Md Iman satu-satunya pemain Melayu dalam orkestra Cina Politeknik Temasek
Muhammad Iman Mohamed Irfan merupakan pelajar Politeknik Temasek tahun pertama jurusan kejuruteraan kimia. (Gambar: Politeknik Temasek)
Bunyi itu datang daripada alat instrumen dizi - sejenis seruling melintang - yang dimainkan seorang pemuda. Beliau tenang sahaja memainkan alat itu sambil membawakan lagu ‘海阔天空’ (Boundless Oceans, Vast Skies).
Tanpa disangka-sangka, pemain berbakat itu ternyata berbangsa Melayu.
Minat Iman terhadap muzik tradisional Cina berputik ketika dirinya baru berusia 12 tahun lagi. Ketika itu, beliau sekadar mahu cuba memainkan beberapa alat muzik tradisional Cina dengan menonton video di YouTube.
Keberanian untuk menyertai kumpulan Orkestra Cina Politeknik Temasek (TPCO) bagaimanapun tiba-tiba terbit dalam dirinya sebaik sahaja baru bergelar pelajar tahun pertama jurusan kejuruteraan kimia.
Iman akur bahawa beliau sempat berasa ragu-ragu memandangkan penyertaan pelajar Melayu dalam orkestra Cina bukanlah perkara biasa.
Pun begitu, belia berusia 18 tahun ini membulatkan tekad untuk terus merebut peluang mendalami muzik tradisional Cina di bawah naungan TPCO.
Menariknya, selepas hanya empat bulan berlatih, beliau sudah cukup mahir untuk memainkan sehingga tiga alat muzik tradisional Cina, iaitu erhu, suona dan dizi. Cukup luar biasa!
MUZIK TRADISIONAL CINA YANG 'SENTUH KALBU' BUAT IMAN JATUH HATI
Trompet merupakan alat muzik pertama yang dipelajari oleh Iman ketika beliau mula menceburi bidang muzik sebagai hobi.
Namun, sejak beliau secara tidak sengaja menonton satu persembahan orkestra Cina di YouTube, beliau mula jatuh cinta pada irama muzik tradisional Cina yang menyentuh kalbunya itu.
Demi menghayati muzik sedemikian dengan lebih mendalam lagi, beliau sanggup menyusuri sendiri selok-belok memainkan beberapa alat muzik Cina. Ini sebelum beliau mula menerima bimbingan daripada para pengajar muzik tradisional Cina di TP.
“Pada saya, muzik Cina lebih kepada menggunakan emosi dan perasaan berbanding muzik Barat yang saya selalu dengar yang lebih kepada struktur."
"Dulu saya ada tanggapan salah, (bahawa) muzik Cina ini kononnya hanya untuk perayaan seperti Tahun Baharu Cina, tetapi selepas mempelajarinya, ia ternyata banyak menggambarkan kehidupan seharian orang di kampung," jelas Iman.
CABARAN SEBAGAI SATU-SATUNYA PEMAIN MELAYU DALAM ORKESTRA CINA
Sekalipun Iman dapat bertutur sedikit dalam bahasa Mandarin, kefasihannya yang terhad tetap menjadi cabaran terbesar untuk mendalami seni muzik Cina.
Apa tidaknya, latihan TPCO sering kali dikendalikan dalam bahasa Mandarin oleh tenaga pengajarnya.
Iman bagaimanapun bersyukur kerana rakan-rakan seperjuangan tidak putus-putus membantunya menterjemahkan sebarang arahan atau bimbingan pengajarnya.
Selain sokongan padu yang diterima daripada rakan-rakan serta tenaga pengajar TPCO, anak kedua daripada lima adik-beradik ini berkongsi bahawa keluarganya juga merupakan sumber inspirasi untuknya terus mengorak langkah menyulam cinta yang lebih mendalam terhadap muzik tradisional Cina.
Ini terutama sekali kerana keluarganya tidak jemu turun padang untuk menyokongnya setiap kali beliau membuat persembahan.
Iman menganggap dirinya masih 'mentah' dalam arena seni muzik tradisional Cina tetapi beliau menyimpan impian besar untuk memperhalusi bakatnya secara profesional dengan menyertai kumpulan orkestra Cina tempatan "di luar sana" kelak.
Namun, selagi masih menuntut di Politeknik Temasek, anak muda itu merancang untuk merebut sebanyak mungkin peluang menimba ilmu dan pengalaman dalam muzik tradisional Cina.
Selepas kejayaan konsert tahunan “The Westward Voyage”, Iman dan rakan-rakan akan giat melakukan persiapan bagi persembahan di konsert amal ‘Dreams’ pula, sempena ulang tahun ke-35 TP pada Mac nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.