Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Mula menulis untuk luah isi hati, Fadhli Fadzil kini terbitkan 'zine' ketengahkan perspektif anak muda Melayu SG

Anggaran Waktu Membaca:
Mula menulis untuk luah isi hati, Fadhli Fadzil kini terbitkan 'zine' ketengahkan perspektif anak muda Melayu SG

Gambar: Izzah Aqilah/BERITA Mediacorp

SINGAPURA: Siapa kata anak Melayu sekarang tidak prihatin dengan bahasa ibunda?

Sempena Bulan Bahasa tahun ini, mahasiswa tahun keempat NTU dalam bidang Pengajian Melayu dan Pendidikan Fadhli Fadzil menerbitkan 'zine' ataupun majalah yang bertajuk "Kulihat Layu dalam Melayu".

Majalah terbitan Fadhli ini mengandungi kompilasi kreatif komik, sajak dan komentar yang mengupas isu-isu tentang bahasa Melayu yang dekat dengan hati belia sekarang yang kini lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris.
Gambar: Izzah Aqilah/BERITA Mediacorp
Semua usaha untuk menghasilkan zine ini turut dibiayai oleh Fadhli sendiri yang menganggap karya beliau sebagai perjuangan untuk mengetengahkan perspektif anak muda Melayu di Singapura.

"Saya rasa ia adalah satu sumbangan saya kepada masyarakat Melayu di Singapura," tambahnya lagi.

APA YANG DORONG FADHLI UNTUK HASILKAN "KULIHAT LAYU DALAM MELAYU?

"Ini adalah usaha saya untuk mengetengahkan perspektif belia tentang bahasa Melayu kerana kamilah guru, pendidik dan ibu bapa pada masa depan yang akan membawa legasi bahasa Melayu," ujar Fadhli.

"Buku ini adalah kempen saya sendiri untuk memberitahu orang ramai bahawa belia masih prihatin tentang bahasa Melayu," tambahnya lagi.

Anak muda berusia 24 tahun ini, mengatakan bahawa beliau memulakan proses menghasilkan zine ini dengan perasaan yang agak marah dengan satu komen di TikTok.

Komen berkenaan mengatakan bahawa bahasa Melayu adalah "bahasa ciplak dan tidak tulen".
 
Gambar: Izzah Aqilah/BERITA Mediacorp
"Jadi saya mula tulis dari segi kreatif dan juga ilmiah untuk menerangkan kepada belia Melayu di Singapura tentang proses di sebalik pengistilahan bahasa Melayu," jelas Fadhli.

KERJASAMA DENGAN ANAK MUDA LAIN DARI NUSANTARA

Zine 'Kulihat Layu dalam Melayu' yang ditulis oleh Fadhli ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada beberapa bakat seni bukan sahaja dari Singapura tapi nusantara.

"Selepas menulis sajak, komik dan prosa, saya mendapatkan teman-teman saya untuk menyemak karya-karya saya," katanya.

Selain itu, beliau turut meraih kerjasama dengan pelbagai pelukis, penulis dan pengatur huruf dari Malaysia dan Singapura untuk menghasilkan ilustrasi serta menyunting karyanya.

Maka terhasillah 'zine' Fadhli yang dianggapnya sebagai gabungan kreatif golongan muda di nusantara.

Antara cabaran yang Fadhli hadapi adalah untuk memastikan kandungannya seimbang dan tidak begitu berat atau ringan.

"Oleh itu, saya memastikan untuk mendapatkan maklum balas daripada kawan-kawan saya untuk memastikan ia boleh diakses golongan muda," kata Fadhli.

PERJALANAN FADHLI SEBAGAI PENULIS MUDA

Fadhli mula menulis sewaktu di maktab rendah pada usia 17 tahun untuk merakamkan luahan dan perasaannya di sekolah.

Sewaktu beliau menjalani Perkhidmatan Negara (NS), menulis setiap hari merupakan rutin baginya untuk mendokumentasikan apa yang beliau lalui.
TERBITKAN BUKU PERTAMA "DI LUAR JENDELA" PADA USIA 21 TAHUN

Anak muda ini juga menerbitkan buku pertamanya "Di Luar Jendela" pada usia 21 tahun.
Ia merupakan buku puisi dan sajak yang menceritakan pengalamannya di NS.

Sekitar 100 nashkah berjaya dijual.

Pada tahun 2022 pula, Fadhli memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Puisi Nasional dan ini menjadi pencetus semangat baginya untuk terus berkarya.

GABUNGKAN MINAT DENGAN MASA LAPANG

Ditanyakan bagaimana beliau mengimbangi masa antara sekolah dan juga minatnya untuk berkarya, Fadhli menganggap waktu yang diluangkan untuk menulis itu sebagai masa untuk beliau berehat.

"Apabila saya ada masa lapang, saya akan menggunakan masa itu untuk menulis dan menerbitkan pos dalam bahasa Melayu di Instagram," kata Fadhli, yang juga aktif menghasilkan kandungan berkait penggunaan bahasa Melayu di Singapura di media sosialnya.
Oleh itu, anak muda ini berpendapat bahawa ia penting untuk menggabungkan minat dengan cara kita gunakan masa lapang.

Fadhli kini mahu mengambil masa untuk mengasah lagi kemahirannya dalam bidang penulisan untuk memastikan beliau dapat terus berkembang sebagai penulis yang matang.

Zine Fadhli 'Kulihat Layu dalam Melayu' boleh didapatkan di kedai buku Nurul Anwar Bookstore.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan