Muhammad Ridwan Mustafa genggam ijazah sarjana pada usia 46 tahun

BERITAmediacorp: Saya membesar dalam sebuah flat HDB empat bilik bersama keluarga 13 anggota. Ini termasuk ibu bapa, tiga saudara lebih tua daripada saya dan tujuh orang adik.
Bapa saya bekerja sebagai pengurus Sumber Manusia (HR) manakala ibu saya seorang surirumah sepenuh masa.
.jpg)
Saya tamat sekolah peringkat rendah dan menengah dengan gred yang cukup-cukup makan. Saya sentiasa berasa saya mengecewakan ibu bapa saya setiap kali saya menerima keputusan sekolah.
Saya menghabiskan tujuh tahun di sekolah rendah kerana saya ditempatkan dalam aliran 'dilanjutkan'. Saya kemudian menghabiskan masa lagi lima tahun di sekolah menengah dalam aliran 'Normal'.
Oleh kerana saya tidak mencatat prestasi yang baik semasa peperiksaan peringkat O - hanya dua kredit bagi peperiksaan itu - saya kemudian meneruskan pembelajaran di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Dover dan memperoleh kelulusan NiTEC Lanjutan dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.
Selepas ITE, saya menyertai Perkhidmatan Negara (NS) dan pada penghujung khidmat saya, saya mula berasa bimbang tentang masa depan saya. Saya memutuskan bahawa saya perlu mempertingkat pendidikan saya dan berfikir panjang mengenainya.
Saya juga berbincang dengan bapa saya. Pada waktu itu, bapa saya hampir bersara tetapi beliau bersetuju untuk membiayai pendidikan saya dan yang paling penting amat menyokong keputusan saya untuk melanjutkan pengajian.
Saya kemudian berdaftar dengan Politeknik Singapura (SP) dan memulakan pengajian Diploma dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, sambil meneruskan bulan-bulan terakhir NS.
Memandangkan bapa saya hampir bersara dan dengan tekad untuk tidak membebankan keluarga dari segi kewangan, saya mula bekerja sambilan sebagai penghantar makanan.
Pekerjaan sambilan saya dilakukan sepanjang hujung minggu dan disebabkan saya mempunyai sebuah keluarga yang besar, saya perlu merancang jadual pembelajaran saya.
Saya akan habiskan masa dari tengah malam sehingga sekitar pukul 3.00 pagi, apabila keadaan rumah sunyi, untuk mengulang kaji pelajaran, menghabiskan tugasan sekolah dan apa sahaja berkaitan sekolah.
Yang mengejutkan saya adalah kali ini prestasi pelajaran saya jauh lebih baik berbanding dulu.
Saya meraih keputusan A dalam 13 daripada 40 modul di politeknik. Saya juga memenangi Anugerah Emas daripada SP dan Anugerah Perak daripada Institut Jurutera, Singapura (IES) bagi projek tahun akhir saya.
Bagi saya, ini satu pencapaian besar apabila difikirkan sejauh mana saya bergelut dengan pelajaran dahulu.
Para pensyarah politeknik saya yang tahu tentang latar belakang dan kesukaran yang saya lalui, seringkali memuji saya dan menyebut nama saya sebagai peran contoh untuk mendorong para penuntut lain.
Selepas tamat pengajian di SP pada 2003, saya memulakan kerjaya dalam sebuah syarikat pengilangan cakera keras. Saya bekerja syif malam sebagai Penolong Kejuruteraan bagi Analisis Kegagalan. Dalam tempoh tiga atau empat bulan, para penyelia saya menyedari bahawa saya menunjukkan keupayaan baik dalam menguruskan kakitangan dan memberi saya peranan sebagai Penolong Pengeluaran Kejuruteraan (Line Engineering), di mana saya menguruskan dua pengeluaran pengilangan dan lapan teknisyen. Dalam tempoh setahun bertugas syif malam, timbul keinginan untuk sekali lagi melanjutkan pengajian.
Saya mendapati bahawa saya layak bagi kemasukan ke Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Di tahap ini, ramai yang menentang keputusan saya untuk sambung belajar memandangkan bapa saya, satu-satu pencari nafkah keluarga, sudah bersara.
Sekali lagi, saya berbincang dengan bapa, yang amat percaya kepada usaha untuk terus belajar dan pembelajaran sepanjang hayat.
Bapa saya menggesa saya supaya meneruskan rancangan saya. Bezanya kali ini, bapa saya tidak dapat menyokong dari segi kewangan. Dengan tekad saya yang bulat bahawa meraih ijazah adalah langkah yang betul untuk diri saya, saya mendaftarkan diri bagi kursus tersebut dan memulakan pengajian sambilan lima tahun dengan NTU.
Pada waktu itu, saya juga mengadakan perbincangan dengan Jurutera saya dan dipindahkan ke peranan syif siang hari sebagai Pelatih Pengeluaran supaya saya boleh mengikuti kelas, yang diadakan pada sebelah malam. Dalam tempoh dua tahun, saya dinaikkan pangkat kepada Pegawai Latihan, menguruskan lima pelatih.
Semasa perubahan dalam syarikat, saya dipilih untuk berada dalam pasukan HR sebagai Pegawai Latihan Korporat, menguruskan dua Pelatih Korporat.
Perjalanan saya dengan NTU adalah cabaran yang sangat besar. Seringkali saya bergelut dari segi kewangan dan juga mental. Ini kerana kelas saya diadakan dari pukul 7.00 malam hingga pukul 10.00 malam setiap hari. Semasa tempoh tersebut, saya mengambil cuti belajar selama setahun kerana saya tidak dapat menangani yuran tuisyen dan tanggungjawab yang besar menanggung keluarga.
Pada 2008, saya berkahwin dan dengan sokongan utuh isteri saya, saya dapat menyambung pengajian. Isteri saya merupakan satu-satunya sebab mengapa saya berjaya menamatkan pengajian. Isteri saya menyokong saya dari segi mental dengan menguruskan semua isu-isu di rumah supaya saya dapat menumpukan perhatian kepada pengajian saya.
Pada waktu itu juga, saya dikurniakan anak pertama - seorang putera. Dari segi kewangan, saya memutuskan untuk mendapatkan pinjaman pembelajaran daripada bank. Ini membantu memberikan sedikit kelegaan dari segi kewangan. Saya kemudian tamat pengajian dan berjaya menggengam Ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari NTU pada 2012.
Pada 2012, saya menyertai Alcon Manufacturing & Logistics Pte Ltd sebagai Eksekutif Kanan Pembelajaran dan Pembangunan. Saya memainkan peranan sebagai Rakan Pembangunan Sumber Manusia (HRBP) pada 2017 dan dinaikkan pangkat untuk memimpin HRBP pada 2022.
Sepuluh tahun kemudian pada 2022, saya sekali lagi mendapat inspirasi untuk melanjutkan pengajian dan memutuskan untuk mengejar Ijazah Sarjana. Selepas membuat pertimbangan teliti, saya memutuskan untuk mengambil Ijazah Sarjana dalam program Pentadbiran Perniagaan yang ditawarkan oleh rakan universiti Kaplan Singapore, iaitu Universiti Murdoch.

Saya rasa program itu sesuai untuk saya, bahawa ijazah sarjana itu diiktiraf dan institusinya ada reputasi yang baik. Saya juga beruntung kerana syarikat saya membiayai pembelajaran saya kali ini.
Meskipun dari segi kewangan sudah ada yang membiayainya, saya perlu mengatasi cabaran peribadi semasa pengajian apabila bapa saya didiagnosis dengan angin ahmar mata sebelum terjejas oleh hernia dan kemudian barah usus besar.
Sekali lagi, isteri saya menjadi tunggak kekuatan dan motivasi diri saya sepanjang tempoh tersebut. Beliau membantu memastikan semuanya dijaga dan diuruskan dengan baik supaya saya boleh tumpukan kepada pengajian saya, dan tugas saya.
Beliau sudah banyak berkorban dan menguruskan banyak perkara sendirian. Semua ini tidak akan saya kecapi tanpa isteri saya.
MENGENAI PENULIS:
Muhammad Ridwan Bin Mustafa, 46 tahun, merupakan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Murdoch di Institusi Kaplan Singapore.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.