Mutiarah Usman cekal harungi hidup serba mencabar, kini genggam ijazah

(Dari kiri) Mutiarah Usman serta pasangannya. (Gambar: Mutiarah Usman)
SINGAPURA: Saya membesar dalam keadaan serba mencabar. Terdapat lapan orang di dalam keluarga kami, termasuk abang saya dan tiga adik lelaki yang tinggal di dalam flat HDB tiga bilik yang kecil.
Kehidupan sering kali sukar. Pada usia 14 tahun, saya mula bekerja sambilan untuk menyara diri tanpa bergantung pada keluarga. Zaman kanak-kanak saya penuh dengan cabaran dan kerap kali mengalami ketidakpastian, seringkali tanpa panduan daripada orang dewasa di sekeliling saya.
Dari segi akademik, saya menghadapi kesukaran dan sering gagal dalam kebanyakan subjek di sekolah rendah dan juga sekolah menengah.
Walaupun menghadapi halangan sebegini, saya terus berusaha dan dapat meneruskan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan kemudiannya memperoleh diploma dari politeknik.
Selepas itu, saya memasuki alam pekerjaan untuk mencari pendapatan sambil meneroka potensi kerjaya. Apabila saya bekerja di syarikat sekarang ini, barulah saya benar-benar memahami nilai pendidikan dan pembelajaran.
LALUAN KERJAYA
Sebagai seorang pekerja yang dihargai di syarikat saya, saya diberikan peluang untuk berpindah ke peranan yang setara. Walaupun saya berkerja keras dan penuh dedikasi, saya mendapati diri saya terhalang oleh kelayakan pendidikan yang diperlukan untuk jawatan yang lebih tinggi.
Pada waktu itu, saya menghadapi dilema sama ada mahu melanjutkan ijazah di Kaplan (Universiti Northumbria) ataupun mendaftar di universiti tempatan yang berprestij. Saya memohon kepada kedua-duanya serentak dan kemudiannya disenarai pendek untuk temu duga di Universiti Teknologi Nanyang Singapura dan pada masa yang sama menerima tawaran dari Kaplan.
Akhirnya, saya memutuskan untuk percaya pada potensi diri saya daripada bergantung kepada prestij sekolah terkemuka untuk membentuk kerjaya saya. Dengan kepercayaan diri dan kemampuan saya untuk berjaya tanpa mengira institusi, saya memilih untuk menerima tawaran dari Kaplan.
Selepas 18 bulan program ijazah di Kaplan, syarikat saya telah mengiktiraf potensi saya dan kini sedang mempersiapkan saya bagi peluang kenaikan pangkat yang akan datang.
Mereka secara aktif melabur dalam pertumbuhan dan perkembangan saya, menempatkan saya untuk peranan kepimpinan dan pengurusan projek.
DORONGAN ORANG TERSAYANG
Saya amat berterima kasih atas sokongan dan dorongan yang saya terima dari orang-orang di sekeliling saya. Pasangan saya, rakan-rakan, rakan sekerja, dan mentor semuanya memainkan peranan penting, memberikan nasihat yang bernilai dan benar-benar mengambil berat tentang kejayaan saya.

Perhatian dan kepercayaan mereka kepada saya menguatkan komitmen saya terhadap matlamat seumur hidup saya untuk terus belajar dan berkembang, memastikan bahawa saya kekal relevan dan berkesan dalam kehidupan profesional dan peribadi saya.
HARUNGI CABARAN HIDUP, CAPAI PERTUMBUHAN PERIBADI
Saya berharap dengan berkongsi kisah saya, saya dapat memberi inspirasi kepada mereka yang menghadapi cabaran dalam hidup mereka. Saya percaya bahawa kesukaran yang kita lalui tidak mendefinisikan siapa kita dan apa yang kita boleh capai dalam hidup.
Saya percaya bahawa pendidikan tidak semestinya mengikuti laluan tradisional dan linear. Yang penting adalah mempunyai tujuan dan arah yang jelas dalam apa yang anda mahu capai dan mengambil langkah setapak demi setapak.
Saya ingin menawarkan satu nasihat yang sudah membimbing saya: Apabila merancang laluan hidup anda, adalah penting untuk mencari keseimbangan antara harapan masyarakat dan tujuan serta kepuasan diri anda.
Dengan berpegang teguh pada minat anda dan tekun berusaha, anda akan menuju arah yang selari dengan matlamat anda, sama ada ia bermaksud mengejar ijazah atau pengalaman pertumbuhan peribadi yang lain.
CETUSAN KARYA:
Rencana ini ditulis oleh Mutiarah Usman, yang merupakan lulusan Akademi Pendidikan Tinggi Kaplan dengan Ijazah Perniagan dalam Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.