Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

NADI KAMPUS: Latihan amali di firma pemula AS buka mata, minda siswa SMU ini

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Apabila rakan-rakan sebaya saya mula berehat pada jam 9.30 malam di Singapura, saya sebaliknya memulakan tugas saya sebagai seorang pelatih (intern) perniagaan di Iterative Scopes yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Saya menapis dokumen demi dokumen yang melibatkan perlindungan Hak Cipta Intelektual (IP).

Sambil saya meminum kopi untuk memastikan saya tidak berasa mengantuk, saya meneliti draf dokumen paten untuk memastikan tiada kelemahan pada dokumen tersebut yang boleh dicabar mahupun dipertikaikan.

Iterative Scopes adalah sebuah syarikat pemula Teknologi Perubatan (Medtech), di mana saya bekerja secara langsung dengan pihak-pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian dalam proses perlindungan IP dan melakar draf paten.

Saya turut membantu firma tersebut dalam operasi perniagaan dan kewangan dalaman syarikat.
Gambar: Pexels

MENGAPA SAYA PILIH LATIHAN AMALI INI?

Anda mungkin tertanya-tanya mengapa saya memilih untuk menjalani latihan amali sebegini?

Sebagai seorang mahasiswa dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), saya sentiasa mencari peluang, khususnya di syarikat pemula untuk membezakan saya daripada rakan-rakan sebaya yang lain.

Dari segi kerjaya, tenaga dan inovasi yang diperlukan oleh syarikat pemula adalah sesuatu yang saya rasa sesuai bagi diri saya.

Apabila pandemik COVID-19 melanda, maka timbul rasa bimbang. Secara tiba-tiba, saya terfikir tentang masa depan saya dan sama ada impian saya untuk memulakan kerjaya dalam persekitaran syarikat pemula boleh tercapai.

Dunia kini semakin serba tidak menentu bagi para mahasiswa, terutama sekali bagi mereka yang melalui fasa peralihan untuk menjejakkan kaki ke alam pekerjaan.

Antara pelbagai bantuan kerjaya dan skim yang ditawarkan oleh pihak universiti, saya memohon untuk menyertai Program Penyerapan Inovasi Global (GII) Institut Inovasi & Keusahawanan (IIE) SMU dengan harapan saya berpeluang menjalani latihan amali yang berupaya mengubah kehidupan saya.

(Gambar Hiasan: Universiti Pengurusan Singapura, SMU)

Program eksklusif selama tiga bulan ini dikendalikan dalam ekosistem yang menggalak daya inovasi dan sifat keusahawanan di syarikat-syarikat yang mencatat pertumbuhan tinggi untuk memupuk minda keusahawanan dalam kalangan para pelatih.

Saya mengetahui buat pertama kali tentang syarikat pemula tersebut setelah ia memenangi hadiah utama dalam acara IIE SMU - Pertandingan Pelan Perniagaan Global Lee Kuan Yew.

Antara beberapa saranan hebat yang dikemukakan bagi pertandingan tersebut adalah idea untuk menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) pada peranti pengesanan dan diagnostik gastroenterologi yang benar-benar menarik perhatian saya.

Tiga bulan berubah menjadi lima bulan dan sehingga kini saya masih teruja untuk menghidupkan komputer saya pada jam 9.00 malam untuk bekerja dari rumah dengan syarikat Iterative Scopes.

Tugasan yang paling tidak boleh dilupakan sejauh ini adalah menghasilkan paten. Meskipun prosesnya rumit, saya berpeluang mempelajari banyak perkara tentang kerja-kerja dalaman industri jagaan kesihatan.

Ia memberikan saya pemahaman yang lebih mendalam dan menyeluruh tentang bagaimana sesebuah firma MedTech beroperasi.

SANGKAL TANGGAPAN GEN-Z 'GENERASI LEMAH, CEPAT MENYERAH KALAH'

Banyak yang sudah diperkatakan tentang anak muda daripada generasi saya (Gen-Z) atau Generasi Milenial yang menyifatkan generasi saya sebagai 'lemah dan mudah menyerah kalah'.

Saya menyangkal dakwaan itu. Dalam persekitaran bekerja dari rumah, generasi saya sudah terbiasa dengan ketersambungan tiada masalah bagi generasi kami untuk menerima perubahan.

Gambar: Pexels
Peralihan ke persekitaran bekerja dari rumah lebih lancar bagi kami berbanding rakan-rakan sekerja kami yang lebih tua yang sudah begitu lama terbiasa bekerja di pejabat.

Begitulah keadaannya dalam persekitaran syarikat pemula dan itulah sebabnya mengapa saya ghairah untuk menjadi sebahagian daripada aturan kerjanya.

Persekitaran kerja yang pantas dan memerlukan seseorang untuk cepat menyesuaikan diri dengan keadaan yang kian berubah-ubah mungkin lebih sesuai untuk graduan Gen-Z seperti saya.

Inilah sebabnya mengapa rakan sekerja kami daripada Gen-X misalnya berasa kagum apabila kami dapat menyesuaikan diri dengan lebih pantas berbanding mereka dalam persekitaran dinamik seperti ini. Kami juga lebih cepat memahami penggunaan teknologi seperti bekerja dari rumah dan memanfaatkan media sosial.

Gen-Z kini sedang memulakan kerjaya mereka di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang sudah banyak mengubah masa, tempat dan cara kita bekerja.

Tinjauan pada 2021 yang melibatkan para calon kerja dalam kalangan Gen-Z yang dijalankan oleh syarikat pengambilan pekerja RippleMatch mendapati bahawa lebih dua pertiga calon kerja mahukan pekerjaan yang membolehkan mereka untuk terus bekerja dari rumah.

Keterbukaan kami untuk menyuarakan pandangan dan kesedaran terhadap kesihatan mental juga adalah sesuatu yang mungkin tidak dapat difahami oleh rakan-rakan sekerja kita yang lebih tua.

Meskipun hierarki pejabat adalah persekitaran kerja yang boleh diterima oleh Gen-X, ia bagaimanapun bukanlah sesuatu yang boleh diterima bulat-bulat oleh generasi saya.
Gambar: Pexels
HARGAI PELUANG SUARAKAN PANDANGAN

Di Iterative Scopes, saya digalakkan untuk memberikan komen dan maklum balas berdasarkan logik. Apabila saya menyediakan draf paten, saya bekerjasama dengan peguam, doktor dan pemaju dalam bidang tersebut.

Ia memberikan saya satu kepuasan apabila para pakar seperti mereka meminta pandangan saya tentang cara terbaik untuk melakar dokumen undang-undang mereka.

Saya rasa saya berhak untuk menentukan sendiri apa yang ingin saya lakukan, dengan cara itu, saya lebih memahami apa yang perlu dilakukan.

Semasa latihan amali, ia sudah menjadi satu kebiasaan untuk menanyakan soalan dan berkongsi pandangan. Saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan sekerja yang sering memberi bantuan dan menjawab pertanyaan saya, sekalipun ia adalah soalan yang paling mudah, sedang saya cuba memahami topik-topik perubatan dan istilah-istilah perubatan yang begitu rumit.
Gambar: Pexels

Budaya terbuka di Amerika Syarikat (AS) menggalak kritikan membina tanpa mengira pengalaman seseorang untuk mencapai hasil yang optimum. Ini adalah perubahan yang sangat-sangat dialu-alukan.

Selain peluang untuk bekerja dengan sebuah syarikat
pemula yang berkembang maju, pendedahan antarabangsa juga mendorong saya untuk menyertai program ini.

Peluang untuk bekerja dengan individu dan mentor daripada pelbagai latar belakang industri adalah sesuatu yang diidamkan.

Sebelum memulakan latihan amali ini, kami menghadiri beberapa bengkel seperti kursus bahasa dan kelas etika bagi memperluaskan rangkaian profesional untuk melengkapkan kami dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk maju dalam syarikat pemula luar negara.

Kami juga digalakkan untuk mengadakan "sesi sembang" (kini secara maya) untuk memperluaskan rangkaian profesional dalam industri yang kami minati. Ini sangat berguna kerana saya sudah memutuskan untuk memburu kerjaya di Amerika Syarikat.

Dari awal lagi, suasananya memang berbeza berbanding persekitaran bekerja di pejabat. Bekerja dari rumah bermakna kurang interaksi sosial dalam persekitaran kerja. Saya juga harus mempunyai lebih kesedaran untuk mendampingi rakan-rakan sekerja dan bersikap lebih proaktif dalam tugas saya.

Secara jujur, saya mendapati persekitaran kerja seperti ini adalah satu-satunya cara untuk meraih kecemerlangan dalam latihan amali. Ia menjadikan saya lebih berdikari dan tidak bergantung kepada rakan-rakan sekerja sepanjang masa.

DIRI LEBIH BERDISIPLIN

Disebabkan oleh jarak waktu antara Singapura dengan Amerika Syarikat, saya kini lebih berhati-hati untuk memikirkan dan menyelesaikan sendiri satu-satu masalah terlebih dahulu. Kemahiran ini adalah sesuatu yang saya sudah mula memahami.

Ia juga memaksa saya untuk merancang dan menguruskan masa dengan lebih baik kerana ia lebih sukar untuk menyusun jadual mesyuarat dan panggilan telefon, lebih-lebih lagi memandangkan bimbingan yang diberikan kepada para pelatih tidak semestinya tersedia.

Rakan-rakan sekerja saya juga bertimbang rasa sewaktu mengambil masa untuk berehat. Persekitaran kerja yang positif di tengah-tengah landskap yang kian berubah-ubah adalah sesuatu yang amat saya hargai.

Memahami apa yang mendorong saya untuk bekerja keras dan apa itu kebahagiaan memberi makna baru kepada aspirasi saya.

Ia juga menghilangkan tekanan yang tidak perlu seperti membandingkan diri saya dengan kejayaan orang lain.

Walaupun saya mungkin tidak mempunyai semua jawapan atau tahu ke mana sebenarnya hala tuju saya selepas tamat pengajian, saya tidak sabar untuk menimba pengetahuan dan pengalaman baru dan menentukan sendiri kebahagiaan saya bekerja dalam persekitaran syarikat pemula.

MENGENAI PENULIS:
 

MAIN
Gambar: Jo Adam Saiful Mirza

Jo Adam Saiful Mirza adalah seorang mahasiswa dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dalam jurusan Pengurusan Perniagaan. Beliau menjalani latihan amali di bawah Program Penyerapan Inovasi Global (GII) SMU.

Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan