Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

NADI KAMPUS: Belia kurang cenderung berbahasa Melayu, mengapa?

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Penggunaan meluas Bahasa Inggeris dalam pelbagai aspek kehidupan seharian belia hari ini, sama ada di rumah mahupun ketika bersembang dengan teman-teman, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sekalipun demikian, ini tidak bermakna bahawa belia langsung tidak bertutur dalam Bahasa Melayu.

Meskipun kedwibahasaan diutamakan, ia tetap penting untuk memahami kecenderungan belia berbahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu. Apatah lagi, alasan “My Malay is not good (Bahasa Melayu saya tidak bagus)” misalnya, sering kali diungkapkan belia ketika diminta untuk berbahasa Melayu.

Ini menimbulkan tanda tanya sama ada belia Singapura tidak menyedari betapa pentingnya untuk terus melestarikan Bahasa Melayu?

Atau adakah semata-mata kerana belia kita kurang konfiden untuk bertutur dalam bahasa ibunda mereka?

Nadi Kampus mendapatkan pandangan tiga penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IHL) - Murni Kamsani, 22 tahun, mahasiswi Universiti Nasional Singapura (NUS), Nur Insyirah Azhari, 21 tahun juga siswa NUS dan Muhammad Hilman, 20 tahun, yang sedang menuntut di Politeknik Republik (RP).
“MY MALAY NOT GOOD” - BELIA TAKUT BERBAHASA MELAYU?

Kerelevanan dwibahasa yang diperjuangkan dalam sistem pendidikan dan pekerjaan, secara tidak langsung mempengaruhi pilihan bahasa yang diutamakan seseorang individu.

Setelah meninggalkan bangku sekolah, golongan belia sememangnya mempunyai pilihan untuk menentukan bahasa yang lebih selesa dituturkan.

“Kita lebih terbiasa untuk berbual Bahasa Inggeris. Dan apabila kita sudah terbiasa, ia menjadi satu keselesaan untuk berbual Bahasa Inggeris. Maka ia susah untuk melangkah keluar dari zon keselesaan itu,” ujar Murni yang menuntut dalam jurusan Pengurusan Projek dan Kemudahan.
Dalam membincangkan mengenai keselesaan berbahasa Melayu, Nur Insyirah, mahasiswi jurusan Sosiologi dan Pengajian Melayu, menarik perhatian bagaimana penekanan kepada penggunaan bahasa baku terutama sekali di sekolah berbanding ‘bahasa basahan’, iaitu bahasa yang biasanya digunakan oleh penutur dalam kehidupan seharian, mungkin menghambat para belia daripada berasa selesa untuk bertutur dalam bahasa Melayu.

Menurut Insyirah: “Terdapat perbezaan yang ketara dalam peralihan daripada bahasa baku kepada bahasa basahan.” Menurut beliau, ini berkemungkinan menyebabkan sesetengah belia menjadi kurang yakin untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Bukan itu sahaja, tanggapan ramai seolah-olah bahasa baku adalah bahasa yang seharusnya dituturkan oleh penutur bahasa Melayu di Singapura, mungkin menyebabkan sesetengah belia berasa lebih takut untuk berbahasa Melayu.

Ketiga-tiga penuntut IHL yang ditemui Nadi Kampus, malah menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya belia Melayu Singapura terus bersikap kurang selesa untuk bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

USAHA GALAK BELIA MENGHARGAI BAHASA MELAYU

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Sekalipun banyak usaha dilaksanakan dengan tujuan untuk melestarikan dan menghargai Bahasa Melayu, sekiranya belia tidak memahami mengapa penting untuk mengekalkan Bahasa Melayu mahupun mempunyai minat terhadap bahasa itu sendiri, ia tidak akan membawa sebarang faedah.

Itu yang ditekankan oleh Muhammad Hilman, yang mengikuti jurusan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik di RP.
Mengulas mengenai keberkesanan usaha-usaha sedia ada untuk menggalak belia menghargai dan menggunakan Bahasa Melayu dengan lebih kerap, Encik Hilman berkata terdapat keperluan untuk mengambil pendekatan yang berupaya “membuat pembelajaran bahasa Melayu kembali menyeronokkan”.

Pandangan serupa juga dikongsi oleh Insyirah, yang turut menaruh harapan agar badan-badan yang memperjuangkan Bahasa Melayu dapat memastikan usaha yang dijalankan mampu memupuk kesedaran mengenai pentingnya Bahasa Melayu dalam kalangan belia sambil memenuhi keperluan dan aspirasi belia hari ini.
Yang pasti, peranan belia, sebagai generasi pelapis untuk terus mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu di Singapura, tidak dipertikaikan lagi.

“Bahasa ialah sebahagian daripada identiti kita sebagai orang Melayu,” ujar Murni. Beliau menekankan betapa pentingnya para belia memahami peranan mereka dalam usaha melestarikan Bahasa Melayu.

Tambah Murni lagi, “Dalam banyak-banyak golongan, (belia) mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan Bahasa Melayu kita, mengekalkan budaya dan identiti Melayu di Singapura.”

Usaha menggalak penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan belia harus diteruskan. Malah, usaha tersebut bukan terletak di pundak belia sahaja, bahkan segenap lapisan masyarakat.
 

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa