Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

NADI KAMPUS: Adly Azizi, Amirul Haikal ingin main peranan lebih besar dalam bidang masing-masing & harumkan nama S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
NADI KAMPUS: Adly Azizi, Amirul Haikal ingin main peranan lebih besar dalam bidang masing-masing & harumkan nama S'pura

Adly Azizi (kiri); Amirul Haikal (kanan)

SINGAPURA: Bagi ramai anak muda Singapura, kenangan sambutan Hari Kebangsaan di sekolah pasti tidak boleh dilupakan, malah ia menjadi satu kenangan terindah zaman persekolahan.

Itulah yang diungkapkan Adly Azizi Azamin, seorang jurulatih tarian sepenuh masa dan artis bebas. 

"Sampai sekarang, saya suka menyanyi lagu-lagu Hari Kebangsaan. Saya juga rindukan detik-detik di mana saya dan rakan-rakan saya akan datang ke sekolah, lengkap berpakaian warna merah dan putih sambil bernyanyi di dewan berjam-jam lamanya.

"Oleh itu, NDP sangat dekat di hati saya," kata Adly Azizi sambil tersenyum. 

Maka tidak hairanlah apabila jurulatih berusia 22 tahun itu juga pernah turut serta dalam persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di Stadium Negara pada tahun 2016 dan juga Pentas Terapung Marina Bay pada tahun 2021. 

"Apabila saya membuat persembahan atau mereka tarian, saya cuba untuk membawa keluar semangat dan suasana seperti sambutan NDP di sekolah," tambah Adly Azizi. 

Sebagai jurulatih tarian sepenuh masa, Adly Azizi mahu menajamkan kemahiran dan bakatnya. Beliau berazam untuk meraih pengalaman dalam industri seni dan budaya di luar negara untuk dibawa pulang dan menyumbang kembali kepada negara tercinta.

"Khususnya bagi seni persembahan dan eksperimen, ia tidak biasa dilakukan di Singapura. Sekiranya mendapat peluang meraih pengetahuan dan pengalaman di luar negara, saya berharap saya akan dapat menyuntik nafas yang baru dalam industri seni tempatan yang kian berkembang," ujar lulusan Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) itu. 

Sungguhpun ingin ke luar negara untuk meluaskan pemandangannya serta pengalaman, Adly Azizi akur amat sukar baginya untuk meninggalkan Singapura buat selama-lamanya. 

"Di sini, ada keluarga dan rakan-rakan saya. Tetapi bukan itu sahaja, Singapura adalah tempat yang amat selamat dan selesa bagi saya," katanya kepada BERITAmediacorp. 

Mula berjinak-jinak dalam bidang tarian pada 2011 apabila sekolah rendahnya, Monfort Junior School, membuka kegiatan kokurikular (CCA) baru, yang dinamakan Tarian Antarabangsa, Adly Azizi berasa bersyukur menemui minatnya pada usia yang muda dan mendapat sokongan kuat daripada keluarga dan rakan-rakannya. 

"Yang paling memberi saya motivasi adalah apabila saya melihat keluarga dan rakan-rakan saya dalam kalangan penonton."

BOLA SEPAK S'PURA KEBANGGAAN AMIRUL HAIKAL

Bagi Amirul Haikal, 23 tahun, mewakili Singapura dalam pelbagai perlawanan bola sepak membangkitkan semangat anak watan yang begitu luar biasa.

Amirul, yang merupakan pemain kelab Tampines Rovers, sudah mula mengasah bakat dalam bola sepak sejak usianya 10 tahun. Sejak itu, beliau sudah menyertai perlawanan baik di dalam negara dan di peringkat antarabangsa dalam kumpulan belia mewakili Singapura.

Setiap kali Hari Kebangsaan, pasti terbit rasa sentimental dan bangga dalam diri Amirul.

"Bagi saya, Hari Kebangsaan membawa makna yang sentimental kerana apabila saya mewakili Singapura dalam pelbagai perlawanan dan walaupun ia sangat sukar bagi saya, saya berasa sangat berbesar hati untuk mewakili negara saya. 

"Perasaan setiap kali saya menjaringkan gol tidak boleh ditandingkan kepada apa sahaja yang pernah saya rasa sepanjang kerjaya bola sepak saya, kerana setiap kali kami menang, saya rasa amat bangga untuk menjadi seorang warga Singapura," ujar beliau.

Amirul pada awalnya sudah menerima tawaran untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang sains sukan dan pengurusan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Namun untuk mengasah kemahirannya dalam pelbagai bidang, bukan sahaja sukan, beliau memilih untuk menuntut di sekolah perniagaan setelah menjalani Perkhidmatan Negara (NS). 

"Dalam sukan-sukan lain, ada ramai sahaja atlit yang berjaya dalam pelbagai bidang, seperti atlit yang juga bekerja sebagai seorang doktor, jururawat mahupun peguam. 

"Itu memberi saya inspirasi untuk melakukannya dalam bidang bola sepak juga dan membuktikan kepada orang-orang di luar sana yang kami boleh berjaya dalam beberapa bidang," katanya kepada BERITAmediacorp.

Sekalipun demikian Amirul akur terdapat beberapa suara-suara yang lantang mengecam dan seakan-akan memperkecilkan bola sepak Singapura.

"Orang di luar sana selalu katakan bola sepak Singapura tiada masa hadapan kerana kami seringkali kalah. Ada juga yang menasihatkan saya untuk tidak menjadi seorang pemain bola sepak profesional. 

"Tetapi bagi saya, mereka tidak melihat ataupun melalui prosesnya di sebalik tabir. Peluh keringat usaha pasukan Singapura sudah mempertingkatkan prestasi kami, walaupun belum capai standard yang diinginkan," ujar Amirul, yang juga mahasiswa Tahun 3 di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS). 

Malah, ini terus membakar semangat Amirul untuk terus berazam untuk mempertingkat diri dan menajamkan kemahiran  supaya dapat mewakili pasukan negara dalam bola sepak, sekali gus mengharumkan nama Singapura di mata dunia.

"Saya berharap dapat mewakili Singapura dalam pasukan negara pada masa akan datang dan beraksi dalam banyak perlawanan antarabangsa. Itu sasaran utama saya.

"Saya yakin saya boleh mencapainya dan saya yakin industri bola sepak di Singapura akan semakin berkembang. 

"Kami berusaha bukan untuk mereka yang mengecam kami, tetapi kami berusaha untuk mereka yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada industri bola sepak Singapura," kata Amirul Haikal penuh bersemangat.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan