Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Meja Conteng hasilkan ‘zine’ sulung; mahu pergiat usaha lahirkan pelapis penulis Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
Meja Conteng hasilkan ‘zine’ sulung; mahu pergiat usaha lahirkan pelapis penulis Melayu

Meja Conteng kini dianggotai seramai 11 ahli dalam lingkungan usia 22 hingga 39 tahun daripada pelbagai latar belakang, yang merangkumi guru-guru bahasa Melayu, wartawan, jurutera, mahasiswa dan penggiat seni sepenuh masa. (Dari kiri atas) Hidayat Nordin, Fairuz Jaafar, Danish Rahmat, Amirul Hakim, Fadhli Fadzil. (Dari kiri bawah) Lissa Chan, Aisyah Lyana, Hikmah Ali. (Gambar: Meja Conteng)

SINGAPURA: Mungkin ada dalam kalangan belia kita yang sudah lama menanam hasrat untuk bereksperimentasi dalam dunia penulisan Melayu tetapi khuatir dinilai dengan tidak sewajarnya.

Ini tidak lagi menjadi satu hambatan dengan wujudnya, ‘Meja Conteng’, iaitu kumpulan penulis yang diasaskan oleh tiga belia.

Mereka terdiri daripada Hidayat Nordin, 38 tahun, Aisyah Lyana, 27 tahun dan Fadhli Fadzil, 25 tahun, yang masing-masing merupakan penulis muda yang kian menempa nama dalam dunia penulisan Melayu tempatan dan bahkan, sudah menerima pelbagai pengiktirafan antaranya, Anugerah Pena Emas.
(Dari kiri) Aisyah Lyana, Fadhli Fadzil dan Hidayat Nordin. (Gambar: Meja Conteng)
Ketiga-tiga belia ini mengorak langkah mewujudkan ‘Meja Conteng’ atas kesedaran bahawa terdapat kekurangan ruang selamat untuk mendekatkan sastera Melayu kepada golongan belia dan untuk penulis-penulis baharu menerokai dunia penulisan.

Daripada tiga ahli pada awalnya, Meja Conteng kini sudah berkembang dan dianggotai seramai 11 ahli dalam lingkungan usia 22 hingga 39 tahun daripada pelbagai latar belakang, yang merangkumi guru-guru bahasa Melayu, wartawan, jurutera, mahasiswa dan penggiat seni sepenuh masa.

Genap lima bulan sejak ia bertapak, Meja Conteng baru-baru ini melancarkan ‘zine’ ataupun majalah sulungnya di sebuah majlis pelancaran yang berlangsung pada Sabtu lalu (31 Ogos) di EXP SG.

Bertajuk ‘Kulihat Mekar dalam Belukar’, 'zine' tersebut bermatlamat untuk menghimpunkan suara belia Melayu setempat dari pelbagai latar belakang berkaitan masa depan bahasa Melayu di Singapura.
Pemilihan kata ‘belukar’ dalam tajuk 'zine' tersebut itu malah, dilakukan secara sengaja, dengan harapan ia dapat menyuntik semangat dalam kalangan belia setempat untuk melestarikan bahasa Melayu agar ia “mekar tidak kira musim atau keadaan sekalipun”.

Ditanya sebab memilih ‘zine' sebagai penerbitan sulung Meja Conteng daripada bentuk penerbitan lain seperti buku antologi misalnya, Fadhli berkata: “Fokus kami kini adalah untuk merancakkan penerbitan 'zine', genre penerbitan yang belum lagi aktif dalam dunia sastera Melayu Singapura.

"Penerbitan 'zine' membolehkan penulis-penulis menerbitkan karya dalam bentuk-bentuk tidak konvensional dan kurang formal. Dengan ini, bagi penulis-penulis baharu, mereka kurang gerun untuk mengeluarkan karya-karya yang belum lagi sempurna. Genre zinelah yang meraikan kebersahajaan dalam berkarya,” jelasnya, yang merupakan seorang guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah tempatan, kepada BERITA Mediacorp.

Dengan bentuk penerbitan 'zine' yang bersifat bebas, ‘Kulihat Mekar dalam Belukar’ itu dapat menyajikan kompilasi karya-karya yang lebih pelbagai termasuk sajak, pantun, haiku, komik, komentari dan permainan bahasa, hasil sentuhan kesemua ahli Meja Conteng. Ia sekali gus menjadikan karya sedemikian lebih menarik buat para pembaca daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Zine tersebut, menurutnya, merupakan sambungan kepada 'zine' yang diterbitkannya tahun lalu.

Ditanya tentang kelainan yang ditampilkan dalam ‘zine’ kali ini, Fadhli berkongsi: “Berbanding dengan Kulihat Layu dalam Melayu (2023), Kulihat Mekar dalam Belukar menyusunkan karya-karya yang berintonasi pelbagai. Sekiranya zine dahulu bersifat distopia, dengan karya-karya yang gelap dan pesimis, karya-karya dalam 'Kulihat Mekar dalam Belukar' membawa pembaca ke dalam dunia neutropia. Dunia realiti bahasa Melayu di Singapura yang ada harapan dan juga cabaran. Karya-karya ini mencerminkan perspektif dan harapan sebenar oleh penulis-penulis belia yang prihatin terhadap bahasa Melayu.”

Sejauh ini, sebanyak 100 naskhah ‘zine’ tersebut, yang berharga S$15 setiap satu, sudahpun dijual.

MAJLIS PELANCARAN ‘ZINE’ MEJA CONTENG TAMPIL KELAINAN

Sejajar dengan komitmen Meja Conteng untuk menyediakan ruang selesa bagi golongan belia baharu yang ingin berkecimpung dalam penulisan Melayu, majlis pelancaran zine tersebut, pada Sabtu (31 Ogos), turut disuntik kelainan berbanding dengan atur cara yang biasanya dirancang bagi majlis pelancaran penerbitan tempatan sedemikian.

Para hadirin majlis tersebut disajikan dengan pelbagai kegiatan menarik yang antara lain termasuk, ‘menconteng’ pada kanvas putih, menghasilkan serta mendeklamasikan sajak spontan.

Gambar: Meja Conteng
Selain itu, mereka turut dihiburkan oleh penyanyi muda tempatan, Yunie Karim, dengan dendangan lagu tulisannya sendiri termasuk 'Biarkan Aku Terus Bermimpi'.

Seramai 30 hadirin, yang hampir kesemuanya merupakan belia, sama-sama memeriahkan majlis pelancaran tersebut.

TEKAD SEMARAKKAN PENULISAN MELAYU, LAHIR PELAPIS PENULIS

Dengan sambutan yang memberangsangkan yang diterima sejak ia mula bertapak, para pengasas Majlis Conteng menyuarakan tekad untuk mempergiatkan lagi usaha mereka menyemarakkan penulisan Melayu, khususnya dalam kalangan belia.

Dengan sumbangan kepada penerbitan ‘zine’ dianggap sebagai titik permulaan, Meja Conteng merancang untuk terus memberikan lebih banyak peluang sedemikian kepada ahli-ahli mereka agar mereka dapat menjadi seorang penulis yang mempunyai karya tersendiri kelak, di samping memperkasa mereka untuk menyertai sayembara-sayembara sastera yang dianjurkan di sini.

“Dengan adanya Meja Conteng, kami berharap dapat menyambung gerakan sastera di Singapura, yang telah didahului gerakan-gerakan dahulu seperti ASAS 50 dan KAMUS, dan rumah-rumah penerbitan seperti Pustaka Nasional, Alam Cahaya, Ungu Pen dan Unggun Creative,” luah Fadhli.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan