Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Nadi Kampus: Pertama kali mengundi, harap bakal Presiden Tharman tunai mandat diberikan rakyat SG

Anggaran Waktu Membaca:
Nadi Kampus: Pertama kali mengundi, harap bakal Presiden Tharman tunai mandat diberikan rakyat SG

(Dari kiri ke kanan) Abdul Hakim Abdul Jabbar, Nurhumaira Azman dan Muhammad Hyqel Lim.

SINGAPURA: Kehangatan Pilihan Raya Presiden 2023 kian beransur reda, dengan segala teka-teki mengenai siapa yang bakal menyandang jawatan Presiden ke-9 negara terungkai sudah pada Jumaat (1 Sep).

Encik Tharman Shanmugaratnam, 66 tahun, memperoleh kemenangan besar, 70.4 peratus undi manakala dua pesaing beliau, Encik Ng Kok Song dan Encik Tan Kin Lian masing-masing menerima 15.72 peratus dan 13.88 peratus undi.

Pengundi belia yang kami temui meluahkan rasa teruja apabila berpeluang buat kali pertama menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi. Bahkan, pengalaman mengundi baru-baru ini masih segar dalam ingatan mereka.

Dalam pilihan raya kali ini, pengundi kali pertama memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan, memandangkan golongan itu membentuk sebahagian besar daripada jumlah pengundi yang layak.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD) berkata kira-kira 6.6 peratus daripada 2,709,455 pengundi dalam Daftar Pengundi telah disahkan pada 20 Julai sebagai pengundi kali pertama dalam apa jua bentuk pilihan raya.

Profesor Madya Eugene Tan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) menganggarkan jumlah pengundi kali pertama tahun ini adalah dalam lingkungan "kira-kira 300,000 hingga 400,000" orang.

Malah, ketika ketiga-tiga calon Presiden giat berkempen sebelum ini, mereka akur peri pentingnya untuk mendekati golongan muda. Mereka bahkan, menggunakan wadah media sosial masing-masing secara meluas, dalam usaha mereka itu.
Rata-rata pengundi kali pertama yang ditemui BERITA Mediacorp berkongsi rasa teruja dan mendebarkan kerana menjadi sebahagian daripada rakyat Singapura dalam menentukan masa depan negara. Namun, mereka tidak terkejut dengan keputusan pilihan raya.

ADAKAH MEDIA SOSIAL DIGUNAKAN DENGAN BERKESAN DALAM MENDEKATI PENGUNDI MUDA?

Bagi salah seorang pengundi, Muhammad Hyqel Lim,beliau mengakui bahawa calon pilihan raya kerap tampil di platform yang lebih dekat di hati belia. Di samping platform media sosial seperti TikTok, mereka turut dilihat membuat kemunculan di podcast tempatan popular seperti 'Daily Ketchup'.

Pendapat yang sama turut diutarakan Nurhumaira Azman, lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) dari jurusan Sosiologi.

Nurhumaira, 23 tahun, bagaimanapun menarik perhatian tentang keterbatasan ciri semula jadi platform media sosial sedemikian, yang hanya membenarkan "pendedahan ringkas" kepada calon-calon Presiden.

Persoalannya, apakah yang membezakan penggunaan media sosial yang berkesan dalam kalangan calon itu?

Mahasiswa Univeristi Teknologi Nanyang (NTU) dalam jurusan Kejuruteraan Sivil, Abdul Hakim Abdul Jabbar menarik perhatian bahawa keikhlasan yang ditonjolkan dalam menyampaikan mesej menjadi keutamaan dalam menentukan Presiden pilihannya.

Ciri yang ditelitinya memberi gambaran tentang isu-isu yang benar-benar menjadi keprihatinan calon serta nilai-nilai yang diperjuangkan mereka, jelas mahasiswa berusia 23 tahun itu.

Beliau malah, turut berkongsi berbesar hati mendapat peluang untuk menunaikan tanggungjawabuntuk mengundi sebelum berangkat ke Turki bagi mengikuti program pertukaran pelajar selama lima bulan pada hari yang sama.

Beliau berharap bakal Presiden Tharman dapat menunaikan janji dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik untuk membantu penduduk berikutan mandat besar yang diberi rakyat.

BELIA HARAP THARMAN PENUHI MANDAT

Ketiga-tiga pengundi muda itu bersikap optimis terhadap masa depan Singapura di bawah kepimpinan bakal Presiden Encik Tharman Shanmugaratnam.
Gambar: CNA/Jeremy Long
Hakim antara lain, berkongsi: "Pengalamannya selama bertahun-tahun dalam perkhidmatan awam sememangnya akan memberi beliau kelebihan dalam menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Negara."

Sementara itu, Humaira pula menyuarakan harapan agar Encik Tharman "akan membuat keputusan yang bijak bagi kepentingan negara tanpa dipengaruhi sebarang pertimbangan politik".

"Saya tidak sabar untuk menyaksikan antara insiatif akar umbi, yang akan dilakarkan (Encik Tharman)," ujar Hyqel.

Mereka juga melahirkan rasa ghairah untuk sama-sama menyumbang kepada kejayaan Singapura di bawah kepimpinan Encik Tharman.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan