Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

NADI KAMPUS: Nicholas Ho meski bukan orang Melayu bertekad terus martabatkan seni tarian Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
NADI KAMPUS: Nicholas Ho meski bukan orang Melayu bertekad terus martabatkan seni tarian Melayu

Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp

SINGAPURA: Setiap kali beliau berkongsi tentang pelibatannya dalam bidang tarian Melayu, setiap kali jugalah beliau akan menerima reaksi terkejut. Ini meskipun beliau sudah menceburi seni tarian Melayu selama lebih sedekad. Lebih tepat lagi selama 14 tahun.


Manakan tidak, anak muda bernama Nicholas Ho ini bukan orang Melayu atau berketurunan Melayu. Beliau orang Cina yang boleh dikatakan ‘berjiwa Melayu’!

Namun, reaksi orang di sekelilingnya itu tidak sekali-kali melenturkan semangat Nicholas, 23 tahun, untuk terus memartabatkan seni tarian Melayu.

“Saya rasa kita patut menjadikan ini sesuatu yang lebih normal. Mereka yang berlainan bangsa boleh menceburi budaya yang berbeza. Terutama sekali di Singapura, (apabila) kita seringkali berbicara mengenai keharmonian kaum,” ujar Encik Nicholas kepada BERITA Mediacorp.

Baru-baru ini, Nicholas terlibat sama dalam menjayakan pementasan tarian T.I.G.A anjuran Tiga Collective, yang berlangsung pada 8 Julai di Pusat Seni Stamford.
Gambar: Haiqal Tahir
Mahasiswa SMU tahun 2 itu mula berjinak-jinak dengan seni tarian Melayu sejak di bangku sekolah rendah lagi. Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta, beliau tidak menyangka sama sekali bahawa latihan tarian Melayu yang dihadirinya sebagai sebahagian daripada kegiatan kokurikular, menyuntik minat beliau terhadap seni tersebut.
Gambar: Nicholas Ho
Beliau malah, meneruskan pelibatannya dalam tarian Melayu di Sekolah Menengah Anderson menerusi skim Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA). Sepanjang pengajiannya di Politeknik Singapura (SP) pula, beliau menganggotai kumpulan tarian SP, Wangsa Kesari Seni.

Ditanya tentang ciri-ciri tarian Melayu yang membuat beliau tertarik berbanding tarian-tarian lain, Nicholas berkata: "Saya rasa tarian Melayu sedikit berlainan kerana ia 'membumi'. Dalam tarian Melayu, kami (menari dengan) rendah dan lebih dekat kepada tanah, daripada (memberi fokus kepada) otot bahagian tengah tubuh. Itu apa yang kami panggil sebagai 'membumi'."
Gambar: Haiqal Tahir
Nicholas akur begitu besar peranan guru-guru tarian Melayunya dalam menyuntik keyakinan dalam dirinya untuk terus menceburi seni tarian sekalipun berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai seorang penari bukan berbangsa Melayu. Antara guru tarian Melayu beliau termasuk penggiat seni tarian mapan, Encik Osman Abdul Hamid dan Encik Md Izwan Sarif.

CABARAN SEBAGAI PENARI BUKAN MELAYU

Walaupun sudah sekian lama menceburi tarian Melayu, Nicholas masih menganggap tahap kefasihannya dalam bahasa Melayu sebagai antara cabaran yang perlu diharungi khususnya sebagai penari bukan berbangsa Melayu.

“Cabaran utama saya adalah saya masih tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu. Kadangkala, semasa saya menari, guru saya akan bertukar bertutur dalam bahasa Melayu. Kadangkala, saya tidak faham apa yang dikatakan. Saya akan (bertanya kepada rakan saya di sebelah), “Apa yang dia katakan?” cerita Nicholas kepada BERITAmediacorp.

Sekalipun demikian, beliau mampu mengatasi cabaran yang dihadapi dengan sokongan rakan-rakannya dalam tarian Melayu.
Gambar: Haiqal Tahir
Bahkan, Nicholas menarik perhatian bahawa meskipun beliau seringkali merupakan satu-satunya penari bukan berbangsa Melayu dalam setiap kumpulan tarian yang disertainya, beliau tidak pernah berasa dirinya tersisih.

Selain rakan-rakan serta guru tariannya, Nicholas turut menghargai sokongan tidak putus-putus yang diberikan keluarganya terhadap minatnya dalam seni tarian Melayu.
Gambar: Nicholas Ho
Nicholas juga berkongsi kepada BERITAmediacorp bagaimana keluarganya tidak pernah terlepas daripada menghadiri setiap persembahannya, sungguhpun mereka tidak memahami apa yang dipersembahkan memandangkan ia dipaparkan dalam bahasa Melayu.

HASRAT UNTUK TERUS PERGIAT SENI TARI MELAYU

Sokongan padu yang diterima Nicholas semasa persembahannya pada awal Julai itu membulatkan tekadnya untuk terus mempergiatkan seni tarian Melayu.

Malah, beliau mengambil keputusan untuk menganggotai sebuah kumpulan tarian Melayu tempatan, sekalipun ia memerlukan beliau untuk mengimbangi antara komitmen sebagai seorang penari serta tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa.

Dalam pada itu, Nicholas menzahirkan harapan agar ia akan membuka lebih banyak peluang baginya untuk memperbaiki diri sebagai seorang penari tarian Melayu dan terus memartabatkan seni tarian tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan