Mekar Semarak rai seni tarian dari Asia Tenggara
BERITAmediacorp: Mekar Semarak, berlangsung meriah, dengan 475 penonton menghadiri acara tersebut, pada Jumaat (2 Dis) dan Sabtu (3 Dis) di Pusat Budaya Republik Politeknik.
Acara tersebut dianjurkan oleh DIAN Dancers, iaitu sebuah pertubuhan bukan untung, yang aktif mempergiatkan seni tarian Melayu di Singapura.
Dengan cogan kata berbunyi “Raikan Nusantara”, Mekar Semarak menampilkan pelbagai jenis bentuk tarian dari Asia Tenggara. Para penonton dihiburkan dengan repertoir tarian Melayu, yang diberi nafas baru daripada DIAN Dancers, di samping tarian-tarian dari pelbagai bahagian di kepulauan Melayu-Indonesia seperti Rantoyo Jawa Tengah, Tari Merak Jawa Barat, Ronggeng Melayu Malaya dan tarian Kenyah serta orang Iban di Sarawak.
Tarian-tarian yang dipersembahkan dihasilkan oleh para pengasas dan pereka tari DIAN Dancers, serta pereka tari jemputan lain, termasuk Lyn Hanis Rezuan, Wefi Sofianah dan Muhd Aryandi Ahmad.
Selain DIAN Dancers, acara tersebut turut dimeriahkan lagi dengan persembahan-persembahan daripada kumpulan-kumpulan tarian tempatan seperti Atrika Dance Company, Perkumpulan Seni, Mak-Mak Menari, dan Wefi Dancers.
Malah, para penari seberang tambak dari Universiti Malaya (UM) turut menghiburkan para penonton dengan persembahan tarian mereka.
Yang pasti, pentas tersebut menyediakan peluang untuk para penari saling bertukar-tukar ilmu dan berkongsi pengalaman dalam mereka menjayakan acara tersebut, terutama sekali bagi para penari muda dari Institusi Pengajian Tinggi (IHL).
Kumpulan kompang tempatan, Rehlah Nayyla turut diundang untuk menggubah lagu bagi mengiringi persembahan ‘Ronggeng Melayu’, yang melabuhkan tirai acara Mekar Semarak.
Berikut adalah beberapa gambar yang dipetik oleh jurugambar Heinkel Heinz, yang memaparkan kemeriahan suasana Mekar Semarak.
Nur Syafikha Bte Rahimat merupakan seorang penari di bawah naungan DIAN Dancers sejak tiga tahun lalu. Syafikha sedang melanjutkan pengajian diploma dalam bidang Pengurusan Pengalaman Pelanggan dengan Perniagaan di Republik Politeknik (RP).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.