Melakar impian di sebalik stigma; kisah artis bebas Nurman Selamat menempa nama di SG
Nurman Selamat bersama sebahagian hasil karyanya.
SINGAPURA: "Jangan dekat dengan orang yang negatif. Kalau kita ingin cuba untuk jadi lebih baik, atau kita mahu mencapai impian kita, kita perlu jauhkan diri daripada orang-orang seperti ini."
Demikian pegangan hidup Mohd Nurman Selamat, 30 tahun, seorang artis bebas di Singapura yang tidak pernah berhenti berkarya walaupun berdepan cabaran besar dalam mengejar cita-citanya dalam bidang seni lukis.
Minat Nurman untuk melukis sudah terpateri sejak di bangku sekolah rendah lagi.
“Saya suka duduk tepi, tengok orang bercakap dan tangkap ekspresi muka mereka. Dari situ saya lukis,” kongsi Nurman kepada wartawan Fatyn Abdu Samad.
Minatnya itu bertahan hingga ke alam dewasa dan menjadi cara untuknya mengekspresikan perasaan melalui potret berunsur ekspresionisme yang kini menjadi identitinya.
Namun, perjalanan Nurman untuk menjadi artis bukanlah sesuatu yang mudah.
Beliau pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa di Politeknik Republic.
Ia satu laluan yang dilihat lebih stabil dan menjanjikan masa depan yang cerah.
Tetapi ketika menjalani Perkhidmatan Negara (NS), Nurman mula merenung kembali hala tuju hidupnya.
“Semasa NS, saya banyak masa untuk berfikir. Saya teringat impian asal saya ingin jadi seorang artis. Saya sedar saya tidak boleh terus abaikan minat sebenar saya,” jelasnya.
Sejak itu, Nurman nekad mengubah haluan hidupnya, kembali mengejar cita-cita asalnya untuk berkecimpung dalam dunia seni.
Namun ujian datang bersilih ganti. Untuk membiayai impiannya, Nurman terpaksa membuat pelbagai pekerjaan; dari pengawal keselamatan hingga menjadi pekerja pembersihan di kapal terbang.
“Saya buat apa sahaja kerja semata-mata hendak kumpul duit beli alat seni. Tak murah barang-barang tu,” jelasnya.
Kini, beliau mampu menyara hidupnya hasil daripada projek-projek seni yang dijalankan - sesuatu yang dahulunya hanya sebuah impian.
SUSAH DAPAT SOKONGAN
Pada awalnya, ibu bapa Nurman ragu-ragu dengan pilihannya untuk ceburi bidang seni lukis. Namun setelah melihat komitmen dan permintaan bagi hasil karya anak mereka itu, ia bertukar menjadi dorongan yang kuat.
Bagaimanapun, tidak semua kenalannya yang memberikan sokongan. Bahkan, satu peristiwa masih segar dalam ingatan Nurman.
Ketika baru berjinak-jinak dalam bidang lukisan, Nurman diberi peluang untuk mengadakan pameran di Perancis. Namun, ia terpaksa dibatalkan selepas ditegah seorang individu yang amat dihormatinya.
“Dia kata pameran itu tidak akan bawa saya ke mana-mana. Saya sangat hormatinya, tetapi kata-katanya itu betul-betul patahkan semangat saya,” kongsi Nurman.
Belajar daripada pengalamannya itu, Nurman kuatkan tekad untuk meluaskan karyanya ke luar negara termasuk ke Indonesia dan Eropah.
INSTAGRAM JADI GALERI LUKISAN
Dengan keterbatasan ruang fizikal, Nurman menggunakan Instagram sebagai galeri utamanya.
“Instagram ni macam nyawa untuk artis bebas macam saya. Dari situ lah orang mula nampak apa yang saya buat,” katanya.
Melalui media sosial juga, Nurman mula dikenali ramai. Tempahan bagi lakaran potretnya mula diterima, projek kolaborasi juga masuk seperti melukis siling rumah pelanggan di Malaysia.
“Saya tidur seminggu di rumah pelanggan tu. Mereka sediakan makan, tempat tinggal. Tak dibayar pun tak apa. Asalkan saya dapat buat kerja seni saya,” katanya tersenyum lebar mengimbau kembali pengalamannya itu.
PAMERAN AKAN DATANG
Nurman kini sedang membuat persiapan bagi salah satu projek terbesarnya setakat ini. Sebuah pameran pelbagai genre seni bersama artis dari Indonesia yang dijadual berlangsung November ini.
Pameran tersebut bakal menggabungkan lukisan, muzik dan pencahayaan bagi satu pengalaman seni yang imersif, dan dijangka menjadi antara kolaborasi paling bermakna dalam kerjayanya.
“Saya harap pameran ini buka lebih banyak pintu. Bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk semua artis bebas yang masih berjuang,” katanya penuh harapan.
PESANAN KEPADA BAKAT BAHARU
“Jangan biarkan suara negatif matikan semangat kamu. Kalau betul minat, teruskan. Mula dari hobi, dan percaya diri kamu,” pesan Norman.
“Akan ada yang suruh berhenti, akan ada yang tak faham. Tapi kalau kamu ikhlas, karya kamu akan sampai ke tempatnya satu hari nanti.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.