Skip to main content

Nadi Kampus

MRT Cantonment jadi 'runway' fesyen buat graduan LASALLE Ahmad Hanif dan Nurul Izza

Anggaran Waktu Membaca:
MRT Cantonment jadi 'runway' fesyen buat graduan LASALLE Ahmad Hanif dan Nurul Izza

Rekaan daripada koleksi ModestScape oleh Nurul Izza Rahmat (kiri) dan SILENT PIROUETTE oleh Ahmad Hanif Ahmad Jamal (kanan) dipersembahkan semasa pertunjukan fesyen LASALLE di Stesen MRT Cantonment. (Gambar: Maktab Seni LASALLE)

SINGAPURA: Stesen MRT Cantonment bertukar menjadi pentas peragaan fesyen apabila 14 graduan program Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Rekaan Fesyen dan Tekstil Maktab Seni LASALLE mempersembahkan koleksi masing-masing pada Khamis (14 Mei).

Pertunjukan fesyen luar biasa itu menghimpunkan penggiat industri fesyen serta tetamu jemputan bagi meraikan bakat pereka muda tempatan.

Antara graduan yang mencuri perhatian ialah Ahmad Hanif Ahmad Jamal dan Nurul Izza Rahmat, yang masing-masing mengetengahkan koleksi berteraskan budaya, identiti dan ekspresi diri menerusi pendekatan kreatif yang berbeza.

Related article image
Pentas peragaan fesyen di MRT Cantonment. (Gambar: Maktab Seni LASALLE)

KOLEKSI MODESTSCAPE ANGKAT FESYEN SOPAN KONTEMPORARI

Berbeza daripada pertunjukan fesyen konvensional, penggunaan stesen MRT sebagai lokasi 'runway' memberikan pengalaman baharu di Singapura.

Lebih-lebih lagi apabila para pereka muda itu hanya dimaklumkan mengenai lokasi pertunjukan unik tersebut seminggu sebelum acara berlangsung.

“Pada mulanya saya sangat terkejut kerana konsepnya agak luar biasa tetapi selepas melihat ruang tersebut, saya rasa ia sangat unik dan menarik kerana fesyen dibawa lebih dekat kepada masyarakat dalam ruang awam,” kata Nurul Izza.

Related article image
Nurul Izza bersama salah satu rekaannya yang dipersembahkan semasa pertunjukan fesyen di Stesen MRT Cantonment. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

Menerusi koleksinya bertajuk ModestScape, Nurul Izza, 24 tahun, menggabungkan elemen fesyen sopan moden dengan pendekatan reka bentuk kontemporari.

Menariknya, beliau merupakan satu-satunya pelajar berhijab dalam kohortnya, sekali gus menjadikan koleksi tersebut lebih dekat dengan identiti serta pengalaman peribadinya sendiri.

Koleksi itu menampilkan enam penampilan berbeza yang mengetengahkan permainan fabrik, lipatan dan siluet berstruktur yang diilhamkan daripada pemandangan alam.

“Hijab bukan sekadar membingkai wajah, tetapi juga identiti. Melalui ModestScape, saya ingin menunjukkan bahawa 'modestwear' tidak terhad dan boleh bergerak seiring dengan fesyen moden, inovasi dan ekspresi diri sambil tetap menghormati nilai budaya dan agama,” kongsi beliau.

Related article image
Salah satu daripada enam rekaan dalam koleksi ModestScape hasil ciptaan Nurul Izza yang dipersembahkan. (Gambar: Maktab Seni LASALLE)

Nurul Izza turut melahirkan rasa bangga apabila melihat rekaannya dipersembahkan di pentas peragaan tersebut.

“Saya rasa sangat terharu melihat rekaan saya dipersembahkan di 'runway'. Ia satu pengalaman yang sangat bermakna kerana saya dapat mewakili masyarakat saya dan memperkenalkan konsep ‘modest fashion’ dalam ruang yang lebih kontemporari,” tambah Izza.

Selepas menamatkan pengajiannya, beliau berharap dapat terus meneroka bidang fesyen sopan serta mengembangkan jenama fesyennya sendiri.

Related article image
Ahmad Hanif Ahmad Jamal bersama rekaannya yang kini dipamerkan di Pameran Tamat Pengajian Tahunan LASALLE di kampus McNally Maktab Seni LASALLE. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

SILENT PIROUETTE TEROKA TEMA IDENTITI & EKSPRESI DIRI

Graduan dalam kohort yang sama, Ahmad Hanif Ahmad Jamal pula mengetengahkan koleksi SILENT PIROUETTE. 

Koleksinya itu diilhamkan daripada impian zaman kanak-kanaknya untuk menjadi penari balet namun tidak berpeluang merealisasikannya.

“Tema utama koleksi ini ialah penerokaan identiti dan ekspresi ‘gender’ melalui dunia balet. Rekaan ini mencabar persepsi tradisional terhadap maskuliniti dan femininiti dengan menampilkan elemen kelembutan, keanggunan dan emosi melalui siluet pakaian lelaki serta eksperimen tekstil,” kongsi Hanif.

Related article image
Salah satu rekaan daripada koleksi SILENT PIROUETTE semasa pertunjukan fesyen LASALLE di Stesen MRT Cantonment. (Gambar: Maktab Seni LASALLE)

Bagi menghidupkan naratif koleksinya, Hanif turut menghasilkan perincian manik secara teliti pada beberapa helaian pakaian, dengan proses menyiapkannya mengambil masa beberapa minggu.

Selepas tamat pengajian, Ahmad Hanif berharap dapat terus mengembangkan koleksi tersebut sambil meneroka lebih banyak peluang dalam industri fesyen dan tekstil.

Beliau juga mahu terus mencabar batas kreativiti menerusi inovasi tekstil serta membina identitinya sendiri sebagai seorang pereka fesyen tekstil.

Orang ramai boleh melihat hasil rekaan Ahmad Hanif, Nurul Izza serta graduan lain menerusi Pameran Tamat Pengajian Tahunan LASALLE yang berlangsung hingga 3 Jun di kampus McNally Maktab Seni LASALLE.

Sumber : BERITA Mediacorp/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita