Skip to main content

Nadi Kampus

Minat dari sekolah menengah, Suhaila Abdul Halim akhirnya genggam ijazah bidang kriminologi

Anggaran Waktu Membaca:
Minat dari sekolah menengah, Suhaila Abdul Halim akhirnya genggam ijazah bidang kriminologi

Suhaila Abdul Halim genggam ijazah bidang kriminologi dan undang-undang perniagaan. (Gambar: Universiti Murdoch)

SINGAPURA: Minat saya dalam bidang kriminologi bermula sejak zaman sekolah menengah lagi dan sentiasa berada di dalam fikiran saya.

Selepas tamat pengajian di sekolah menengah, saya memulakan perjalanan untuk meneruskan pengajian dalam bidang pelayanan dan pelancongan, bidang yang juga saya minati.

Malangnya, perjalanan politeknik saya sama waktu dengan pandemik COVID-19 apabila industri pelancongan terjejas teruk dan secara negatif.

Keadaan yang tidak dijangka ini membuatkan saya terfikir sama ada saya harus mengubah hala tuju saya ke arah bidang pengajian Kriminologi, minat awal saya.

Pada mulanya, saya rasa bimbang kerana saya tertanya-tanya sama ada masa yang saya luangkan untuk mendapatkan diploma ternyata sia-sia sahaja. Walaubagaimanapun, selepas pertimbangan yang teliti, saya menyedari bahawa saya mungkin akan menyesal jika saya tidak meneruskan pengajian dalam bidang yang menarik minat saya.

Oleh itu, saya pun mula mencari program pengajian Kriminologi di Singapura, dan hasil usaha saya itu membawa saya ke Kaplan Singapore. Selepas kajian lanjut, saya mendapati bahawa Kaplan Singapore menawarkan program Kriminologi dari Universiti Murdoch, dan juga merupakan institusi yang diiktiraf.

Selain itu, saya juga mendapati bahawa mereka menawarkan jurusan berganda. Ini mendorong saya untuk memohon bagi menyertai program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan 2 jurusan - Undang-undang Perniagaan dan Kriminologi.

Minat saya dalam Undang-Undang Perniagaan bermula sejak saya di politeknik ketika kami dikehendaki mengambil modul Undang-Undang Perniagaan dalam tahun kedua. Saya sangat teruja bila saya diterima untuk memulai pengajian di Universiti Murdoch pada Januari 2022.

Tentu saja, perjalanan saya untuk mendapatkan ijazah tidak datang tanpa cabaran. Semester awal dijalankan secara online, yang menghadkan kemampuan dan peluang saya untuk berinteraksi dengan rakan sekelas dan mengenali mereka dengan lebih baik.

Ini terbukti menjadi halangan apabila saya perlu bertanya soalan kerana saya tidak mempunyai nombor telefon rakan sekelas saya. Selain itu, kerana ini adalah kali pertama saya mengambil ijazah sarjana muda, saya tidak dapat menjangkakan waktu yang diperlukan untuk tugasan dan mepersiapkan diri untuk peperiksaan.

Untungnya, apabila keadaan COVID bertambah baik, kelas kami beralih ke kelas fizikal, dan saya berjaya bertemu rakan sekelas saya. Saya menjalinkan persahabatan dan akhirnya menjadi rapat dengan beberapa orang.

Cabaran lain yang saya hadapi semasa perjalanan saya adalah tempoh masa yang singkat untuk banyak tugasan. Selama setahun setengah, saya tidak dapat hadiri banyak majlis keluarga dan kawan-kawan kerana saya perlu menyiapkan tugasan dan belajar untuk peperiksaan. Untungnya, mereka faham dengan keadaan saya dan memberi saua sokongan dan dorongan yang membantu saya berjaya mendapat markah yang baik untuk semua modul saya.

Di sebalik cabaran, terdapat juga beberapa kenangan sepanjang perjalanan saya. Pertama sekali, walaupun pada awalnya saya risau yang saya tidak akan dapat berkawan, saya berjaya menjalin persahabatan rapat dengan seorang rakan sekelas yang berkongsi minat saya. Kami pernah menghadiri konsert bersama-sama!

Selain itu, kerana pensyarah kami memiliki pengalaman bertahun-tahun dalam bidang ini, beliau berkongsi cerita-cerita yang meninggalkan kesan mendalam pada saya. Terdapat juga beberapa topik yang mendedahkan isu-isu dunia sebenar, seperti penyeludupan migran dan perdagangan manusia, yang saya memang tahu wujud tetapi tidak pernah menyedari berapa seriusnya isu tersebut.

Perjalanan pendidikan saya mencapai kemuncak tahun ini dengan majlis konvokesyen pada bulan Oktober, di mana saya diisytihar sebagai Valedictorian.

Ternyata malam-malam yang saya korbankan demi untuk mengerjakan tugasan berbaloi.

Kaplan Singapore telah membolehkan saya meneruskan minat saya, dan saya amat berterima kasih kepada semua pensyarah dan kakitangan yang memenuhi keperluan saya dengan segera dan berkesan. Saya percaya bahawa ijazah ini akan membawa saya ke tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya saya.

Jika anda sedang mempertimbangkan sama ada anda sepatutnya melanjutkan pengajian, saya dengan sepenuh hati menggalakkan anda untuk mengambil langkah pertama itu kerana permulaan adalah separuh cabaran.

Jika anda bimbang anda mungkin menyesal mengambil ijazah, sedarlah bahawa ia lebih baik untuk menyesali sesuatu yang telah anda cuba daripada menyesali sesuatu yang anda tidak lakukan.

Ilmu tidak mengenal sempadan. Jangan biarkan usia atau kebimbangan menghalang anda daripada melanjutkan pengajian anda.

MENGENAI PENULIS:
Suhaila Binte Abdul Halim, 22 tahun, lulusan Kaplan Singapore, Universiti Murdoch jurusan
Undang-Undang Perniagaan dan Kriminologi.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita