Muhammad Nur Amsyar simpan hasrat wakili SG di Paralimpik LA 2028
(Gambar: Aqil Ezat)
Dan penuntut tahun kedua Politeknik Republic (RP) ini tidak segan berkongsi sasarannya untuk layak mewakili Singapura di temasya Sukan Paralimpik yang akan berlangsung di Los Angeles pada 2028.
Bahkan Amsyar, 21 tahun memberitahu beliau akan terus bekerja keras bagi memastikan impiannya tercapai selepas berjaya meraih dua pingat perak di Kejohanan Berbasikal Para Asia di Thailand pada Februari lalu.
Lebih membanggakan, kejayaannya itu dicapai di samping kegigihan beliau untuk mengimbangi pelajaran di RP.
BERBASIKAL PARA SEJAK 9 TAHUN
Dilahirkan dengan keadaan 'spina bifida' atau tulang belakang terbelah, penuntut diploma bidang teknologi maklumat ini mula menyertai Persekutuan Berbasikal Para Singapura (PCFS) pada usia sembilan tahun, atas dorongan ibunya.
"Masa itu, ibu bapa saya sedang mencarikan aktiviti untuk saya lakukan pada masa lapang saya. Ibu saya telah mendapatkan maklumat tentang berbasikal para daripada sebuah artikel. Daripada artikel itu, dia mendapatkan informasi tentang tempat berlatih dan pengendalinya," kongsi Amsyar kepada Nadi Kampus.
Bapanya kini menyumbang tenaga sebagai seorang sukarelawan di PCFS, dengan membantu memperbaiki basikal atlet.
SASAR BERTANDING DI PARALIMPIK LA 2028
Amsyar sudah mewakili Singapura dalam pelbagai pertandingan tempatan dan di luar negara sejak tujuh tahun lalu.
Jadualnya padat dengan latihan hampir setiap hari.
"Adakalanya saya akan balik lambat disebabkan sekolah dan saya harus berlatih. Jika saya ada masalah untuk mengimbangi waktu, saya akan memberitahu jurulatih dan dia akan pendekkan masa latihan saya," kongsi Amsyar.
Kini, Amsyar menetapkan sasaran lebih tinggi untuk bertanding dalam Paralimpik Los Angeles 2028.
"Saya perlu mendapatkan keputusan yang baik dan raih mata untuk ambil bahagian dalam Paralimpik," kata Amsyar.
GALAK GOLONGAN KURANG UPAYA BERSUKAN, TINGKAT YAKIN DIRI
Amsyar tidak menafikan harga untuk sukan berbasikal para tidaklah murah.
"Saya sudah menghabiskan ribuan dolar untuk beli basikal.
Macam basikal saya ini, harganya sekitar S$13,000 hingga S$15,000, dan ia diimport dari Amerika Syarikat", kongsinya dengan wartawan.
Namun, ganjaran yang beliau perolehi tidak ternilai harganya.
"Sukan ini telah meningkatkan keyakinan diri saya.
"Berbasikal para mengajar saya bahawa orang kurang upaya tidak semestinya lemah, dan orang kurang upaya mungkin nampak lemah daripada segi luaran, tetapi mereka ada bakat tersendiri," ujar Amsyar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.