Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Minat berputik semasa jalani NS, Haiqal Latif kini genggam ijazah sarjana bidang kaunseling

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Saya dibesarkan dalam keluarga besar. Arwah bapa saya merupakan pencari nafkah tunggal, dan kami mempunyai enam adik beradik.

Menariknya, kita semua mempunyai personaliti yang sangat berbeza. Kami kadang-kadang akan bergaduh oleh kerana perbezaan ini. Namun begitu, kita semua berkongsi nilai yang sama.

Nilai-nilai yang ditanamkan oleh arwah ayah dalam diri kami iaitu pentingnya bersatu hati demi kepentingan bersama sebagai sebuah keluarga.

Ibu bapa saya tidak berpendidikan, jadi mereka tidak mampu membantu saya untuk pendidikan saya. Tetapi satu perkara yang mereka lakukan yang membantu saya ialah membenarkan saya melakukan kesilapan. Dari situ, saya belajar perkara yang perlu dilakukan dan, yang paling penting, perkara yang tidak boleh dilakukan.

NILAI, AKHLAK ADALAH UTAMA

Tidak seperti keluarga lain, pendidikan tidak menjadi keutamaan kami. Ibu bapa saya menekankan pentingnya menjadi manusia yang baik dengan nilai, akhlak dan tingkah laku yang baik. Bagi mereka, pendidikan tidak bermakna jika anda bukan orang yang baik untuk keluarga dan orang lain.

Saya berbangga bahawa kami semua telah berjaya dalam bidang masing-masing dan nilai yang sama tetap diterapkan kepada anak-anak saudara saya. Tapi kini, nilai ini digandingkan dengan nilai kepentingan pendidikan.

Saya dididik di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah selama 10 tahun dari Darjah 1 hingga Menengah 4. Sewaktu saya di sana, saya bertemu dengan ramai guru dan mendapat ramai kawan yang sungguh menggalakkan yang membantu saya sepanjang waktu saya berada di sana.

PERNAH LULUS MATEMATIK SEKALI SAHAJA

Saya bukanlah pelajar yang bijak, tetapi saya dapat merasakan bahawa cara saya berfikir dan bertindak berbeza daripada murid-murid yang lain. Kesedaran ini bukanlah baik atau buruk - hanya satu kesedaran saja.

Pada ketika itu, saya tidak dapat menghargai perbezaan dan meraikan kelebihan masing-masing.

Saya sungguh lemah dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Kalau tidak salah, saya hanya pernah lulus mata pelajaran matematik sekali sahaja, dan itu pun pada Menengah 1, berkat pertolongan guru matematik saya.

Saya lulus untuk subjek Bahasa Arab, tetapi tidak cukup bagus untuk melanjutkan pelajaran. Dari dulu lagi, saya berminat untuk menjadi Ustaz supaya saya dapat bekerja di Madrasah Wak Tanjong untuk menyumbang semula kepada sekolah saya.

Namun, saya tidak berjaya berbuat demikian kerana saya gagal dalam peperiksaan tahun akhir.

Oleh kerana saya tidak mempunyai mentor, saya tidak tahu bahawa saya boleh mengambil semula peperiksaan saya pada waktu itu. Oleh kerana itu, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran saya ke ITE.

KEJUTAN BUDAYA DI ITE

Waktu saya berada di ITE selama dua tahun saya berjaya dalam pelajaran saya. Walaupun saya bertemu dengan ramai orang yang hebat, berada di ITE merupakan kejutan budaya bagi saya.

Bayangkan anda seorang pelajar Madrasah yang kebanyakannya berbahasa Melayu dan tiba-tiba mendapati diri anda berada dalam persekitaran di mana orang berbahasa Inggeris dan anda perlu belajar bagaimana untuk bekerja dengan orang yang berlainan bangsa dan kepercayaan. Ia sememangnya satu 'learning curve' yang amat curam dan satu lonjakan besar bagi saya.

Selepas tamat pengajian, saya terpaksa memilih sama ada mahu menyambung pelajaran di Politeknik atau mendaftar masuk ke Perkhidmatan Negara.

Saya memilih yang kedua kerana saya merasakan bahawa saya perlu membetulkan tingkah laku dan sikap saya kerana saya masih belum cukup bersedia.

MINAT BIDANG KAUNSELING SEMASA JALANI NS

Dua tahun dalam Perkhidmatan Negara telah mengajar saya lebih banyak tentang kehidupan dan diri saya berbanding 18 tahun sebelum itu.
Gambar: Haiqal Latif
Sewaktu ni NS, saya mula berminat dalam bidang kaunseling kerana saya cukup bernasib baik untuk menjadi Sarjan dan membantu anak buah saya melalui perjuangan dan cabaran mereka untuk menyelesaikan NS.

Saya masih ingat satu perkara yang dikatakan oleh salah seorang anak buah saya kepada saya selepas perarakan ORD. "Terima kasih untuk segala-galanya, Sarjan. Awak banyak membantu saya."

Perasaan bahawa saya dapat membantu seseorang dan membuat perubahan dalam hidup mereka membuatkan saya bertekad untuk mengikuti kursus kaunseling.

KINI GENGGAM DIPLOMA, IJAZAH SARJANA & SEDANG KEJAR SARJANA

Setelah melalui perjalanan saya yang banyak simpang siurnya selama 12 tahun, kini saya telah menamatkan Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana (sedang berlangsung) di Kaplan Singapore.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kaplan kerana memberikan peluang kedua kepada pelajar seperti saya untuk mengejar impian mereka.
 
Cabaran dan halangan yang saya lalui sangat berharga. Saya belajar tentang disiplin di Madrasah kerana kami mempunyai 10 hingga 13 subjek, saya belajar bagaimana untuk bekerja dengan pelajar berbangsa dan berkepercayaan lain di ITE, dan pentingnya tidak takut melakukan kesilapan daripada keluarga saya.
Gambar: Haiqal Latif
Saya rasa tidak dapat kecapi tahap ini tanpa dorongan isteri saya, Nur Sabrina Chua, keluarga saya, pensyarah saya, rakan sekelas saya, dan beberapa orang penting seperti Sa'adah Bte Tuman, Mohamed Fareez Bin Mohamed Fahmy, Norsalha Mohamad, Lavania Maria Rajasuria, dan Yeow Ming Zhen yang memberikan saya peluang untuk memasuki sektor ini dan teruskan membimbing saya hingga hari ini. Terima kasih semua kerana membakar semangat saya selama ini!

MENGENAI PENULIS:
Haiqal Bin Latif, 28 tahun, merupakan lulusan Kaplan Singapore dan Universiti Northumbria, jurusan Bimbingan dan Kaunseling.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan