Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

NADI KAMPUS: 'Dadah rekreasi' kian jadi tumpuan, apa kata belia?

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Trend ‘dadah rekreasi’ semakin berleluasa di luar negara sedang lebih banyak negara seperti Thailand dan Kanada, melonggarkan undang-undang penggunaan dadah bagi tujuan mengawal dadah ataupun untuk meraih manfaat ekonomi.

Kes pengambilan dadah atlit negara Joseph Schooling dan Amanda Lim secara tidak langsung mengalihkan tumpuan ramai, khususnya dalam kalangan belia tempatan, kepada‘dadah rekreasi’.

Meskipun kebanyakan belia masih memandang serius terhadap isu pengambilan dadah, para belia didapati mempunyai pandangan yang lebih berbelah bagi berbanding golongan lain dalam masyarakat Singapura tentang isu pengambilan ‘dadah rekreasi’.

Apatah lagi, terdapat segelintir belia yang mempunyai pandangan yang dianggap liberal terhadap isu tersebut.

Nadi Kampus mengajak tiga penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IHL) berkongsi pandangan mereka mengenai isu tersebut.

Mereka terdiri daripada Noor Kamilia, mahasiswa dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Ahmad Khairul, penuntut tahun pertama di Politeknik Singapura (SP) dan Nurul ‘Aqilah, mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Nadi Kampus: Apakah persepsi anda terhadap trend penggunaan ‘dadah rekreasi’, sedang lebih banyak negara mengikuti trend demikian?

Aqilah: Saya tidak mahu Singapura menormalisasikan trend tersebut kerana saya rasa ia akan mengancam keselamatan, yang saya anggap sebagai hak istimewa milik warga Singapura.

Kamilia: Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan trend penggunaan ‘dadah rekreasi’ disebabkan kesan negatif yang berkaitan dengannya. Saya rasa para belia hari ini lebih terbuka terhadap penggunaan ‘dadah rekreasi’ sebagai cara untuk membebaskan dan melegakan diri mereka. Ini memandangkan mereka menghadapi tekanan besar dan beban kesihatan mental di tengah-tengah pandemik yang sedia ada dan ketidaktentuan ekonomi. Dari sisi lain, para belia boleh dilihat menegaskan autonomi mereka dalam perkara yang mereka ingin lakukan.
Noor Kamilia, mahasiswa dari NUS.
Khairul: Di dalam negara yang agak selamat dan undang-undangnya yang amat ketat, mungkin trend tersebut akan menambah penggunaan ‘dadah rekreasi’ dan keburukan trend tersebut akan mengatasi faedahnya.

Nadi Kampus: Apakah yang menjadi keprihatinan utama anda berhubung trend tersebut?

Khairul: Perkara yang menjadi keprihatinan utama saya adalah jika masyarakat Singapura menormalisasikan trend ini.
Ahmad Khairul, penuntut tahun pertama di Politeknik Singapura (SP).
Kamilia: ‘Dadah Rekreasi’ mungkin bermula sebagai satu cara untuk membebaskan dan melegakan diri, tetapi seperti dadah yang lain, ia akan menyebabkan ketagihan, sekali gus menyebabkan masalah-masalah lain seperti tekanan kewangan, penderaan keluarga serta kelakuan awam yang sukar dikawal.

Aqilah: Keprihatinan utama saya ialah jika trend sebegini wujud di Singapura, ia akan menjejas kadar jenayah di Singapura. Meskipun undang-undang yang ketat sudah pun dikuatkuasakan berhubung penjualan dan penggunaan dadah, orang ramai akhirnya masih terjebak dalam penyalahgunaan dadah juga.

Nadi Kampus: Apakah pendapat anda tentang usaha mengawal penggunaan dadah di Singapura sejauh ini?

Khairul: Pengedaran dadah mungkin mustahil untuk dihapuskan. Dengan itu, Singapura sebenarnya sedang menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, supaya pengedaran dadah terkawal.

Aqilah: Saya rasa hukuman ekstrim pemerintah Singapura terhadap dadah amat berkesan dalam menghalang penggunaan dadah dalam kalangan orang awam.
Nurul ‘Aqilah, mahasiswa dari NTU.
Kamilia: Walaupun langkah ekstrim sebegini boleh menakutkan warga Singapura, ia sememangnya bukanlah cara yang paling berkesan dalam memupuk pemahaman terhadap isu dadah dan ketagihan dalam kalangan masyarakat. 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan