Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Nadi Kampus: Sedang pertimbang sambung belajar? Muhammad Syafiq beri jaminan tiada yang mustahil

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perjalanan pengajian saya amat panjang dan berliku. Apabila saya gagal peperiksaan GCE 'O' Level saya pada tahun 2012, saya terpaksa meneruskan perjalanan saya ke Institut Pendidikan Teknikal atau ITE pada tahun 2013.

Pada ketika itu, saya mengambil kursus Nitec Lanjutan dalam Pembuatan Filem.

Walaubagaimanapun, kursus ini bukanlah pilihan pertama saya dan saya berhenti sejurus selepas melangkah ke tahun kedua. Saya tidak dapat mengharungi kursus itu dan ia bukanlah minat sebenar saya – bukan sesuatu yang saya mahu kejar sebagai kerjaya.

Saya menduduki semula peperiksaan GCE 'O' Level saya pada tahun 2013 sebagai calon persendirian tetapi gagal sekali lagi. Saya kemudiannya memohon ke ITE pada tahun 2014 untuk kursus Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Sukan. Malangnya, saya ditolak.
Saya juga telah ditolak oleh politeknik sebanyak empat kali untuk kursus berkaitan sukan.

Setelah ditolak oleh beberapa institusi, saya bekerja di kedai sukan sebagai Pembantu Jualan dan Penolong Jurulatih Olahraga sementara menunggu pengambilan ITE seterusnya.


Pada Januari 2015 saya berjaya mendapatkan tempat untuk kursus Nitec dalam Latihan Kecergasan dan mula menunjukkan prestasi yang baik.

Selepas tamat pengajian, saya melanjutkan pelajaran ke Tahun 2 untuk Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Sukan dan berkhidmat dalam Perkhidmatan Negara. Saya kemudian mendaftar bagi Diploma Sains Sukan & Pengurusan dengan Akademi Sukan Antarabangsa di mana saya berjaya.

Saya kemudian memutuskan untuk memohon untuk mengikuti program ijazah di Universiti Essex di Kaplan Singapura untuk Ijazah Sains Sukan & Senaman (Kepujian). Saya berjaya mendapat Kepujian Kelas Kedua Atas dan memperoleh 5 Kecemerlangan (Distinction) dalam kursus pengajian saya.

Laluan saya ke universiti juga tidak lancar. Sebelum mendapat tempat di Kaplan Singapore, saya telah memohon untuk mengikuti 15 program yang ditawarkan oleh pelbagai universiti dan ditolak oleh kebanyakan universiti autonomi.


Ketika itu, kegagalan dan penolakan telah menjadi kebiasaan bagi saya, tetapi saya tidak pernah berputus asa walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan dan pintu yang tertutup.

Saya hidup dengan petikan Albert Einstein, “Semua orang adalah genius. Tetapi jika anda menilai seekor ikan dari keupayaannya memanjat pokok, ia akan menjalani seumur hidupnya dengan mempercayai bahawa ia adalah bodoh.

Mempunyai kepercayaan dan mempercayai diri sendiri adalah penting, ia membuatkan anda pergi jauh dalam hidup.

Kelas makmal program ijazah saya adalah kegemaran saya kerana saya boleh melaksanakan sesi praktikal. Di samping itu, saya juga mendapatkan latihan amali bekerja dengan universiti autonomi tempatan sebagai Pembantu Penyelidik Sains Sukan.

Saya sangat seronok melakukan kerja amali seperti membantu penyelidik menjalankan ujian VO2 max dan ujian Ambang Laktat.

Satu lagi aspek pengalaman saya yang saya nikmati ialah Tesis Penyelidikan Projek Akhir Tahun (Final Year Project) di mana saya membuat semakan sistematik tentang 'Analisis Biomekanikal Mengenai Kedudukan Berbeza Pose pada Rawatan Sakit Belakang Semasa Solat Muslim'.


Ia adalah salah satu projek penyelidikan yang paling mencabar yang pernah saya lakukan tetapi sangat bermakna!

Kepada mereka yang sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan pelajaran, saya ingin memberi jaminan bahawa ia boleh dilakukan dan tiada yang mustahil. Semasa belajar, saya bekerja empat kerja sambilan – sebagai Jurupulih Sukan, Jurulatih Peribadi, Pembantu Penyelidik (Jurulatih Kesihatan) dengan sebuah agensi pemerintah dan seorang pengajar dengan akademi sukan. Selain itu, saya juga menjadi mentor di Kelab Mendaki dan menjadi ahli Kelab Mahasiswa Pengucapan Awam Kaplan yang saya gemari.

Daripada petua dan kemahiran yang saya dapat dari kelab, saya memberikan beberapa ceramah umum dengan Mendaki dan dengan ITE. Yang paling penting saya tidak terlepas latihan larian dan gim setiap hari yang sudah menjadi rutin. Semua ini boleh dilakukan dengan pengurusan masa yang betul.

Jadi, sambutlah perjalanan dengan keberanian dan keazaman, kerana mengetahui tiada siapa yang dapat menghentikan kehausan anda untuk ilmu.

Sentiasa percaya pada impian anda dan sahut cabaran dan jangan berhenti mempunyai sikap ingin tahu. Biarkan semangat anda membimbing anda. Usaha anda untuk belajar akan menjadi contoh yang memberi inspirasi kepada orang lain.

MENGENAI PENULIS:
Muhammad Syafiq Mohammed Faruq, 27 tahun, merupakan penuntut
Institut Kaplan Singapore,
University of Essex. Beliau graduan Sarjana Muda (Kepujian) Sains Sukan dan Sains Senaman.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan