Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

NADI KAMPUS: Semangat Singapura dalam kalangan belia, masih ada ke?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Apakah makna semangat Singapura bagi para belia tempatan? Apakah masih ada lagi semangat Singapura dalam kalangan anak-anak muda kita? Atau mungkin semangat itu melalui evolusi seiring perubahan yang dilalui negara, yang baru menyambut ulang tahun ke-57? 

Nadi Kampus berjumpa dengan para penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IHL) untuk mendapatkan jawapannya...

SEMANGAT SINGAPURA DALAM KEGIATAN HARIAN

Bagi mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Hanis Wirdanniy, semangat Singapura boleh ditunjukkan dalam kehidupan harian. Misalnya, apabila seorang rakyat berbuat baik dengan orang lain, tanpa mengira bangsa atau agama.

"Semangat ini sebenarnya boleh dipupuk dari rumah. Kita harus sentiasa mengambil berat dengan orang di sekeliling kita seperti jiran tetangga dan apabila kita menanam rasa ingin tahu dengan apa yang terjadi di dalam negeri, dari situlah semangat Singapura akan bangkit," jelasnya.

Hani Insyirah, penuntut Politeknik Temasek juga berkata bahawa semangat ini ditunjukkan apabila rakyat Singapura saling menerima dan meraikan perbezaan satu sama lain. 

Jelas, ciri-ciri Singapura sebagai masyarakat berbilang kaum terus membentuk semangat Singapura dalam kalangan belia.

Semangat Singapura bagi penuntut Tahun 2 Politeknik Temasek, Muhammad Danish Yusrey, boleh dilihat menerusi semangat gotong-royong dan semangat kampung yang masih menyerlah semasa musim perayaan.

Tambahnya lagi, perpaduan rakyat Singapura dalam mematuhi langkah-langkah keselamatan COVID-19 untuk mencegah satu sama lain daripada dijangkiti juga memaparkan semangat Singapura.


Bagi pelajar Politeknik Temasek Sakinah Aqilah pula, elemen makanan memainkan peranan dalam menyatukan masyarakat kita bersama dan mengukuhkan lagi semangat tersebut.

"Kita suka nikmati bersama makanan Singapura seperti sate, laksa dan inilah yang membawa masyarakat kita bersama," ujar Sakinah.

Selain itu, semangat yang ditunjukkan dalam kalangan warga siber semasa mempertahankan pemilikan sesuatu makanan seperti nasi lemak dan rendang terutama sekali dalam perdebatan yang selalu berlaku antara Singapura dan negara jiran Malaysia juga mempamerkan kesetianegaraan yang unik berbanding semangat negara-negara lain.

SEMANGAT SINGAPURA BERUBAH SEIRING PEMODENAN, GLOBALISASI

Segelintir penuntut Institusi Pengajian Tinggi yang ditemui Nadi Kampus pula menyuarakan pendapat bahawa pemodenan yang dilalui menjejas semangat Singapura dalam kalangan belia.

Menurut Sakinah lagi, “semangat kampung yang dahulunya wujud sudah tiada dengan pembangunan rumah awam dan rumah pangsa”, yang sekaligus mengurangkan ruang dan peluang untuk masyarakat saling berinteraksi. Transformasi itu juga menjadikan cara hidup sekarang lain daripada sebelumnya.

Pelajar 18 tahun, Hani Insyirah pula berpendapat bahawa dalam era globalisasi kini, pengaruh budaya barat menjejas semangat Singapura dalam  kalangan anak muda sekarang, yang tidak lagi meminati dan mempertahankan budaya di dalam negara, termasuk budaya Melayu.

Sungguhpun demikian, ada juga yang berpendapat bahawa perubahan global dan pendigitalan sebenarnya membuka peluang lebih luas untuk anak muda sekarang menonjolkan semangat Singapura melalui “keutamaan-keutamaan baru”.

Contohnya, golongan muda lebih cenderung mengetengahkan isu-isu sosial yang menjejas negara ini.


Bagi mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Nur Munira, semangat Singapura timbul daripada sifat belas ihsan atau keprihatinan kepada isu-isu sosial yang melibatkan golongan terpinggir.

Tambahnya lagi, ia melibatkan generasi belia sekarang yang mahu memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan di dalam negara.

"Semangat Singapura ini masih wujud dalam kalangan belia tapi ia berlainan dari segi nilai moral dan perspektif global yang berubah," katanya kepada BERITAmediacorp.

Media sosial juga memainkan peranan dalam tekad anak muda sekarang untuk menangani isu-isu masyarakat.

Bagi pelajar NUS Hatim Omar, dengan adanya fenomena seperti "cancel culture", media sosial memberi ruang kepada anak muda sekarang untuk menyuarakan keprihatinan dan pendapat mereka untuk memperbaiki lagi fabrik sosial negara ini demi mempertahankan keharmonian sosial di Singapura.

Perpaduan anak muda dalam menitikberatkan isu-isu yang penting bagi mereka jelas mencerminkan semangat kesetianegaraan.

Jelas, semangat Singapura masih dipamerkan dalam kehidupan dan kegiatan harian para belia. Kesan globalisasi juga memberi lebih banyak ruang untuk anak muda menunjukkan semangat kemasyarakatan mereka demi memperjuangkan isu-isu masyarakat dan mempertahankan lagi hak bagi golongan yang terpinggir - seperti kaum minoriti, mereka yang berpendapatan rendah dan para pekerja hijrahan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan