Meski hidap kencing manis sejak usia 10 tahun; Nur Shazana 14 tahun tekun belajar & bertekad dalami bidang media di politeknik
Acara tersebut bermatlamat untuk mengumpul sebanyak S$400,000 bagi membantu kanak-kanak berpenyakit kronik.
Dana yang dikumpul itu akan digunakan untuk menghulurkan bantuan kewangan dan menampung kos terapi dan perubatan serta membiayai yuran pendidikan bagi keluarga-keluarga berpendapatan rendah.
Salah sebuah keluarga yang mendapat bantuan Club Rainbow ialah suri rumah Cik Azlina Jamil, 43 tahun.
Anaknya, Nur Shazana Aliyah Laiqa Muhammad, 14 tahun, menghidap penyakit kencing manis Jenis 2 sejak berusia 10 tahun.
Pelajar Menengah 2 Sekolah Geylang Methodist (Menengah) itu menerima bantuan perubatan dan barang-barang keperluan daripada Club Rainbow.
“Apabila Shazana berada di sekolah rendah, kami masih belum tahu dia menghidap penyakit ini. Jadi gurunya memberitahu saya bahawa Shazana sering berasa mengantuk dan bertanya sama ada dia mendapatkan tidur yang secukupnya di rumah,” kata Cik Azlina.
“Jadi kami berjumpa doktor dan barulah dapat tahu bahawa ia adalah salah satu kesan daripada penyakit kencing manis”, tambahnya.
Bantuan yang dihulurkan oleh Club Rainbow sejak empat tahun lalu sangat membantu menampung kos perubatan dan keperluan lain.
“Saya seorang suri rumah dan suami saya bekerja secara ‘ad hoc’, jadi bantuan saya terima daripada Club Rainbow sejak empat tahun lalu sangat membantu,” kata Cik Azlina.
Bagi Shazana pula, penyakit tersebut tidak menghalangnya untuk mengejar cita-citanya mendalami bidang media.
“Pihak sekolah sangat membantu, terutama guru saya. Mereka tahu keadaan saya dan sering bertanya sama ada saya sudah mengambil ubat atau tidak,” kata Shazana, yang menyertai kelab fotografi sebagai aktiviti kokurikulum di sekolahnya.
Untuk mengasah kemahirannya dalam bidang media, Shazana menyertai kursus pemasaran digital yang ditawarkan oleh Club Rainbow.
“Saya ingin melanjutkan pendidikan saya ke politeknik. Dengan kemahiran yang saya raih daripada kursus ini, saya berharap untuk menyertai kursus yang sesuai dengan kemahiran dan minat saya,” kata Shazana.
Program pembangunan kejuruan yang ditawarkan oleh Club Rainbow bermatlamat untuk melengkapi golongan belia dari usia 13 hingga 20 tahun dengan kemahiran relevan supaya mereka lebih bersedia memasuki dunia pekerjaan.
“Pada peringkat usia ini, golongan belia mencari bidang yang menarik perhatian mereka, sama ada ia dapat mendorong mereka untuk melanjutkannya sebagai satu kerjaya atau tidak,” kata Geraldine Tan, Eksekutif Kanan Jabatan Pendampingan Masyarakat Club Rainbow.
Pelbagai kursus ditawarkan kepada para penjaga dan belia supaya mereka dapat merangsang minat dan menimba kemahiran baharu sambil mereka meluangkan masa bersama, tambah Cik Tan.
BANTUAN CLUB RAINBOW RINGANKAN BEBAN KEWANGAN BESARKAN ANAK ISTIMEWA
Bagi keluarga Cik Anisah Hamid, 41 tahun, dia mempunyai anak lelaki berkeperluan khas, Aniq Mohamad Affian, 14 tahun. Aniq didiagnos mengalami autisme, kurang daya intelek dan epilepsi.
Club Rainbow menghulurkan bantuan dalam bentuk habuan makanan, lampin dan terapi bersubsidi, kata Cik Anisah, yang merupakan seorang suri rumah.
Dari segi perbelanjaan, keluarganya membelanjakan kira-kira S$800 seminggu bagi barang keperluan Aniq.
Sebelum ini, Aniq pernah menjalani terapi cara kerja secara privet, yang menelan belanja S$1,800 bagi 10 sesi.
Club Rainbow menawarkan terapi serupa pada harga S$100, dengan subsidi sebanyak 90 peratus dan Cik Anisah hanya perlu membayar S$10 sahaja.
Di sekolah, Aniq hanya belajar perkara asas seperti kemahiran kehidupan seharian, mengenali huruf dan nilai wang sebagai contoh.
“Aniq tidak dapat bertutur, dia tidak dapat sampaikan apa yang dia rasa dan dia tidak pandai uruskan dirinya sendiri,” tambahnya.
Meskipun Cik Anisah berdepan dengan pelbagai cabaran untuk membesarkan Aniq, ibu kepada lima orang anak itu berkata beliau kini lebih memahami anakya melalui gerak geri dan raut wajahnya.
“Orang ramai tidak akan faham keadaan kami, Aniq kelihatan seperti kanak-kanak biasa, tetapi mereka tidak faham mengapa dia masih perlu disuap, dipimpin tangan dan pelbagai lagi kelakuan lain yang dianggap tidak biasa,” kongsi Cik Anisah.
Menurut Cik Anisah, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Club Rainbow.
“Bukan mudah untuk menyertai aktiviti-aktiviti khusus buat golongan berkeperluan khas. Jadi bila Club Rainbow menganjurkan aktiviti beramai-ramai, saya sekeluarga akan membawa Aniq untuk menyertainya,” katanya.
“Apabila kami bersama dengan golongan berkeperluan khas, kami rasa seperti kami tidak dihakimi orang ramai. Kami rasa seperti kami semua adalah sebuah keluarga,” tambah Cik Anisah.
“Saya tidak akan membawa Aniq ke pawagam kerana sesetengah orang mungkin mempunyai prasangka buruk,” kata Cik Anisah.
Baginya, aktiviti-aktiviti tersebut memberinya peluang untuk meluangkan masa bersama keluarganya, terutama dengan Aniq.
Dengan acara mengumpul dana seperti ‘Ride and Walk for Rainbows’anjuran Club Rainbow, ia juga akan membantu para penerima bantuan dari segi kewangan dan Cik Anisah berharap lebih ramai anggota masyarakat akan menyertai acara murni itu.
Orang ramai juga boleh menderma kepada 'Ride and Ralk for Rainbows' menerusi pautan berikut: https://www.rideforrainbows.org/donate!0
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.