Skip to main content

Nadi Kampus

Me-Karnival 2025: Hari Penuh Harapan, Inklusiviti dan Inspirasi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bayangkan sebuah tempat di mana setiap individu – tanpa mengira latar belakang atau keupayaan – diraikan, difahami dan disayangi. Begitulah bermulanya semangat Me-Karnival 2025.

Pada 31 Mei 2025 di Anjung Wisma Geylang Serai, sertai kami di acara istimewa ini anjuran NUS Mekar, sebuah organisasi pelajar di bawah naungan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS), yang membawa mesej besar: berkembang bersama, memperkasa setiap perjalanan.
Para anggota NUS Mekar, sebuah organisasi pelajar di bawah naungan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS). (Gambar: NUS Mekar)
Me-Karnival bukan sekadar acara hiburan – ia adalah komitmen untuk memperkasa individu-individu autisme, menghapuskan stereotaip, dan mencorak masa depan yang lebih adil dan inklusif.
Acara ini akan dibuka dengan Sesi Flash Mentoring yang eksklusif. Ini adalah peluang keemasan untuk anda berinteraksi terus dengan para pakar dan aktivis yang berdedikasi dalam komuniti keperluan khas.

Melalui sesi terbut anda dapat mengenali lebih dekat dengan insan-insan luar biasa – termasuk Tetamu Kehormat Puan Rachel Ong, para pendidik, penjaga dan aktivis berkeperluan khas – dalam satu sesi perbualan terbuka, jujur dan menyentuh hati. Sesi ini bukan sahaja memberi ruang untuk anda bertanya dan belajar, tetapi mungkin akan membuka jalan kepada kerjaya dan misi hidup anda yang baharu – sebagai penyumbang kepada komuniti yang memerlukan lebih banyak sokongan, empati dan kasih sayang. Sesi ini terbuka kepada semua, terutamanya para belia dan anak muda yang ingin mencari erti sebenar peranan mereka dalam membina masa depan yang inklusif.

Anda berminat? Jangan lupa RSVP melalui pautan kami – peluang seperti ini tidak datang selalu!
Karnival kali ini juga bakal menghimpunkan pelbagai organisasi hebat seperti Ashraf’s Café, MIJ Hub, JOURNEY, Crunchy Teeth dan AromaNostalgiaSG – semuanya memainkan peranan penting dalam memperjuangkan suara dan potensi golongan berkeperluan khas.

Setiap gerai bukan sahaja menawarkan makanan dan kraf unik, tetapi membawa bersama kisah, perjuangan dan harapan. Di sinilah anda berpeluang menghargai hasil kerja tangan individu yang berbakat dan penuh semangat.

NUS Mekar turut memperkenalkan gerai permainan yang menyentuh emosi – direka khas untuk memberi anda rasai pengalaman sebenar cabaran harian yang dihadapi oleh individu dengan autisme, seperti ‘sensory overload’.

Ia adalah pembelajaran yang menyeronokkan dan yang paling penting – menyedarkan. Ada hadiah menarik menanti peserta, dan pastinya ruang 'photobooth' untuk anda cipta kenangan yang tidak akan dilupakan!

Gerai-gerai ini bermula dari jam 3.00 hingga 5.00 petang, dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Ajaklah keluarga, dan rakan-rakan anda, dan datanglah untuk menyokong hari yang menyentuh hati. Inilah peluang anda untuk bergembira dan belajar, memberi dan menerima, serta menjadi sebahagian daripada perubahan yang diperlukan.

Di Me-Karnival, setiap perbezaan diraikan, setiap suara didengari, dan setiap insan disayangi.

MENGENAI PENULIS:
Elyana Syazana Mohd Ridwan merupakan mahasiswa NUS tahun ketiga dalam jurusan Geografi. Beliau menggalas peranan sebagai penyelaras projek NUS Mekar.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita