermula dengan menggunakan "I" statements, atau "Saya", jadi "Saya lihat kamu begini", "Saya merasa sangat bimbang".
Jangan menggunakan "You" statements atau "Kamu begini", "Kamu begitu" kerana ini mungkin akan mendatangkan kepada mereka rasa seperti mereka dituduh, apa perubahan atau "Kamu tidak pergi sekolah" atau sebaliknya.
Mereka juga boleh menunjukkan rasa prihatin mereka tentang perubahan-perubahan yang mereka lihat kerana ini menjadi satu bukti bahawa mungkin kesihatan mental mereka atau kebolehan mereka untuk mengatasi masalah yang mereka mengalami itu terjejas.
Akhir sekali, kalau mereka merasakan bahawa ini adalah satu cabaran yang sukar untuk belia itu atasi, mungkin boleh menggalakkan mereka untuk mendapat bantuan dari segi profesional kerana para pakar akan memberi cadangan-cadangan atau campur tangan yang boleh membantu belia itu.
SOALAN 7:
Nadi Kampus: Apa yang boleh dilakukan belia, selain mendapatkan bantuan profesional?
Muhammad Haikal: Pertama sekali ialah mengetahui apakah punca masalah yang mereka alami itu kerana kesihatan mental selalunya bermula dengan tekanan. Jadi kalau mereka tahu apakah punca itu, mungkin mereka boleh menangani masalah yang mereka ada, mungkin mereka dalam suatu hubungan yang toksik atau mereka mungkin dalam pekerjaan yang penuh dengan tekanan.
Jadi ini boleh membantu mereka untuk mengatasi masalah yang mereka ada.
Mereka juga boleh mempelajari cara-cara untuk menenangkan diri mereka dari segi emosi atau untuk merehatkan diri mereka. Sebagai contoh, mereka boleh melakukan senaman yang menenangkan tubuh atau berjumpa dengan kawan-kawan juga boleh membantu mereka untuk merasa bahawa diri mereka itu disokong.
Seperti saya katakan tadi, kalau cara-cara ini tidak mencukupi, mereka boleh mendapatkan bantuan dari segi profesional.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.